KUALA LUMPUR - Faktor utama Malaysia terdedah kepada ancaman kedaulatan negara ekoran tuntutan waris kesultanan Sulu berpunca daripada keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mungkir janji untuk membayar RM5,300... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Faktor utama Malaysia terdedah kepada ancaman kedaulatan negara ekoran tuntutan waris kesultanan Sulu berpunca daripada keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mungkir janji untuk membayar RM5,300 setahun kepada pihak berkenaan sejak tahun 2013.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apabila berlaku pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013, Najib mengarahkan kerajaan menghentikan bayaran wang serahan kepada waris kesultanan itu kerana menyalahkan mereka sebagai dalang.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan, Najib kemudian gagal mengemukakan bukti kukuh bahawa pencerobohan itu adalah terdiri anggota waris kesultanan Sulu.

"Waris kesultanan Sulu tidak buat salah, jadi mengapa beliau (Najib) berhenti bayar? Bila beliau menghentikan bayaran (wang serahan) itu, kerajaan sudah dianggap mungkir janji.

"Bila kerajaan sudah tidak bayar wang serahan sejak tahun 2013, mereka (waris kesultanan Sulu) ambil tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa ke atas kerajaan kita, walaupun mahkamah berkenaan tidak mempunyai sebarang bidang kuasa ke atas Malaysia,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini pada Rabu.

Beliau mengulas dakwaan Najib bahawa kerajaan PH melakukan kesilapan besar dalam menangani isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah sebelum ini.

Menurut Najib kesilapan itu berpunca tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menulis surat kepada waris Sultan Sulu untuk menyatakan rasa kesal dan menawarkan bayaran RM48,000 bagi menyelesaikan kes bayaran yang dihentikan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan PH yang baru mengambil alih kerajaan selepas Mei 2018, menyatakan kesanggupan untuk membayar semula hak waris kesultanan Sulu berkenaan walaupun kerajaan Najib mengabaikannya sebelum itu.

Ujarnya, hal ini kerana Perjanjian 1878 itu sudah diwarisi kerajaan sejak sekian lama dan tindakan Najib dengan sendirinya menyingkirkan perjanjian berkenaan tanpa mengadakan rundingan dengan waris kesultanan Sulu terlebih dahulu, memberi ruang kepada perkara itu dibawa ke mahkamah arbitrasi antarabangsa.

"Itu punca masalah. Najib tidak boleh buat (batalkan perjanjian) secara ex-parte dengan tidak melibatkan pihak kedua iaitu waris kesultanan Sulu itu sendiri.

"Kalau beliau tidak buat keputusan sebegini, tiada kes untuk waris berkenaan bawa ke mahkamah.

"Peguam Negara sewaktu kerajaan PH (Tommy Thomas) pula terpaksa menghantar surat menyuarakan kekesalan di atas tindakan Najib dan menyatakan komitmen kerajaan untuk kembali bayar wang serahan mengikuti butiran perjanjian yang diwarisi.

"Kita hendak menyelesaikan perkara itu. Namun pada masa sama, kita hendak menekankan bahawa mahkamah antarabangsa tidak boleh menentukan kuasa jurisdiction terhadap aset negara kita.

"Dengan kata lain, kita tidak iktiraf sebarang keputusan dibuat di mahkamah Madrid, Sepanyol; Perancis dan Luxembourg, cuma kita hendak tunaikan semula janji kepada waris kesultanan Sulu,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca