SHAH ALAM - Satu draf rang undang-undang persendirian melibatkan pendanaan parti politik di negara ini telah diserahkan kepada pihak Parlimen untuk dibahaskan sekali gus memastikan cadangan Akta Pembiayaan Dana Politik dapat dilaksanakan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Satu draf rang undang-undang persendirian melibatkan pendanaan parti politik di negara ini telah diserahkan kepada pihak Parlimen untuk dibahaskan sekali gus memastikan cadangan Akta Pembiayaan Dana Politik dapat dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen (APPG), Ahmad Fadhli Saari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas telah menghantar draf rang undang-undang tersebut kepada pihak Parlimen pada minggu lepas.

Katanya, antara isi kandungan draf rang undang-undang tersebut adalah membabitkan prinsip ketelusan di dalam pembiayaan dana politik di negara ini selain menetapkan satu batasan penyaluran dana bagi kegunaan parti politik.

"Draf rang undang-undang persendirian itu juga menetapkan agar semua sumbangan mesti disalurkan kepada akaun parti dan bukannya dimasukkan ke dalam akaun individu.

"Selain itu, draf rang undang-undang tersebut juga mahu semua saluran sumbangan kepada parti politik mesti direkodkan dan diserahkan kepada satu suruhanjaya baharu yang akan ditubuhkan bagi tujuan mengawal selia pendanaan politik di negara ini.

"Perkara kedua yang terdapat di dalam draf rang undang-undang yang diserahkan kepada pihak Parlimen bagi dibincangkan adalah melibatkan perkara baharu iaitu pendanaan awam politik seperti mana yang telah dilaksanakan di Jerman dan Indonesia.

"Ia merupakan satu dana daripada kerajaan yang akan diedarkan kepada parti politik yang menang. Peruntukan diberikan berdasarkan berapa yang mereka menang (jumlah kerusi) dan sekiranya tidak menang, mereka tidak akan diberikan dana politik tersebut,” jelas beliau.

Tricia berkata, perbahasan rang undang-undang persendirian tersebut di peringkat Parlimen adalah penting bagi mengurangkan kebergantungan parti politik terhadap sumbangan dana daripada pihak korporat atau syarikat.

Jangan benar syarikat, korporat salur dana politik

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Dr Badlishah Sham Baharin berkata, penyaluran dana politik daripada pihak korporat dan syarikat persendirian sewajarnya diharamkan bagi mengelak individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di atas sumbangan yang diberikan.

Badlishah Sham Baharin

Menurutnya, perkara tersebut seharusnya diambil perhatian serius kerana ada pihak tidak bertanggungjawab berjaya menutup ‘kerja kotor’ mereka daripada dikenakan tindakan ekoran sumbangan diberikan kepada parti-parti politik tertentu.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berkata, perkara seumpama itu seharusnya tidak berlaku ekoran faktor favor atau kelebihan dimiliki oleh syarikat atau pihak korporat yang telah memberi sumbangan dana politik.

"Rasuah yang tidak dibendung akan meresap ke dalam dana politik. Maka di sini akan berlakulah faktor favor atau kelebihan kepada mana-mana pihak yang memberi sumbangan pembiayaan dana politik kepada parti-parti tertentu.

"Semua ini digunakan bagi mengejar impian secara haram. Sebagai contoh, jika ada perniagaan yang menyalurkan dana kepada parti politik, maka ada perlindungan diberikan dan boleh beroperasi secara haram.

"Jika kita lihat kepada pencemaran sungai, kenapa perkara ini boleh berlaku? Ini kerana ada pihak tertentu telah menyediakan dana politik kepada parti yang diinginkan sekali gus mampu menyelamatkan aktiviti perniagaan masing-masing,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca