SHAH ALAM - Tindakan sesetengah individu yang menghina agama tidak boleh disifatkan sebagai salah satu bentuk hak kebebasan bersuara dalam negara ini.
Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia), Yusuf Azmi berkata, perbuatan bersuara sepatutnya dilakukan atas fakta dan persoalan, bukan berdasarkan tuduhan, tohmahan atau fitnah.
"Walaupun ini negara demokrasi, tetapi adakah kita diajar dan dididik dalam demokrasi ini boleh menghina?
"Ini tidak wajar dan bernas kerana kalau begitu adakah pelajar boleh pergi ke sekolah dan bebas sesuka hati melawan cakap cikgu? Sesuka hati hina cikgu?
"Sebab itu di negara ini, kita boleh bersuara tetapi atas persoalan dan fakta, bukannya suka-suka lontarkan tuduhan, tohmahan dan fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk ‘Hina Agama Makin Berani Ya’ yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Ulas Yusuf, individu yang menghina agama itu disifatkan sebagai seseorang yang tidak mempunyai prinsip dalam hidup.
"Sebab itu saya bagi saya kalau orang hina perwatakan, pekerjaan atau bangsa pun kita marah, apatah lagi menghina agama, yang bersifat kerohanian, ketuhanan dan kepercayaan ini.
"Oleh sebab itu, saya nampak masyarakat hari ini dah boleh marah dan bertindak sendiri,” ujarnya.
Justeru itu, menurutnya, kerajaan perlu bersifat lebih tegas terutamanya dari segi menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang berhubung isu tersebut.
"Saya berasa tindakan berdasarkan hukuman itu juga penting. Macam hari ini, kita sedih apa yang berlaku tentang seseorang yang menghina agama yang dibebaskan jaminan dan sekarang dibawa kepada Jawi untuk diberi perhatian.
"Saya rasa perkara itu tidak adil sebab maksudnya menghina agama ini hanya bernilai RM20,000, RM40,000 atau RM50,000.
"Maksudnya di Malaysia ini bebas dalam bersuara sehingga agama itu menjadi perkara yang tidak penting,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca