PANEL Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) mentakrifkan perubahan iklim sebagai perubahan dalam suhu atmosfera bagi tempoh masa yang lebih lama, biasanya lebih satu dekad. Pada kadar perkembangan semasa, suhu purata jangka panjang... Klik di sini untuk terus membaca

PANEL Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) mentakrifkan perubahan iklim sebagai perubahan dalam suhu atmosfera bagi tempoh masa yang lebih lama, biasanya lebih satu dekad.

Pada kadar perkembangan semasa, suhu purata jangka panjang bumi dijangka meningkat dua darjah Celsius menjelang 2060.

Kajian saintis iklim kumpulan Penyumbang Cuaca Dunia (WWA) mendedahkan, antara punca utama perubahan iklim adalah aktiviti manusia.

Natijahnya, pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia amat memberi kesan kepada sistem iklim global dan fenomena itu kini berada pada tahap membimbangkan.

Jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan dengan bencana alam yang dahsyat.

Perubahan ekstrem dalam pola cuaca seperti suhu, hujan dan kelembapan berpunca daripada perubahan iklim yang menyumbang kepada berlakunya taufan lebih kuat, hujan lebat luar biasa serta kepanasan melampau.

Sejak 30 tahun lalu, intensiti kejadian ribut petir dan hujan ekstrem meningkat 30 peratus, sekali gus menyebabkan kejadian banjir semakin kerap. Menurut laporan IPCC 2021, peningkatan kerpasan di Asia Tenggara termasuk Malaysia adalah antara simptom penting perubahan iklim.

Maka, apabila banjir dikaitkan dengan fenomena hujan lebat, ia bukanlah kebetulan, sebaliknya kesan perubahan iklim yang kian ekstrem. Direkodkan, purata hujan tahunan di Semenanjung Malaysia dari 2013 hingga 2017 menunjukkan peningkatan 13 peratus, mengakibatkan semakin ramai penduduk terdedah kepada banjir.

Perubahan iklim dalam bentuk gelombang haba berterusan adalah bentuk cuaca ekstrem paling bahaya dengan angka kematian tinggi, selain mendatangkan kesan ekonomi yang memusnahkan.

SUHU SANGAT TINGGI

Menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia, kenaikan suhu sangat tinggi menyebabkan hampir 10 peratus daripada dua juta kematian sejak 1970 hingga 2019.

Hampir semua kematian berkaitan haba itu berlaku sejak 2000 terutama antara 2010 hingga 2019 susulan cuaca panas terik yang mencatatkan 185,000 kematian.

Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) pula melaporkan gelombang haba menyumbang 90 peratus daripada kematian di Eropah berkaitan cuaca antara 1980 dan 2022 dengan 30,000 kematian dicatatkan pada 2003 sahaja.

Serangan haba berpanjangan turut mengakibatkan lebih banyak kes kemasukan ke hospital, kehilangan produktiviti mendadak dalam sektor pembinaan dan mengurangkan hasil pertanian serta kerosakan langsung kepada infrastruktur.

EEA menganggarkan gelombang haba di 32 negara Eropah antara 1980 dan 2000 menelan kos antara 27 bilion euro hingga 70 bilion euro (RM124 bilion hingga RM321 bilion).

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), suhu berterusan sekitar 33 hingga 34 darjah Celsius boleh mengakibatkan purata pekerja kehilangan 50 peratus daripada kapasiti kerja mereka.

Menjelang 2030, ILO menganggar gelombang haba boleh mengurangkan jumlah jam bekerja di seluruh dunia melebihi dua peratus atau bersamaan 80 juta pekerjaan sepenuh masa.

Dijangkakan di beberapa kawasan tropika, pekerjaan di kawasan terdedah di luar bangunan mungkin menjadi sukar pada penghujung abad ini, sekali gus memberi kesan negatif terhadap sektor pertanian terutama pengeluaran ternakan serta penghasilan susu.

Malaysia tidak terkecuali. Purata suhu negara berada pada trajektori menaik sejak 1964 dengan kenaikan suhu purata 26.05 darjah Celsius dicatat pada 2020, satu darjah lebih panas.

Permodelan Jabatan Meteorologi menunjukkan Malaysia boleh mengalami kenaikan suhu antara 0.7 hingga 2.6 darjah Celsius dalam beberapa dekad akan datang.

Perubahan suhu itu mempengaruhi sistem cuaca monsun yang mengawal taburan hujan menyebabkan taburan hujan semakin sukar diramal, berpotensi menyebabkan banjir dan kemarau.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca