RABU lalu tanggal 13 Julai penulis melekat di depan kaca TV menonton perlumbaan berbasikal terunggul di dunia, Tour de France (TdF) edisi ke-109. Seperti biasa TdF sentiasa menyajikan aksi luar biasa kerana semua pelumba terlibat dianggap... Klik di sini untuk terus membaca

RABU lalu tanggal 13 Julai penulis melekat di depan kaca TV menonton perlumbaan berbasikal terunggul di dunia, Tour de France (TdF) edisi ke-109.

Seperti biasa TdF sentiasa menyajikan aksi luar biasa kerana semua pelumba terlibat dianggap bukan ‘manusia biasa’.

Perlumbaan peringkat ke-11 TdF menghidangkan beberapa puncak berstatus hors khususnya Col du Galibier setinggi 2,630 meter dan Col du Granon (2,404m).

Penulis tidak terbayang bagaimana penatnya untuk mendaki beberapa puncak yang melebihi 2,000m dalam masa lima atau enam jam.

Penulis melihat TdF dari perspektif kejuruteraan sukan. Sebelum ini, penulis pernah menjalankan kajian dari sudut kejuruteraan sukan melibatkan bintang Sukan Olimpik dari Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang. Kajian tersebut sudah pun diserahkan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Begitu juga TdF.

Kebanyakan basikal termasuk jenama Aeroad Canyon Factory Racing atau Canyon Aeroad (CFR) cuma seberat kurang 7.45 kilogram, jauh lebih ringan daripada julat minimum.

Meskipun Aeroad CFR model paling ringan, namun ia dianggap basikal paling tegar dalam julat tertinggi sistem reka bentuk binaan Shimano Dura-Ace.

Reka bentuk aerodinamik berjaya memotong udara dengan seretan paling hampir kepada sifar. Kejayaan ini dilakukan hasil kajian sistematik termasuk menggunakan sistem terowong angin yang mampu menghasilkan data untuk setiap komponen basikal termasuk brek cakera.

Sebagai seorang yang terlibat secara langsung sukan permotoran dan berbasikal, penulis mengerti penyelidikan serta pembangunan basikal biasanya melibatkan pelumba profesional, jurutera, teknologis dan jurulatih.

Mereka pasti memiliki peralatan penyelidikan seperti sistem aerodinamik dan perkomputeran bendalir dinamik serta terowong kayuhan angin.

Sebenarnya penulis percaya sudah sampai masanya Malaysia memiliki terowong kayuhan angin menggunakan teknologi canggih jika mahu melahirkan jaguh berbasikal trek bertaraf dunia seperti Azizulhasni.

Pada masa sama, setiap basikal yang diuji boleh disambung kepada ergometer bagi menguji dan memperoleh nilai kekuatan daya kayuhan.

Pengujian ‘angin lintang’ boleh diuji dengan membalikkan ergometer untuk menghasilkan putaran ‘menguap’ (yawed) bagi mengetahui posisi terbaik jika berlaku tiupan angin lintang dari arah kanan atau kiri pelumba.

Terowong kayuhan angin juga membolehkan ujian dilakukan secara ‘in-situ’ sekali gus membolehkan semua penyelidikan disesuaikan dengan strategi aerodinamik dan jenis basikal.

Keperluan kejuruteraan sukan sebenarnya dinyatakan ALLAH SWT menerusi Surah al-Anfal, ayat 45 dan 46.

Penulis percaya selain terowong angin, Malaysia juga perlu mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan dilengkapi pusat penyelidikan, pembangunan, peralatan latihan dan pakar bagi membantu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Penulis tahu kewujudan pasukan prestasi tinggi, namun kewujudan Pusat Kecemerlangan Sukan lebih menjurus kepada penubuhan Universiti Pendidikan dan Latihan Sukan Antarabangsa berkonsepkan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).

Universiti sukan ini boleh mengenal pasti bakat seawal usia lima tahun sehingga mereka muncul atlet bertaraf dunia.

Terdapat keperluan mewujudkan Jabatan Pendidikan Tadika Sukan, Jabatan Pendidikan Sekolah Rendah dan Menengah Sukan, Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Jabatan Kemanusiaan dan Sains Sosial Sukan, Jabatan Sukan Olimpik dan Jabatan Kejuruteraan Sukan yang menawarkan program pendidikan awal kanak-kanak berusia seawal lima tahun sehingga program doktor falsafah dan program ‘non-degree’.

Antara program penting yang perlu diketengahkan termasuk latihan sukan, perubatan sukan, pemulihan dan fisioterapi, persembahan dan tarian, penyiaran dan pengacaraan, kewartawanan, internet dan media baharu, kinesiologi serta sains manusia, kejuruteraan sukan, pemulihan sukan, sukan rekreasi dan sains sukan.

Kesimpulannya, penulis percaya Tour de France yang dianggap mustahil kerana melibatkan pendakian gunung yang sangat tinggi banyak memberi pengajaran kepada Malaysia.

Sekiranya mahu berjaya dan menghasilkan atlet pelumba seperti Azizulhasni, Malaysia perlu mengayakan khazanah kejuruteraan sukan. Mungkin ia boleh bermula dengan pembinaan terowong angin dan penubuhan pusat kecemerlangan sukan.

*Profesor Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor.

Klik di sini untuk terus membaca