SHAH ALAM - Langkah untuk membenarkan pengundi yang layak menjalankan tanggungjawab mereka ketika berada di luar kawasan boleh dipercepatkan pelaksanaannya melalui peluasan undi pos, kata Penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah untuk membenarkan pengundi yang layak menjalankan tanggungjawab mereka ketika berada di luar kawasan boleh dipercepatkan pelaksanaannya melalui peluasan undi pos, kata Penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran.

Bagaimanapun beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu terlebih dahulu menyelesaikan kekangan yang mungkin timbul dalam usaha menjalankan proses pengundian tersebut antaranya membabitkan pertambahan kos pengurusan dan tenaga kerja.

"Perlu kaji cabaran dari segi sumber kewangan jika peluasan undi pos itu dilakukan antaranya membabitkan kos sampul surat dan bilangan tenaga kerja bakal terbabit untuk proses penghantaran undi pos berkenaan.

"Jadi adakah mencukupi dengan hanya gunakan perkhidmatan Pos Malaysia atau mereka perlu ambil pekerja pilihan raya tambahan,” katanya yang juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin berkata, SPR masih mengkaji mekanisme dan syor untuk membenarkan pengundi yang layak menjalankan tanggungjawab mereka ketika berada di luar kawasan tanpa perlu pulang ke negeri masing-masing.

Manimaran berkata, kebolehlaksanaan mekanisme undi pos terhadap pengundi di luar kawasan bukan masalah utama memandangkan ia terbukti boleh dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Dalam PRN Johor yang berlangsung pada Mac lalu, SPR membenarkan pelaksanaan undi pos bagi pengundi dari luar dan dalam negara dengan permohonan bagi melakukan proses pengundian tersebut dilakukan secara dalam talian.

Manimaran berkata, terdapat beberapa aspek perlu ditambah baik dalam pelaksanaan undi pos itu termasuk berkaitan usaha bagi melibatkan pengundi yang perlu menjalani kuarantin akibat dijangkiti Covid-19 atau sebarang wabak.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa langkah membenarkan pengundi menjalankan tanggungjawab ketika berada di luar kawasan itu perlu disegerakan bagi memastikan peratusan pengundi yang tinggi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Jadi pandangan saya adalah kita perlu tingkatkan peratusan keluar mengundi dengan menyediakan kemudahan bagi memastikan mereka membuang undi.

"Kalau tidak, ia hanya akan mencacatkan amalan demokrasi negara kerana kita hanya sediakan undang-undang untuk libatkan ramai daftar pemilih seperti pelaksanaan Undi18 dan daftar automatik, tapi mekanisme mudahkan orang keluar mengundi tidak ada,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpandangan, pendekatan undi secara fizikal dilihat lebih sesuai untuk diaplikasikan dalam penambahbaikan proses pengundian baharu itu berbanding secara dalam talian yang menurutnya hanya membawa pelbagai masalah sampingan.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) menjelaskan, negara juga dilihat belum benar-benar bersedia bagi menggunakan pendekatan pengundian secara dalam talian pada PRU.

"Pengundian dalam talian dikawal melalui program perisian, jadi bimbang akan timbul tuduhan mengatakan ada penyelewengan dalam perisian yang direka. Ini antara perkara yang kita lihat berlaku di luar negara apabila mereka cuba guna pendekatan undian secara elektronik.

"Ada juga tuduhan yang menyatakan bahawa keputusan itu diprogram mengikut kehendak pihak tertentu. Jadi itu asasnya (tidak cenderung memilih pelaksanaan undi dalam talian).

"Kemudian, ada sesetengah tempat sistem itu sendiri lumpuh dan bekalan elektrik terputus. Jadi perkara ini semua kena cukup dan pastikan dahulu kita cukup bersedia,” ujarnya yang amat menyokong tindakan SPR mula melaksanakan proses pengundian luar kawasan.

Klik di sini untuk terus membaca