PESAN nenek, "Makan elok-elok, jangan bagi tumpah. Kalau nasi tu tumpah, kutip, jangan biarkan. Nanti nasi menangis, lepas tu dia merajuk, kita langsung tak ada nasi lagi nak makan.”
Tujuan nenek sebenarnya jelas iaitu untuk mengajar cucu supaya tidak membazirkan makanan.
Tetapi itu nenek zaman saya dahulu. Nenek zaman sekarang lain pula caranya. Tegurannya mungkin berbunyi begini: "Isy, budak ni. Makanan dah jatuh pun dikutip. Pengotor betul! Buang sekarang! Buangggg!”
Maka si cucu pun segera membuang makanan itu. Kalau ia sekadar beberapa butir nasi atau sepotong kuih tak mengapalah juga.
Tetapi bagaimana kalau yang jatuh itu sepaha ayam goreng? Apatah lagi kalau ia berupa seulas durian duri hitam yang harganya menembusi kayangan?
Apabila makanan yang jatuh itu dikutip dan dibuang, maka secara automatik pembaziran telah berlaku. Tetapi pada zaman ‘now’, ia bukan perkara pelik. Ia berlaku di mana-mana, sepanjang masa.
Dulu-dulu orang terpaksa berjimat sebab makanan susah hendak dapat. Terpaksa berkebun, berladang. Terpaksa masuk hutan, keluar hutan. Yang mudah diperoleh cuma ulam-ulaman. Tetapi berapa oranglah yang sanggup makan ulam siang malam.
Sekarang ini makanan tidak perlu dicari. Sambil berbaring pun boleh pesan makanan yang diingini. Yang perlu cuma duit. Hendak cari duit pun bukan susah.
Pergi Siam, beli alat solek timbang kilo, bawa balik, buat pembungkusan cantik-cantik, kemudian jual. Sekejap sahaja boleh jadi jutawan. Itu baru satu contoh. Banyak lagi contoh lain.
Benda yang mudah didapati dengan sendirinya tidak akan dihargai. Sebab itulah sekarang ini manusia lazimnya tidak langsung berasa bersalah apabila membazirkan makanan.
Makan tak habis, buang. Rasa tak sedap, buang. Tak kena dengan selera, buang. Luput tarikh, buang. Kadang-kadang disebabkan marah pada suami atau isteri pun, buang makanan juga!
Satu statistik yang dikeluarkan pada April lalu menyebut setiap hari rakyat Malaysia ‘menghasilkan’ 17,000 tan sisa makanan dan daripada jumlah itu dianggarkan 4,046 tan atau 24 peratus adalah sisa makanan yang boleh dielakkan.
Maksud sisa makanan yang boleh dielakkan ialah sisa makanan yang boleh diselamatkan, atau dengan bahasa yang lebih mudah, sisa makanan yang masih boleh digunakan.
Jika sehari lebih 4,000 tan, cuba kira jumlahnya dalam setahun. Itu baru di Malaysia.
Di seluruh dunia pula kadarnya dianggarkan lebih 1.4 bilion tan setiap tahun. Dinilai dari segi ringgit jumlahnya tentu mencecah trilion.
Dengan pertambahan jumlah penduduk sudah tentulah angka itu tidak akan bertambah kecil.
Ironinya, ketika sebahagian warga dunia sibuk membazirkan makanan, sebahagian yang lain pula menderita kerana kelaparan.
Dianggarkan terdapat lebih 800 juta penduduk dunia bukan sekadar tidak cukup makan, dengan sebahagiannya berdepan bahaya kebuluran.
Saya tak kata kita patut menghantar sisa makanan itu kepada mereka. Jangan. Jika hendak memberikan apa-apa sumbangan, seboleh-bolehnya cubalah berikan yang terbaik bukannya yang bertaraf ‘sisa’ atau ‘bekas’.
Yang saya maksudkan ialah bagaimana jika setiap kita mengambil inisiatif mengelak daripada melakukan pembaziran. Mulakanlah dengan membeli hanya yang perlu.
Selain itu, jangan terus buang makanan yang tidak habis. Simpan, gunakan semula pada masa yang lain. Ada antara sisa makanan itu pula mungkin boleh diproses menjadi makanan lain.
Contohnya nasi sejuk, bukan sahaja boleh dijadikan nasi goreng tetapi juga boleh dibuat apam, bepang, keropok nasi dan pelbagai lagi.
Dengan berbuat begitu kita bukan sahaja dapat menyelamatkan muka bumi daripada dilambakkan dengan bahan sisa pepejal, tetapi juga dapat menjimatkan wang, yang nantinya boleh disalurkan untuk membantu mereka yang perlu.
Saya selalu membayangkan alangkah baiknya jika kita semua, sama ada pihak berwajib atau pertubuhan-pertubuhan sukarela bermuafakat memproses sisa-sisa makanan secara besar-besaran dengan menggunakan kecanggihan teknologi dunia baharu ini.
Hasilkan apa sahaja produk yang boleh; daripada baja kompos sehingga makanan kitar semula dan menjualnya secara besar-besaran juga.
Wang yang diperoleh gunakanlah untuk membeli makanan bagi dihulurkan kepada mereka yang berdepan dengan ancaman kelaparan. Jika itu dapat dilakukan tentu puluhan juta jiwa dapat diselamatkan.
Tetapi syaratnya wang itu janganlah pula digunakan untuk membeli Vellfire! #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausha Politik. Mulai tahun 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca