KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan hasratnya mahu kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah bertujuan untuk menjadi perdana menteri kali ketiga.
Beliau, menegaskan keputusan pusingan ‘U’ untuk kembali bertanding pada PRU15 dibuat setelah didesak pemimpin Pejuang.
Tegas Dr Mahathir, soal siapa bakal menjadi perdana menteri sekiranya Pejuang dan barisan badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik yang bersama dengannya menang PRU15, tidak pernah bangkit sama sekali.
"Saya mula-mula tak nak bertanding. Tetapi banyak orang mendesak disebabkan imej parti akan kurang jika saya tidak bertanding.
"Ramai yakin kalau saya bertanding di kerusi Parlimen Langkawi, sekurang-kurangnya saya boleh menang. Saya menyatakan kalau itu kehendak mereka, saya akan bertanding, tetapi keputusan itu belum muktamad.
"Soal (kembali) jadi perdana menteri pula, tidak bangkit sama sekali. Dalam Pejuang dan barisan NGO yang akan mendepani PRU15, kita tidak akan bercakap mengenainya. Kalau dah menang, barulah kita boleh sembang soal itu.
"Kalau tidak menang, strategi menamakan calon perdana menteri tidak akan menolong kita. Tiap seorang yang kita namakan, ramai mungkin tidak bersetuju. Soal siapa perdana menteri akan ditangguhkan sehingga selepas PRU15 kita menang,” tegas Dr Mahathir lagi.
Klik di sini untuk terus membaca