INSIDEN pencerobohan pengganas Kesultanan Sulu yang cuba menggugat kedaulatan negara di Lahad Datu telah lama berlalu, namun kesannya terhadap keselamatan Sabah terus menjadi isu paling utama berkaitan keselamatan di Sabah khususnya dan... Klik di sini untuk terus membaca

INSIDEN pencerobohan pengganas Kesultanan Sulu yang cuba menggugat kedaulatan negara di Lahad Datu telah lama berlalu, namun kesannya terhadap keselamatan Sabah terus menjadi isu paling utama berkaitan keselamatan di Sabah khususnya dan Malaysia amnya.

Ia adalah unik kerana melibatkan pelbagai faktor yang terpalit antara satu sama lain termasuklah politik, perkauman, ekonomi, pendatang asing, jenayah penculikan dan kumpulan militan.

Kawasan ESSCom atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah merangkumi kawasan bermula dari Kudat sehinggalah ke Tawau telah dibentuk pada Mac 2013.

Pada tahun sama, ESSZone atau Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah juga diwujudkan.

Umum melihat perkara itu sebagai langkah bijak pihak berwajib memberikan kestabilan dan keamanan di kawasan terlibat. Keberkesanan kawalan dan rondaan yang dilaksanakan terbukti berkesan.

Sejak 2018 hingga 2020 contohnya, gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berjaya menggagalkan 40 cubaan penculikan di kawasan ESSZone.

Ia berjaya dilaksanakan melalui kemampuan pengumpulan risikan yang jitu, daya mobiliti dan tempur tinggi yang wujud dalam gabungan pasukan serta agensi keselamatan di kawasan berkenaan.

Satu perkara mungkin tidak begitu diberikan perhatian berkaitan operasi atau kawalan berterusan dilakukan oleh gabungan agensi keselamatan negara adalah kos yang perlu disediakan bagi menampung keperluan operasi bersifat 24 jam selama tujuh hari berterusan.

TIGA ELEMEN

Bagi pihak PDRM umpamanya, terdapat tiga elemen terlibat secara langsung di ESSZone, ia adalah pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), 69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK). Pasukan PGA sememangnya mempunyai markasnya tersendiri di kawasan tersebut.

Dua unit elit yang mempunyai kemampuan khusus dalam operasi berkaitan keselamatan berisiko amat tinggi, 69 Komando dan UTK, bagaimanapun hanya ditempatkan serta beroperasi di ESSZone mengikut tempoh penggiliran.

Itu bermakna kumpulan yang melaksana operasi di ESSZone hanya datang untuk tempoh tertentu dan akan pulang setelah tempoh penggiliran tamat.

Perkara itu sebenarnya mempunyai impak besar terhadap dua perkara yang telah diterangkan sebelum ini iaitu keberkesanan operasi dan kos perlu ditanggung kerajaan.

Dari sudut keberkesanan operasi, unit-unit khas sama ada ATM mahupun PDRM memainkan peranan kritikal. Malah, menurut Panglima 21 Gerup Gerak Khas, penglibatan pasukan khas itu penting kerana konsep operasi mereka mampu mengawasi kawasan blind spot yang tidak boleh dikawal secara dalam kumpulan besar.

Untuk berjaya dalam operasi bersifat gerila atau pengganas, ciri-ciri perang bukan konvensional diperlukan dan disinilah kepakaran unit seperti 69 Komando amat ditagih.

Kesulitan yang dihadapi menghalang daripada penggunaan unit secara optimum dalam ESSZone adalah faktor penggiliran diguna pakai 69 Komando hari ini.

Ia tidak memungkinkan kesinambungan pengumpulan maklumat, mendapatkan sumber informan secara tetap, melaksana operasi jangka panjang serta mendapatkan kepercayaan masyarakat awam di kawasan berkenaan.

Keadaan itu berlaku kerana setiap kali tempoh penggiliran tamat, kumpulan baharu 69 Komando terpaksa membina semula rangkaian informan, merangka pelan operasinya tersendiri, selain mendapatkan kepercayaan masyarakat setempat .

Mereka juga perlu ‘mempelajari dan menilai’ semula risiko keselamatan kawasan kerana dalam tempoh mereka pulang daripada penggiliran yang terakhir, tempohnya mungkin berbulan dan keadaan serta situasi operasi mungkin telah berubah.

Selain itu, tempoh penggiliran juga memberi impak langsung kepada kos perlu ditanggung PDRM. Menerbangkan sejumlah anggota dan kelengkapan dari semenanjung ke Sabah menggunakan pesawat komersial menelan kos bukan sedikit.

Jika dihitung dari 2013, ia mungkin telah mencecah belasan jutaan ringgit. Kos tersebut akan terus meningkat selagi penugasan secara penggiliran diteruskan.

Satu jalan penyelesaian yang mampu menangani kedua-dua isu hendaklah disegerakan.

Keadaan keselamatan di ESSZone harus dikekalkan, namun dalam keadaan kewangan negara terjejas akibat kegawatan ekonomi global, setiap wang disumbangkan rakyat perlu dibelanjakan secara lebih berhemah.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca