SHAH ALAM - Bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail menepis pandangan bahawa parti itu bakal berdepan masalah dalaman kritikal menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan pergeseran Presidennya,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail menepis pandangan bahawa parti itu bakal berdepan masalah dalaman kritikal menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan pergeseran Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden baharu dipilih, Rafizi Ramli.

Sebaliknya, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti baru dilantik itu berkeyakinan PKR kini memiliki barisan kepimpinan yang menongkah arus dan bersedia untuk 'berperang semula' demi kebajikan rakyat.

Mengakui dakwaan pertembungan Anwar-Rafizi itu sedang hangat dilagukan musuh politik di media sosial, Siti Aishah berpendapat kedua-dua ikon besar parti itu akhirnya menunjukkan kematangan tinggi dan mengetepikan ego masing-masing demi merangka kerjasama utuh menghadapi PRU15 kelak.

"Dalam soal dua ikon besar mengepalai parti ketika ini, saya anggap ia ritma terbaik untuk parti bergerak ke hadapan bagi menghadapi PRU15.

"Walaupun ada dakwaan akan berlaku pertembungan serius antara Anwar dan Rafizi sepanjang proses pemilihan dan kongres tempoh hari, namun di akhir kongres, kedua-dua pemimpin itu meletakkan ego ke belakang dan menyatakan persetujuan bekerjasama demi kemenangan parti serta rakyat.

"Senario terkini itu memberi isyarat jelas PKR sudah memiliki kepimpinan yang melawan arus politik perdana dan sudah bersedia untuk kembali bertempur demi keadilan rakyat," ujarnya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Selasa.

SITI AISHAH

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan berlaku pertembungan serius di antara Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dengan Rafizi dan kelompok pemimpin yang cenderung menyokong beliau, pada sepanjang proses pemilihan parti penggal tahun 2022-2025.

Dakwaan itu kini sedang giat ditularkan pihak tertentu susulan kenyataan Rafizi sewaktu ditemuramah pemberita pada Kongres Nasional PKR ke-16 di sini minggu lalu, mengajak kepimpinan baharu PKR agar tidak membodek atau mempertahankan Anwar apabila Presiden parti itu dikritik.

Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

Bagaimanapun, Anwar kemudiannya mengendurkan teguran Rafizi itu dengan menganggapnya sebagai satu 'panadol' untuk menghilangkan kerungsingan beliau terhadap tahap kesetiaan bekas Ahli Parlimen Pandan itu selama ini.

FAHMI

MAJORITI KEPIMPINAN MUDA

Sementara itu, seorang lagi ahli MPP PKR baharu, Fahmi Zainol menyifatkan pelantikan majoriti kepimpinan muda dalam barisan kepimpinan MPP parti baharu sebagai isyarat akar umbi mahukan lebih ramai tokoh pemimpin muda untuk membuat dasar PKR sendiri.

Bekas calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR itu juga menegaskan beliau akan terus mengetengahkan tiga dasar utama bagi menambat segmen pengundi berusia 18 tahun ke atas iaitu mencadangkan kepada parti agar lebih ramai calon muda ditonjolkan, memastikan partisipasi lebih ramai orang muda terhadap politik khususnya PKR serta berhasrat membantu AMK memperkukuhkan sayap parti itu.

"Pada masa sama, saya secara peribadi berpandangan mana-mana figura pemimpin senior berpengalaman tidak wajar dipinggirkan dan perlu diangkat menggalas jawatan strategik bagi merangkul kebersamaan dalam PKR sendiri.

"Saya secara peribadi akan menyuarakan perkara ini kerana asas utama pengukuhan parti adalah memastikan keperluan adunan orang lama dan baharu digarap bagi memberi nafas baharu kepada PKR," tegas beliau.

KAR HING

AGENDA MESYUARAT PERTAMA

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing pula menjangkakan isu mengukuhkan struktur parti di peringkat jawatan tertinggi dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bakal menjadi agenda utama mesyuarat pertama MPP PKR pada 20 Julai ini.

Beliau yang juga terpilih sebagai ahli MPP PKR baharu menegaskan parti itu amat memerlukan kepimpinan baharu yang profesional, komited dan meliputi kepelbagaian bangsa bagi mencerminkan imej PKR sendiri sebagai parti pelbagai kaum.

"Bagi saya, kalau kita sekadar berusaha mengukuhkan struktur dalaman parti sahaja tidak cukup.

"Ia perlu diselangi oleh kerja keras daripada setiap pemimpin dilantik dalam mengangkat semula isu-isu rakyat selain mengesampingkan dakyah musuh politik PKR," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca