DALAM usaha pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan generasi penamat bagi menurunkan prevalen perokok di negara ini, ada pula pihak-pihak berkepentingan dalam industri vape ingin membantah pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi mengawal produk-produk merokok.
Ia termasuklah rokok elektronik atau vape seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar pada Januari lalu.
Menurut Khairy, usul yang akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi mendapat persetujuan dan kelulusan mereka adalah sangat tepat pada waktunya untuk diperkenalkan.
Tabiat merokok tidak lagi dilihat sebagai ‘trend’ dalam kalangan anak-anak, remaja dan golongan muda di Malaysia. Prevalen merokok melibatkan golongan berkenaan didapati semakin menurun hasil usaha berterusan oleh kerajaan selama ini.
Cadangan Khairy itu telah mendapat perhatian, bahkan pujian daripada Ketua Pengarah WHO sendiri, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Pihak industri vape yang telah sekian lama mengaut keuntungan berbilion ringgit tanpa dikawal dilihat mula melobi ahli-ahli politik dan wakil rakyat bagi memastikan akta baharu itu tidak dipersetujui.
Mereka mula berkempen melalui saluran-saluran media tentang produk vape yang kononnya ‘lebih selamat’ berbanding rokok konvensional.
Walhal, sudah semakin banyak kajian terkini yang lebih terperinci membuktikan rokok elektronik tidak selamat digunakan, apatah lagi apabila melibatkan generasi muda.
Adakah ahli politik sanggup menjual dan menggadaikan nyawa serta kesihatan anak-anak generasi kita hanya semata-mata untuk menjaga segelintir kecil golongan konglomerat yang diketahui umum menguasai industri vape dalam negara kita?
Di manakah slogan Keluarga Malaysia yang sama-sama dilaungkan selama ini?
Kempen-kempen yang mengelirukan itu dilihat berjaya memerangkap sebilangan kecil remaja dan anak-anak muda Keluarga Malaysia yang asalnya tidak pernah memulakan tabiat merokok, kini terjebak menghisap vape.
Bahkan pelbagai perisa turut ditambah dan diiklankan dengan cara promosi, antaranya ‘karamel’ serta perisa buah-buahan.
Langkah tersebut dilihat seperti ‘musang berbulu ayam’ kerana mereka selalu menggembar-gemburkan bahawa produk vape yang dijual hanyalah alternatif lebih selamat bagi golongan perokok tetapi pada masa sama mereka menyasarkan juga anak-anak muda dan remaja yang tidak pernah pun memulakan tabiat merokok.
Harus disedari, daripada amalan merokok dan vape, kemudian akan terjadi isu lebih besar iaitu masalah dadah serta sosial yang akan meruntuhkan akhlak serta merosotkan mutu pelajaran anak-anak serta remaja.
Jika benar mereka hanya menyasarkan golongan perokok untuk beralih kepada vape, pelaksanaan generasi penamat sepatutnya tidak akan mengganggu pasaran produk mereka kerana larangan penjualan terhadap golongan itu hanya melibatkan anak yang lahir pada 2005.
Pelaksanaan pelan generasi penamat akan membantu mewujudkan perlindungan kepada generasi baharu daripada mula mencuba apa-apa jenis produk merokok kerana kajian membuktikan ketagihan nikotin bermula daripada vape boleh membuka pintu kepada pengambilan rokok konvensional.
Oleh itu, tatkala bahang pilihan raya umum (PRU) semakin terasa, ahli-ahli politik diingatkan bahawa rakyat sentiasa memerhatikan ucapan dan langkah-langkah yang diambil oleh mereka terutama jika melibatkan kesejahteraan serta keselamatan rakyat.
Mana-mana ahli politik yang dilihat membelakangi kepentingan rakyat mempunyai ‘peluang cerah’ akan ditolak.
Inilah masanya mereka menjadi role model terbaik kepada generasi muda dengan amalan hidup bebas asap rokok dan vape.
* Dr Mohd Afiq Mohd Nor ialah Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin ialah Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Rawatan Utama (RUKA), Fakulti Perubatan, UM
Klik di sini untuk terus membaca