SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya tidak menonjolkan kemewahan secara berlebihan di laman sosial.
Naib Presiden Pertubuhan Al Qayyim Malaysia, Mohd Khairil Anwar Abdul Latif berkata, tindakan tersebut akan memberikan kesan kepada orang yang tidak berkemampuan apatah lagi selepas pasca Covid-19 yang menyaksikan ramai yang hilang pekerjaan.
"Media sosial ini menjadi punca utama kemurungan anak-anak muda dan masyarakat kerana semua orang mahu mempamerkan nikmat atau kekayaan yang mereka ada.
"Memang ALLAH suruh cerita nikmat yang diberikan, tetapi tidak sampai sehingga ke peringkat negatif iaitu sehingga kita mempamerkan kakayaan dan nikmat itu dalam erti kata nak riak dan nak menunjukkan kita bagus.
"Tindakan itu sebenarnya memberikan banyak kesan pada zaman pasca Covid-19 dengan ramai orang tidak berkemampuan akibat hilang kerja sekali gus memberikan tekanan kepada sebahagian masyarakat," katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-357 bertajuk Korban Atau Terkorban pada Selasa.
Wacana tersebut turut menampilkan Eksekutif Syariah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Muhammad Furqan Abdullah manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.
Menurutnya, sikap menayangkan kekayaan itu juga boleh mencetuskan penyakit ain iaitu menyebabkan ada orang yang menyimpan hasad dan dengki.
"Penyakit ain ini sangat bahaya. Contohnya dapat bayi letak gambar dalam facebook. Orang pun puji tanpa memuji ALLAH dan mencetuskan penyakit ain yang boleh menyebabkan terjadi perkara buruk.
"Jadi, kita perlu seimbang iaitu nikmat apa yang nak kena cerita dan tahap mana kita perlu cerita tentang apa yang ALLAH bagi kepada kita," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca