KUALA LUMPUR - Masalah perpecahan melibatkan parti-parti dalam kerajaan sedia ada menyebabkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkemungkinan tidak akan diadakan dalam jangka masa terdekat. Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Masalah perpecahan melibatkan parti-parti dalam kerajaan sedia ada menyebabkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkemungkinan tidak akan diadakan dalam jangka masa terdekat.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kegagalan parti-parti dalam kerajaan mencapai kata sepakat untuk mengadakan pilihan raya menyebabkan mereka tidak boleh membubarkan kerajaan segera.

Jelas beliau, kerajaan sedia ada pasti akan memilih tarikh pelaksanaan PRU15 bersesuaian pada saat parti mereka berada dalam keadaan paling kuat dan mampu menang, namun keadaan itu sukar kerana mereka kini tidak ada kata sepakat.

"Kalau saya tentukan tarikh pilihan raya dahulu, saya berpendapat ketika parti saya kuat dan akan menang. Itu ukurannya. Mungkin lebih awal dan mungkin lebih lewat. Tetapi kita hendak lihat parti kita menang.

"Saya fikir perkara sama difikirkan kerajaan yang ada sekarang. Mereka akan pilih tarikh yang mana boleh menang. Tetapi mereka kini berdepan masalah perpecahan.

"Ada yang hendak pilihan raya lebih awal, ada yang hendak kemudian. Jadi selagi mereka tidak boleh capai kata sepakat untuk mengadakan pilihan raya, mereka tidak boleh bubarkan kerajaan.

"Justeru, saya berpendapat bahawa tidak akan ada PRU15 dalam jangka masa terdekat. Lagipun Belanjawan 2023 belum diluluskan.

"Jadi, kelulusan belanjawan penting untuk keperluan perbendaharaan kerajaan bagi tahun hadapan,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di bangunan Yayasan Al-Bukhary, di sini pada Rabu.

Ketika ini, tarikh pelaksanaan PRU15 masih menjadi tanda-tanya dalam kalangan pemimpin politik dan rakyat. Ia merupakan hak prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Meskipun terdapat gesaan PRU15 diadakan lebih awal oleh sebilangan besar pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun majoriti pemimpin kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan itu.

Sebaliknya, mereka meminta kerajaan menyelesaikan dahulu krisis ekonomi dan masalah kenaikan mendadak kos sara hidup ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menegaskan pintu rundingan bagi membincangkan idea khemah besar pembangkang dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah dianggap tertutup sama sekali.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat Pejuang susulan parti-parti tersebut mempunyai pendapat berbeza di samping sokongan oleh rakyat terhadap mereka tidak begitu jelas.

"Umpamanya ramai orang Melayu tidak boleh terima DAP. Jadi, kalau kita bawa masuk DAP, maka ramai orang Melayu yang akan menolak kita.

"Jadi, kita tidak akan mengadakan kerjasama dengan PH, sama ada dengan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) atau pun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kita hanya mahu bekerjasama dengan orang tidak terlibat politik dan tidak membangkitkan perasaan benci kepada mereka,” tegas Dr Mahathir.

Klik di sini untuk terus membaca