SELAIN laungan reformasi, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam pada Ahad lalu turut menyaksikan nama Rafizi Ramli bergema di dalam Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sebahagian besar perwakilan melaungkan nama Rafizi... Klik di sini untuk terus membaca

SELAIN laungan reformasi, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam pada Ahad lalu turut menyaksikan nama Rafizi Ramli bergema di dalam Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebahagian besar perwakilan melaungkan nama Rafizi seolah-olah menyambut seorang pahlawan.

Tapi Rafizi bukanlah Mat Kilau ataupun Hang Tuah. Rekod perjalanan politik Rafizi lebih jelas jalur jiwanya membawa semangat Hang Jebat yang tersohor dengan kata-kata, ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.’

Tetapi kelantangan kata-kata dan semangat beliau itulah yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu menang dalam perebutan kerusi nombor dua parti selaku Timbalan Presiden PKR.

Persoalannya, dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya menghitung hari, mampukah Rafizi bukan sahaja mencari formula bahkan bergandingan bersama bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membolehkan PKR kembali menawan Putrajaya.

Pertama sekali, fakta juga membuktikan Anwar tidak memiliki sejarah perhubungan yang baik dan mesra dengan ‘budak kolej’ (Kolej Melayu Kuala Kangsar) walaupun beliau sendiri adalah produk budak kolej.

Ketika di dalam UMNO, beliau tidak sehaluan dengan Sanusi Junid, budak kolej yang menjadi Setiausaha Agung parti dan Menteri Pertanian.

Beliau juga tidak sehaluan dengan seorang lagi budak kolej iaitu Tan Sri Shahrir Samad yang ketika itu adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan menteri kabinet.

Kini Anwar sekali lagi berhadapan dengan situasi terpaksa bekerjasama dengan seorang lagi budak kolej, tetapi yang membezakan Rafizi dengan Sanusi dan Shahrir ialah jarak umur beliau dengan Anwar adalah besar dan bukan rakan sebaya atau pesaing.

Oleh yang demikian, adalah menarik untuk melihat bagaimana keserasian gandingan Anwar-Rafizi ini akan berakhir.

Sudah tentu Anwar tidak mampu untuk kesekian kalinya fall out dengan seorang lagi budak kolej demi masa depan politik beliau dan PKR. Ini penting kerana selepas tahun 2020, graf prestasi PKR bukan sahaja mendatar, bahkan menjunam teruk terutamanya dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Melaka, Sarawak dan Johor.

Gandingan pemimpin yang ditunggu-tunggu?

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, beliau yakin kehadiran Rafizi dalam barisan kepimpinan PKR mampu mencetuskan perubahan landskap politik parti berkenaan menuju PRU15.

Beliau berkata, ini terbukti apabila lebih lima juta pengunjung melayari laman media sosial milik bekas Pengarah Strategi PKR itu selepas beliau mengumumkan kembali aktif berpolitik.

Malah kata Mazlan, kebangkitan Rafizi jelas dapat disaksikan apabila sebahagian besar barisan kepimpinan PKR bagi Penggal 2022/25 adalah terdiri daripada ‘orang’ Rafizi.

Keputusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang diumumkan pada Ahad menyaksikan ia didominasi pemimpin yang selari dengan pemikiran Rafizi.

Daripada 20 yang berjaya menerima undi tertinggi daripada perwakilan parti, 12 daripadanya adalah dari senarai ‘cai’ yang disediakan oleh kem Rafizi.

Mereka terdiri daripada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Datuk Romli Ishak, Fahmi Zainol, Nor Azrina Surip, Lee Chean Chung, Syed Ibrahim Syed Noh, Simon Ooi Tze Min, Raiyan Abdul Rahim, Tan Kar Hing, Zahir Hassan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Datuk Hans Isaac dan Wong Chen.

"Rakyat pernah hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) mahu pun Pakatan Harapan (PH). Jadi orang seperti Rafizi mungkin boleh bawa perubahan kepada landskap politik PKR dan negara.

"Rafizi mungkin dianggap antara pemimpin yang masih ‘suci’ dan tidak berbohong kepada rakyat, sekali gus memberikan momentum untuk beliau meraih sokongan pengundi khususnya anak muda menerusi program merentasi parti seperti Ayuh Malaysia,” kata Mazlan kepada Sinar Premium.

Menurut Mazlan, gandingan idea Rafizi dan aura Anwar jika dicanai dengan betul, tidak mustahil boleh menjadi penawar untuk mengembalikan kegemilangan PKR.

"Anwar mempunyai pengalaman dan aura tersendiri bagi menarik pengundi muda dengan menggunakan bahasa serta komunikasi pemujukannya.

"Jadi gabungan Anwar dan Rafizi ini memang ditunggu-tunggu oleh penyokong PKR dan rakyat.

"Pendedahan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung kewujudan akuan bersumpah (SD) ditandatangani oleh Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri pula membuktikan beliau bercakap benar sekali gus membersihkan imejnya selaku calon Perdana Menteri terbaik dimiliki pembangkang ketika ini,” jelasnya.

Serangan terbuka

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ramai penyokong PKR sememangnya mahu melihat gabungan Anwar dan Rafizi memberikan harapan baharu dan berbeza kepada landskap politik Malaysia.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, impian dan perubahan positif diimpikan oleh lebih 1.3 juta ahli PKR untuk melihat kebangkitan parti itu pada PRU15 mungkin boleh bertukar kepada mimpi ngeri jika Rafizi terus menggasak dan menyerang Anwar secara terbuka sama ada menerusi media arus perdana dan media sosial.

Malah, Awang Azman berkata, Rafizi dilihat beberapa kali menyindir Anwar menerusi ucapan dan sidang medianya ketika Kongres Nasional ke-16 PKR pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Rafizi juga memberi gambaran seolah-olah beliau sukar untuk bekerjasama dengan penyokong kuat Anwar sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai sejauh mana perkara itu dapat ditangani supaya PKR dapat bergerak dan membuat persiapan rapi menjelang PRU15 nanti.

"Jadi sejauh mana gabungan Anwar dan Rafizi mampu memberikan kesan positif atau tidak kepada PKR adalah bergantung kepada sikap dan pendirian Timbalan Presiden itu menuju PRU15 nanti,” ujarnya.

Tambahnya, bola sekarang sudah di kaki Rafizi, terpulang kepada beliau sama ada mahu menyepaknya ke gawang lawan atau menjadi punca jaringan gol sendiri pada PRU15 nanti.

Klik di sini untuk terus membaca