SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu mempertahankan 11 kerusi Parlimen yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, parti itu sedang dalam proses membuat audit forensik dan menilai prestasi bagi 11 kerusi tersebut.
"Saya sebagai timbalan presiden dan Presiden, Mohamad Sabu selalu membincangkan tentang 11 kerusi yang ada. Kita sedang buat audit forensik dan penilaian prestasi, setakat hari ini, kita mesti berupaya untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang ada ini.
"Ambil fakta (PRU14) lepas, kita bertanding 27 kerusi di Semenanjung. Kita sedang mengkaji potensi (kerusi Parlimen lain) di samping 11 kerusi yang boleh capai kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Untuk rekod, pada PRU14, Amanah berjaya memenangi 11 kerusi melibatkan wakil rakyat dari Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Johor.
Untuk rekod, pada PRU14 lalu, Amanah berjaya memenangi 11 kerusi melibatkan Kota Raja, Pulai, Parit Buntar, Hulu Langat, Tampin, Pokok Sena, Temerloh, Shah Alam, Kuala Selangor, Lumut dan Sepang.
Tambah Salahuddin, fokus mereka kini adalah untuk menguatkan dan mengukuhkan lagi gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15.
"Baru-baru ini ada yang mengatakan kalau nak masuk dalam khemah besar, mereka meletakkan syarat tidak mahu Perdana Menteri daripada PH.
"Kita telah meletakkan satu garis yang kukuh. Kita PH dan bergerak atas nama PH. Yang (parti) lain, jika nak bersama kita, perlu satu lawan satu, ada persefahaman yang jelas dan tidak mengganggu-gugat persefahaman yang telah dibina dalam PH.
"Saya yakin jika PRU15 diadakan sama ada pada tahun ini atau tahun hadapan, dengan rakyat kembali mengundi dengan 70 hingga 80 peratus, Covid-19 tidak lagi menjadi hambatan dan PH berjaya menampilkan persembahan yang baik, kita masih ada peluang (menang),” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca