SHAH ALAM - Tanggapan masyarakat bahawa individu lulusan pendidikan tahfiz dan golongan huffaz (penghafal al-Quran) hanya sesuai menceburi kerjaya dalam bidang berkaitan agama sahaja harus diperbetulkan.
Sebaliknya, perunding motivasi Profesional Huffaz (Profazz), Suhayl Salmi menegaskan, kelebihan kedua-dua golongan itu yang menghafal 30 juzuk al-Quran seharusnya dijadikan nilai tambah kepada mereka yang menceburi bidang profesional.
"Ramai huffaz telah menceburi kerjaya profesional seperti doktor, peguam, malah ada memilih dunia perniagaan dan mampu bergelar usahawan berjaya.
"Sesiapa sahaja boleh menghafal al-Quran tetapi mengaplikasikannya dalam kehidupan itu yang susah. Penting untuk berakhlak, amalkan al-Quran di tempat kerja dan hidupkan syiar Islam di semua institusi yang ada.
"Jika kita mendalami al-Quran, tuntutan bukan sekadar menjadi ustaz atau ustazah, malah menjadi satu kerugian bagi orang yang belajar (al-Quran) tetapi hanya amalkan di dalam masjid sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Suhayl menjelaskan, dalam al-Quran juga telah disebutkan mengenai asas ilmu profesional seperti perakaunan yang perlu dikuasai umat Islam, sekali gus menjadi panduan kepada mereka dalam bidang berkenaan.
"Jadi, ada banyak lagi ilmu keduniaan dituntut di dalam al-Quran. Kita nak al-Quran hidup bukan sahaja di masjid tetapi di hospital, Parlimen atau tapak pembinaan.
"Sebab itu, penting golongan profesional ada al-Quran dalam jiwa. Kita tidak kata jangan masuk bidang ustaz tetapi banyak lagi bidang yang ada dan keperluan golongan huffaz dalam bidang profesional amat mendesak,” jelasnya.
Sementara itu, Suhayl berkata, ibu bapa memainkan peranan besar dalam mengimbangi ilmu akademik dan al-Quran anak-anak agar mereka dapat memilih kerjaya diminati tanpa perlu meninggalkan hafalan.
Tiada kekangan golongan huffaz sertai bidang profesional
Dalam pada itu, tidak menjadi masalah kepada seorang huffaz untuk menceburi bidang profesional, malah kelebihan itu dapat membantu dalam kerjaya mereka.
Jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nurul Husna Zainal Abidin berkata, namun kebanyakan mereka lebih menjurus memilih kerjaya berkaitan agama kerana mahu menjaga persekitaran agar tidak mudah lupa hafalan.
"Saya faham kenapa ramai huffaz masih memilih bidang agama sebagai kerjaya. Persekitaran itu sendiri akan membentuk sahsiah diri dan mungkin dia (huffaz) nak kekalkan hafazan, mesti nak ‘circle’ yang sama agar mudah meneruskan hafalan.
"Berbeza golongan huffaz yang memilih bidang profesional, mereka perlu sentiasa berwaspada, menjaga batasan agama, penjagaan aurat dan sebagainya.
"Semua perkara itu diberi perhatian agar imej sebagai penghafal al-Quran tidak tercemar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, Nurul Husna turut mengingatkan golongan huffaz yang menceburi bidang profesional agar sentiasa menjaga imej Islam sebaiknya dan bijak membawa bawa diri dalam persekitaran yang luas.
Katanya, keterlibatan golongan huffaz dalam bidang profesional juga penting bagi mewujudkan suasana yang menjaga kesusilaan agama.
"Kalau ada ramai huffaz, maka mudah untuk wujudkan suasana yang mengingatkan soal agama, solat antara sesama Muslim.
"Tidak menjadi masalah untuk huffaz sertai profesional, cuma masyarakat rasa canggung sebab tidak ramai. Bidang profesional adalah satu fardu kifayah, justeru dalam satu komuniti itu mesti ada individu Muslim yang terlibat,” ujarnya.
Nurul Husna mula menghafal al-Quran ketika mengikuti kelas Darul Quran sewaktu pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada tahun 2014.
Menurutnya, anak-anak tidak perlu berfikiran sekular, seolah-olah ilmu profesional tidak berkait rapat dengan agama Islam, sedangkan kedua-duanya adalah ilmu yang seiring.
"Sebenarnya yang patut menggalas al-Quran adalah mereka yang bijak pandai, itu keutamaan untuk ke bidang profesional.
"Oleh itu, kita sasarkan untuk ubah set minda ibu bapa terhadap bidang al-Quran,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai Profazz, Suhayl berkata, organisasi tersebut dibangunkan oleh lima adik-beradik yang merupakan huffaz 30 juzuk al-Quran dan memiliki bidang kerjaya profesional masing-masing seperti doktor perubatan, perunding kewangan Islam, pengurus syarikat serta perunding motivasi.
"Kami tampilkan Aiman (sulung), merupakan peguam dan perunding kewangan Islam yang telah memberi khidmat perundingan dalam dan luar negara.
"Dr Syamil pula pakar bedah mata yang boleh habiskan (hafal) 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan, manakala Dr Irfan pakar bedah dan Farhan pula pengurus syarikat.
"Kami semua buktikan dapat ‘straight A’ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika masyarakat tidak percaya kemampuan bekas pelajar tahfiz,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca