SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru dipilih, Syed Ibrahim Syed Noh mencadangkan setiap ahli MPP baik yang dipilih atau dilantik Presiden parti kelak, masing-masing diberikan satu peranan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru dipilih, Syed Ibrahim Syed Noh mencadangkan setiap ahli MPP baik yang dipilih atau dilantik Presiden parti kelak, masing-masing diberikan satu peranan spesifik bagi membantu parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegas Ahli Parlimen Ledang tu, inisiatif sebegini penting bagi memastikan setiap pemimpin memegang jawatan penting PKR, memainkan peranan sewajarnya dan tidak sekadar mencukupkan korum semata-mata.

Ujarnya, pucuk kepimpinan PKR baharu perlu meneliti setiap peranan penting yang akan diagihkan kepada setiap ahli MPP baharu bagi membolehkan tugasan spesifik berkenaan benar-benar memberi impak positif dalam meraih keyakinan rakyat.

"Setelah selesai pemilihan parti, setiap ahli MPP baharu dipilih perlu diberikan peranan khusus untuk membantu PKR bagi mendepani PRU15.

"Peranan itu juga perlu lebih jelas dan berfokus. Ini penting supaya setiap pemimpin yang berjawatan dalam parti memainkan peranan sewajarnya untuk membantu PKR meraih kembali kepercayaan rakyat.

"Mungkin fungsi ahli MPP penggal terdahulu dilihat sedikit longgar sehingga ada sumbangan mereka terhadap parti dipersoalkan akar umbi. Bagaimanapun, kali ini pucuk kepimpinan parti perlu memandang serius perkara ini kerana kita mahu setiap pihak memainkan peranan masing-masing bagi memacu kemenangan PKR pada PRU15," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Terdahulu, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi PKR Johor merupakan salah seorang daripada 20 ahli MPP baharu yang dipilih akar umbi parti itu bagi mengetuai kepimpinan PKR untuk tempoh 2022-2025.

Selain beliau, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menerima undian tertinggi sebanyak 1,091 undi untuk dipilih sebagai ahli MPP parti baharu, diikuti Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir Nasrullah sebanyak 956 undi.

Sementara itu, Syed Ibrahim turut percaya gandingan kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden parti baharu, Rafizi Ramli adalah merupakan gabungan paling lengkap pernah dimiliki parti berkenaan, di sebalik pelbagai dakwaan negatif dilemparkan terhadap status hubungan mereka.

Tambahnya, pemilihan mereka oleh 1.3 juta akar umbi PKR juga merupakan satu platform terbaik PKR untuk benar-benar mempamerkan identiti reformasi politik negara, sekali gus memberi nilai tambah kepada usaha Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi PRU15.

"Dalam keadaan sekarang, saya nampak Rafizi bersedia menegur Presiden parti secara berterus-terang, namun pada masa sama Rafizi juga komited untuk membantu Anwar memacu PKR dan PH dalam mendepan PRU15.

"Justeru, saya percaya gandingan dua ikon politik PKR itu akan memastikan parti ini memainkan peranan utama supaya PH kembali kuat untuk menangani asakan musuh politik.

"Ditambah isyarat dari Kongres Nasional PKR ke-16 yang semakin jelas menunjukkan PKR tidak akan berganjak daripada prinsip kekal bersama PH, saya fikir tugas berat yang perlu dipikul semua pihak adalah untuk kita memenangi semula hati pengundi yang agak kelesuan politik," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca