SHAH ALAM - Lima penyakit berjangkit termasuk Covid-19, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), cacar monyet, influenza (ILI) dan wabak Marburg kini menjadi ancaman kepada manusia. Covid-19 yang melanda dunia sejak Disember 2019 telah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Lima penyakit berjangkit termasuk Covid-19, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), cacar monyet, influenza (ILI) dan wabak Marburg kini menjadi ancaman kepada manusia.

Covid-19 yang melanda dunia sejak Disember 2019 telah menyebabkan kematian seramai 6.38 juta orang di seluruh dunia.

HFMD pula menyerang manusia tidak mengira peringkat usia, namun komplikasi boleh berlaku kepada individu yang mempunyai imun badan lemah sama ada orang dewasa, bayi atau kanak-kanak.

Dalam pada itu, penyakit cacar monyet yang pertama kali dikesan pada 1970 masih menjadi ancaman sehingga kini. Pesakit mengalami simptom demam, sakit otot, nodus limfa membengkak, menggigil, keletihan, ruam pada tangan dan muka.

Penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus dan bakteria memberi implikasi besar kepada negara.

Bagi penyakit influenza pula, ia adalah sejenis jangkitan saluran pernafasan disebabkan oleh virus influenza, yang setakat ini telah mengakibatkan angka kematian tinggi dalam kalangan bayi dan warga emas.

Terbaharu, wabak Marburg yang membawa maut telah dikenal pasti di Ghana, Afrika selepas dua kes virus tersebut dikesan di negara itu.

Setakat ini masih belum ada rawatan atau vaksin untuk virus Marburg yang dipercayai hampir sama bahaya dan membunuh seperti virus Ebola.

Profesor Dr Sazaly Abu Bakar

Pakar Virologi dari Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus dan bakteria memberi implikasi besar kepada negara terutama dari aspek ekonomi.

"Sebagai contoh kos. Setiap kali pesakit masuk hospital, akan ada kos seperti kos rawatan, kos pengawalan dan banyak lagi.

"Jadi, apabila kita gagal kawal penyakit berjangkit ini, maka kos akan meningkat. Kita sudah pun mengalami masalah ekonomi, masalah inflasi, harga barang naik, pendapatan kerajaan kurang dan sebagainya.

"Sebab itu, jika penyakit berjangkit ini terus menular, maka kos untuk (negara) mengawal penyakit juga akan meningkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, masyarakat diingatkan supaya tidak sesekali leka dengan penyakit sedia ada seperti Covid-19 sehingga tidak peka dengan penyakit lain termasuk rubela yang juga memberi ancaman kepada masyarakat.

Menurutnya, jika tidak dipantau dan dikawal, ia boleh menyebabkan kesan jangka panjang untuk generasi seterusnya.

"Kos jangka panjang, contohnya jika gagal beri vaksin kepada kanak-kanak untuk penyakit polio, apabila mereka terkena penyakit tersebut, ia akan menyebabkan kecacatan. Kos penjagaan itu akan tinggi.

"Begitu juga dengan penyakit rubela, kalau gagal beri vaksin ia boleh menyebabkan generasi kanak-kanak, ramai yang cacat,” ujar beliau.

INFO

1. Covid-19

Lebih enam juta orang telah maut di seluruh dunia disebabkan virus ini. Kebanyakan pesakit akan mengalami sindrom pernafasan ringan hingga sederhana dan pulih tanpa memerlukan rawatan khas.

Bagaimanapun, sesetengahnya akan mengalami sakit teruk dan memerlukan rawatan perubatan.

Orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain seperti penyakit kardiovaskular, diabetes, penyakit pernafasan kronik atau kanser lebih berkemungkinan menghidap simptom serius.

2. HFMD

Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun. Kebiasaannya gejala HFMD adalah ringan dengan simptom demam, diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Selain itu, kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan. Kes HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi seperti ensefalitis dan miokarditis.

3. Cacar monyet

Penyakit cacar monyet telah dikesan di beberapa negara seperti Britain, Portugal, Sweden, Sepanyol, Itali, Belgium, Amerika Syarikat dan Kanada.

Kes jangkitan pertama melibatkan manusia adalah pada 1970. Ia melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di kawasan terpencil di Congo setelah pesakit mengalami simptom demam, sakit otot, nodus limfa membengkak, menggigil, keletihan serta ruam pada tangan dan muka.

4. Influenza

Influenza-like-illness (ILI) ialah jangkitan saluran pernafasan yang menyebabkan berlaku gejala seperti batuk, demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit otot dan sakit sendi. Ia lebih mudah menyerang kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Kebanyakan pesakit akan sembuh dalam masa kurang daripada dua minggu. Segelintir pesakit mungkin mengalami komplikasi seperti pneumonia dan kemerosotan penyakit kronik seperti asma serta kegagalan jantung.

5. Marburg

Marburg ialah wabak terbaharu yang dikesan di Ghana, Afrika sekali gus membuktikan dunia sentiasa diancam penyakit berjangkit baharu dari masa ke masa. Walaupun wabak ini belum sampai ke Malaysia, kita mesti sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman berjangkit. Gejalanya adalah demam panas, pendarahan dalaman dan luaran.

Klik di sini untuk terus membaca