PENDUDUK Sri Lanka kini bertambah susah untuk membeli dan mendapatkan makanan setelah negara mereka berdepan dengan krisis ekonomi yang paling teruk sejak ia mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1948.
Ramai penduduknya tidak dapat menikmati makanan yang mencukupi selepas Presiden negara berkenaan sebelum ini iaitu Gotabaya Rajapaksa membuat keputusan pada tahun 2020 untuk mengharamkan semua baja kimia import secara drastik.
Tindakan itu dibuat pada mulanya bagi memastikan baja organik digunakan tetapi ia telah menyebabkan penurunan yang besar dalam pengeluaran makanan manakala terdapat protes besar-besaran di negara berkenaan bagi mendesak larangan tersebut ditarik balik.
Walaupun larangan tersebut kemudian ditarik balik, tetapi masih belum ada import dibuat dalam isu baja kimia disebabkan oleh krisis ekonomi yang sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan simpanan mata wang asing.
Ia bermakna negara tersebut tidak mampu membayar import makanan ruji dan bahan api yang membawa kepada kepada masalah kekurangan bekalan yang teruk dan harganya pula sangat tinggi untuk dibeli oleh penduduk tempatan.
Bagaimanapun, Gotabaya sudah meletakkan jawatan sebagai Presiden setelah beliau melarikan diri dari Sri Lanka ke Maldives dan kemudian Singapura manakala peletakan jawatannya itu dilakukan menerusi e-mel kemudian diterima oleh Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardena pada Jumaat lalu.
Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe yang juga seorang peguam kemudian dilantik menjadi Pemangku Presiden berdasarkan undang-undang negara berkenaan sebelum beliau dipilih menerusi undian rahsia daripada Ahli-Ahli Parlimen.
Wickremesinghe yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak enam kali memperoleh undi sebanyak 132 undi sekali gus menewaskan dua lagi pencabarnya iaitu Dullas Alahapperuma yang memperoleh 82 undi manakala seorang lagi Ahli Parlimen, Anura Kumara Dissanayaka mendapat hanya tiga undi.
PENDUDUK 'IKAT PERUT'
Bagaimanapun, tugas kini selaku Presiden bertambah berat kerana beliau perlu menyelesaikan krisis ekonomi di negaranya yang sehingga kini penduduk negara tersebut terpaksa ‘mengikat perut' untuk makan tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.
Memandangkan harga tinggi sekali gus menghalang makanan sihat daripada jangkauan ramai penduduk, kira-kira 61 peratus isi rumah kerap menggunakan pelbagai strategi bagi mengurangkan kos seperti mengurangkan jumlah yang mereka makan dan mengambil makanan yang kurang berkhasiat.
Seorang wanita pernah memberitahu Program Makanan Sedunia (WFP) bahawa terdapat penduduk yang tidak mempunyai cara pemakananan yang betul tetapi hanya makan nasi dan kuah.
Krisis ekonomi terburuk yang berlaku di negara itu telah menyebabkan kadar inflasi berleluasa dan mencetuskan protes sehingga Gotabaya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Presiden manakala rakyat Sri Lanka makan sedikit dan kurang bekerja.
Dalam satu contoh tentang kesanggupan penduduk untuk mendapatkan makanan, saluran televisyen Sky News Britain pernah melaporkan bahawa sejumlah keluarga terpaksa berjalan kaki hampir 10 kilometer untuk mendapatkan makanan percuma dari dapur komuniti di bandar Colombo.
Kekurangan bekalan minyak semasa telah memaksa sekolah-sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan ditutup sehingga diberitahu kelak manakala terdapat pengurangan pengeluaran pertanian domestik, kekurangan rizab pertukaran asing dan penyusutan nilai mata wang tempatan di negara berkenaan.
Inflasi makanan di Sri Lanka mencapai angka 80.1 peratus pada Jun lalu dengan di kedai sayur dio negara berkenaan penduduk membayar sebanyak 1,000 rupee (RM12.41) untuk sekilo labu, dua kali ganda daripada beberapa bulan lalu.
"Harga sudah naik. Punca utamanya ialah tiada jalan untuk mengangkut barang-barang itu kerana ketiadaan minyak," kata seorang pemilik kedai , Mohamad Faizal seperti dilaporkan AFP.
PERNIAGAAN MEROSOT
Bagaimanapun, para peniaga berkata, perniagaan telah merosot sejak Mac lalu.
"Harga untuk segala-galanya telah meningkat lebih daripada dua kali ganda. Sesetengah sayur-sayuran yang tidak terjual menjadi sia-sia dan ramai orang miskin datang mengambil sebahagian daripadanya pada setiap hari selepas pasar ditutup," kata seorang peniaga, M. M. Mufeed seperti dilaporkan AFP.
Menurut portal berita Sputnik yang memetik kenyataan para pemandu kenderaan, terdapat barisan panjang sehingga satu hingga dua kilometer untuk mendapatkan bekalan minyak sehingga ada diantaranya terpaksa menunggu selama kira-kira tiga hari sebelum berjaya memperoleh bekalan bahan api.
Sehubungan itu, Presiden baru Sri Lanka yang baru dilantik selepas Gotabaya melarikan diri kerana istana kediamannya diserbu para penunjuk perasaan pada minggu lalu akibat marah dengan situasi ekonomi perlulah menyelesaikan dengan segera masalah ekonomi di negara berkenaan.
Ketika berucap di Parlimen pada Rabu lalu, Wickremesinghe berkata negaranya berada dalam situasi yang sangat sukar.
Sri Lanka telah dilanda protes selama berbulan-bulan kerana negara itu muflis dan mempunyai hutang sebanyak AS$51 bilion (RM227.05 bilion) selain menghadapi masalah kekurangan makanan, bahan api dan bekalan asas yang lain.
Justeru, adakah beliau mampu menstabilkan semula negara yang dilanda krisis ekonomi itu? - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca