SHAH ALAM - Masyarakat perlu berwaspada dalam menghulurkan sebarang sumbangan kepada mana-mana individu, yayasan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan agama untuk mengutip derma. Eksekutif Syariah Pusat Pungutan Zakat-Majlis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Masyarakat perlu berwaspada dalam menghulurkan sebarang sumbangan kepada mana-mana individu, yayasan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan agama untuk mengutip derma.

Eksekutif Syariah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Muhammad Furqan Abdullah mendakwa, ada sesetengah individu, yayasan atau NGO yang mengaut keuntungan hasil sumbangan orang ramai.

"Terdapat NGO atau yayasan apabila kita buka laman website mereka, kosong dan tiada apa-apa laporan aktiviti dan sebagainya. Tetapi, oleh kerana ada seorang individu yang mungkin terkenal di belakang yayasan atau NGO itu, maka orang ramai mempercayai dan menyerahkan seluruh atau sebahagian harta kepada NGO atau individu itu.

"Ada juga sebahagian daripada individu atau ustaz mengaut kekayataan daripada orang ramai. Kita bukan nak tuduh, tetapi kita nampak secara zahirnya. Sebelum ini pakai kereta biasa sahaja, lama-lama kutip derma dan pergi ceramah merata-rata, dah boleh tukar kereta.

"Itu sebahagian contohlah. Saya tidak tuduh sesiapa tetapi boleh dikatakan ini satu perkara yang dilihat sebagai garis merah dan perlu kita perhalusi," katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-357 bertajuk Korban Atau Terkorban pada Selasa.

Wacana tersebut turut menampilkan Naib Presiden Pertubuhan Al Qayyim Malaysia, Mohd Khairil Anwar Abdul Latif manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.

Beliau berkata, sikap masyarakat yang tidak kisah dalam menghulurkan sumbangan dan tidak melakukan kajian terlebih dahulu menyebabkan lebih ramai pihak berani mengambil kesempatan.

"Ada pemahaman bahawa bagi sumbangan itu fisabilillah dengan beri kepada pusat tahfiz, yayasan, NGO dan sebagainya. Pemahaman ini bukanlah satu kesilapan tetapi kurang lengkap. Sebagai satu gagasan atau pendekatan yang dibawa oleh Islam iaitu dalam berinfaq itu ada tatacara dan disiplin.

"Terdapat juga sebahagaian yang membawa naratif bahawa nak derma, derma sahajalah buat apa nak tanya-tanya lagi. Ini satu naratif yang salah dan perlu diperbetulkan juga," katanya.

Justeru, beliau berkata, masyarakat perlu pandai menilai kemana sumbangan akan didermakan bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan.

"Untuk masyarakat, mereka kena pandai bergantung kepada diri sendiri, buat kajian dan tapis maklumat. Sekarang ini, semua benda kita boleh tengok melalui laman web sebelum membuat sebarang keputusan nak derma atau sebaliknya," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca