SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) bekerjasama dengan universiti tempatan bagi melahirkan lebih ramai pelajar lepasan tahfiz yang mampu bekerja dalam bidang profesional. Presidennya, Mohd Zahid... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) bekerjasama dengan universiti tempatan bagi melahirkan lebih ramai pelajar lepasan tahfiz yang mampu bekerja dalam bidang profesional.

Presidennya, Mohd Zahid Mahmood berkata, untuk tujuan itu pihaknya berkolaboratif bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menawarkan Program Diploma Tahfiz kepada lepasan pelajar tahfiz seluruh negara sejak enam tahun lalu.

"Pelajar bukan sahaja akan terus menghafal al-Quran, malah turut mempelajari bidang pengajian lain yang mereka minati.

"Selepas tamat diploma, mereka boleh sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan ada juga menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang kejuruteraan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Zahid yang juga Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kuala Lumpur berkata, kelayakan minimum 3A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperlukan untuk mengikuti program Diploma Tahfiz UiTM, berbanding syarat 5A SPM bagi pelajar biasa.

Menurutnya, jika pelajar daripada keluarga tidak berkemampuan atau B40, mereka layak mengikuti pengajian secara percuma dengan pembiayaan pengajian ditanggung pihak UiTM.

Jelas beliau, bagi membantu lepasan tahfiz menyambung pengajian ke peringkat tinggi, PINTA memperkenalkan program trek laju atau ‘fast track’ SPM beberapa tahun lalu.

"Kita faham untuk lanjutkan pelajaran, mereka perlu ada sijil akademik diiktiraf, jadi kita perkenalkan program ‘fast track’ SPM iaitu selepas habis pengajian atau hafalan 30 juzuk al-Quran, mereka boleh terus ambil ‘fast track’ SPM.

"Melalui program khas ini, mereka ada dua pilihan iaitu sama ada mahu duduki SPM dalam tempoh dua tahun atau cuma setahun,” ujarnya.

Katanya, jika memilih pengajian selama dua tahun, pelajar perlu habiskan pembelajaran di Tingkatan Empat dan Lima, sementara jika tempoh setahun, mereka belajar secara terus tanpa ada cuti penggal.

Tambah beliau, selain UiTM, pihaknya sebelum ini turut bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Perak; Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) di Kuala Lumpur dan Unifield International College di Negeri Sembilan.

Klik di sini untuk terus membaca