SHAH ALAM - Langkah kerajaan menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek belum bermula di Malaysia, bakal memberi kesan terhadap perusahaan terlibat dalam keseluruhan rantaian pekerjaan projek berkenaan.
Pakar ekonomi dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata, pelaksanaan itu akan memberi implikasi signifikan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang terbabit.
"Contohnya, kalau mereka tangguhkan pembinaan jalan raya, rantaian pekerjaan dalam projek itu melibatkan SME yang menyediakan perkhidmatan pembersihan, cat jalan raya, pengeluar dan proses bahan seperti tar.
"Kemudian kena ambil kira juga penyedia perkhidmatan logistik bahan bekalan. Jadi, itu semua amat berkait rapat dan terkesan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed pada Ahad, memaklumkan langkah penangguhan dan pemberhentian projek belum dimulakan itu dilaksanakan sebagai menyahut arahan dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam’.
Jumaat lalu, media melaporkan arahan daripada Pekeliling Perbendaharaan Malaysia yang meminta kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) supaya melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan.
Firdausi bagaimanapun berkata, langkah penangguhan pelaksanaan projek itu dijangka tidak memberi kesan begitu ketara terhadap ekonomi negara secara keseluruhannya.
Jelas beliau, ia kerana sektor perolehan berkaitan kerajaan bukanlah penjana utama ekonomi di Malaysia.
BERI PERINCIAN
Beliau berkata lagi, kerajaan seharusnya membuat tindakan lebih strategik dalam pemilihannya bagi projek yang bakal terlibat dalam langkah penangguhan tersebut.
Katanya, kerajaan tidak sewajarnya menangguhkan projek yang memberikan impak langsung dan sangat diperlukan rakyat membabitkan sektor pembangunan infrastruktur logistik dan pendidikan terutama di negeri yang ketinggalan seperti di Sabah.
"Mengurangkan perbelanjaan itu tidak bermaksud (menangguhkan) mana-mana projek keutamaan contohnya Lebuhraya Pan Borneo atau pembinaan sekolah. Bagi saya, itu perlu diberi perincian,” kata beliau.
Meskipun mengakui agak sukar untuk membuat pilihan terhadap projek wajar dimasukkan di bawah langkah tersebut, Firdaus berkata, projek mega di dalam negara yang belum dimulakan seharusnya dipertimbang untuk dilibatkan dalam penangguhan berkenaan.
SOKONG LANGKAH KERAJAAN
Ketua Penyelidik di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar mengakui terdapat implikasi negatif akibat langkah penangguhan projek tersebut antaranya berkaitan pengurangan peluang pekerjaan dan kesan pengganda.
"Namun kita akan dapat rasa kesan (pelaksanaan projek) itu dalam jangka masa panjang atau sederhana dan sebenarnya kesan ekonomi akibat penangguhan ini akan berlaku dalam jangka masa sederhana sahaja,” ujarnya yang menyatakan sokongan terhadap langkah dilaksanakan kerajaan itu.Menurut Shankaran, kepentingan untuk memelihara kebajikan rakyat kini adalah lebih penting berbanding projek yang hasilnya hanya akan dirasai dalam jangka waktu panjang.
Klik di sini untuk terus membaca