SHAH ALAM - Diyakini sebagai individu yang mempunyai disiplin tinggi dan karakter cemerlang adalah antara faktor utama huffaz profesional menjadi rebutan dalam kalangan majikan di negara ini.
Pengarah Pusat Islam Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Profesor Madya Dr Abdul Aziz Mat Isa berkata, sambutan menggalakkan terhadap graduan bidang profesional bergelar huffaz tidak terhad hanya daripada majikan beragama Islam, malah bukan Islam juga.
"Jika syarikat yang bukan Islam, mereka melihat apabila pelajar ini hafaz al-Quran, mereka adalah individu yang ada sikap amanah dan bersungguh-sungguh buat kerja.
"Kita juga tahu mereka memiliki disiplin sangat tinggi kerana agak sukar menguasai dua disiplin yang berbeza iaitu pendidikan profesional dan hafalan al-Quran tetapi mereka berjaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Abdul Aziz menjelaskan, hampir semua graduan di bawah program huffaz profesional Uniten tidak mempunyai sebarang masalah mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan sebaik sahaja mereka menghabiskan pengajian.
"Graduan kami seperti ‘pisang goreng panas’. Bila keluar sahaja, tidak sampai tiga atau enam bulan, masing-masing dah dapat kerja kecuali mereka yang sambung belajar dalam pengajian sarjana dan ijazah Doktor Falsafah (PhD),” ujarnya.
Uniten merupakan antara institusi pengajian tinggi yang mempunyai program melahirkan graduan profesional bergelar huffaz menerusi Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran (Kejuruteraan) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2012.
Menurut Abdul Aziz, huffaz profesional di bawah program tersebut kini turut mengisi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional yang utama di dalam negara.
Jelas beliau, sehingga kini seramai 233 huffaz profesional berjaya dilahirkan di bawah program tersebut dan ia dilihat semakin mendapat sambutan daripada masyarakat.
"Sewaktu program ini dibuka pada 2012, pengambilan pertama hanya melibatkan 20 orang pelajar.
"Program ini juga mula menerima pelajar yang meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan dan tidak terhad dalam kejuruteraan.
Kini jumlahnya meningkat, tahun lalu misalnya bilangan mendaftar masuk seramai 80 orang.
"Untuk proses kemasukan tahun ini, hampir 300 pelajar berjaya melepasi sesi temu duga yang diadakan.
"Ia jumlah agak besar dan ramai, sekali gus menunjukkan masyarakat semakin berminat dengan program seperti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berpandangan, negara sedang bergerak di landasan yang betul untuk mencapai sasaran ditetapkan oleh Dasar Tahfiz Negara bagi melahirkan seramai 150,000 huffaz profesional.
Namun kata beliau, masih banyak usaha perlu dilakukan khususnya dalam meningkatkan kewujudan institusi-institusi yang menawarkan program huffaz profesional kepada masyarakat.
Klik di sini untuk terus membaca