DUA minggu lepas, ketika saya mencatat filem Mat Kilau telah mengheret mereka yang sudah lama tidak ke pawagam untuk masuk panggung, sayalah antara mereka itu. Kerana Covid-19, saya terpaksa mengetepikan kesukaan saya menonton di pawagam.... Klik di sini untuk terus membaca

DUA minggu lepas, ketika saya mencatat filem Mat Kilau telah mengheret mereka yang sudah lama tidak ke pawagam untuk masuk panggung, sayalah antara mereka itu.

Kerana Covid-19, saya terpaksa mengetepikan kesukaan saya menonton di pawagam. Dan kerana Mat Kilau, saya kembali ke panggung.

Pada tahun lalu, sebelum fasa endemik, saya pergi menonton sebuah siri Marvel di pawagam terkenal.

Saya tidak suka prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana semua harus dilakukan secara dalam talian; dari pembelian tiket hinggalah mendapatkan bertih jagung.

Kini, peraturan menonton di pawagam sudah seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun untuk pembelian tiket dan bertih jagung, ia dilakukan secara dalam talian di luar pawagam. Akan tiba masanya nanti, kaunter jagung bertih pun tidak diperlukan.

Sebaliknya, mesin layan diri sahaja disediakan. Tenaga manusia hanya diperlukan untuk mengawasi perjalanan mesin kod QR di pintu masuk.

Suasana di pawagam hari ini sudah jauh berbeza berbanding tahun 60-an. Di tempat saya membesar di bandar Mersing, terdapat dua buah panggung wayang. Satu daripadanya tidak berbumbung sepenuhnya.

Bila hujan, penonton berlari ke kawasan berbumbung untuk menonton sambil berdiri. Jika panggung wayang begitu wujud pada hari ini, tentulah ia akan menjadi bahan tular di TikTok.

Sebelum tayangan bermula, panggung wayang memainkan pelbagai lagu. Tidak sunyi sepi seperti panggung wayang hari ini. Jajan wajib bagi penonton di waktu itu bukannya jagung bertih, tetapi kuaci.

Bila hampir semua penonton mengunyah kuaci Cap Helang, bunyinya lebih kuat daripada memamah jagung bertih. Kasut pun boleh tenggelam dengan kulit kuaci.

Harga tiket pula hanya 65 sen untuk dewasa dan 40 sen untuk kanak-kanak. Dengan harga itu, saya mampu mengumpul duit untuk menonton.

Dengan 40 sen juga, saya biasa mengheret seorang kawan untuk masuk percuma kerana penjaga pintu ialah orang kampung.

Pantang ada filem baharu ditayangkan, saya pasti akan menonton, tidak kira sama ada filem Melayu, Hindustan mahupun Inggeris.

Tempat kegemaran saya di waktu kanak-kanak adalah di kerusi paling hadapan sebab seronok melihat skrin besar terpampang di depan mata.

Sewaktu menuntut di kolej, saya biasa menonton dengan kawan-kawan di panggung wayang Rex atau Cathay di Klang.

Kedua-dua panggung wayang itu adalah jenama gergasi seperti Tanjung Golden Village (TGV) dan Golden Screen Cinemas (GSC) pada hari ini.

Bila bekerja di Kuala Lumpur, saya tetap meluangkan masa untuk menonton. Di era cineplex di mana terdapat tujuh hingga lapan buah panggung wayang sebelah menyebelah di kompleks beli-belah, saya pernah menonton dua buah filem berturutan, back-to-back.

Biasanya pada Khamis, filem baharu mula ditayangkan. Staf saya tahu sangat mengapa saya suka ambil cuti separuh hari pada hari itu.

Saya lebih banyak menonton bersendirian daripada menonton dengan kawan-kawan atau keluarga.

Kerusi kegemaran saya ialah di baris G iaitu tujuh baris dari skrin, di kerusi bahagian tengah. Kerana minat, saya pernah menjadi satu-satunya penonton filem di dalam pawagam. Saya masih ingat yang saya menonton filem Nixon sendirian bila tamat tayangan.

Namun begitu, saya pernah keluar panggung kerana tidak sukakan sesebuah filem. Filem Abraham Lincoln: Vampire Hunter sungguh menjengkelkan kerana plot ceritanya berterabur.

Saya keluar panggung 10 minit setelah tayangan.Bagi saya, skrin besar terbentang luas dan runut bunyi yang menggema, cukup mengalirkan hormon adrenalin dan dopamine yang menjadikan saya sentiasa peka dengan suasana sekeliling serta kreatif.

Ia menjadikan menonton di saluran Astro mahupun Netflix tidak dapat menyaingi suasana dan pengalaman menonton di pawagam.

Lagi pula, orang rumah tak kuasa menyediakan bertih jagung sebagai jajan kita melayani minat!

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian.

Klik di sini untuk terus membaca