PADA 14 Julai lalu, saya diberi penghormatan melancarkan Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya. Ia ditubuhkan atas inisiatif pengasas pendananya, Puan Sri Norma Hashim, iaitu anakanda mantan Ketua Hakim Malaya, Allahyarham... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 14 Julai lalu, saya diberi penghormatan melancarkan Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya.

Ia ditubuhkan atas inisiatif pengasas pendananya, Puan Sri Norma Hashim, iaitu anakanda mantan Ketua Hakim Malaya, Allahyarham Tan Sri Hashim Yeop Sani.

Menurut Pengarahnya, Profesor Dr Nazari Ismail, pusat ini bertujuan untuk mendalami ilmu dalam Pengajian Palestin demi mencapai kebebasan, keadilan dan kesaksamaan bagi rakyat Palestin.

Ia bercita-cita menjadi pusat akademik terulung dalam bidang ini di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dalam ucapan pada majlis tersebut, saya telah mengutarakan dua perkara utama berkaitan Palestin.

Pertama, bahawa dunia sedang berada dalam arkitektur dan sistem antarabangsa yang dicipta oleh pihak yang memenangi Perang Dunia Kedua. Arkitektur dan sistem tersebut tidak adil dan saksama serta telah menjadi kuno.

Kedua-duanya menjadi latar belakang yang mengizinkan isu Palestin tercetus pada tahun 1948, dan berterusan sehingga hari ini, malah menjadi semakin kritis dari sehari ke sehari.

Israel, dengan bantuan negara-negara penyokongnya, terus bermaharajalela, manakala rakyat Palestin semakin menderita.

Oleh itu, ketika kita mendukung perjuangan Palestin, kita mesti meneruskan usaha-usaha mereformasi arkitektur dan sistem antarabangsa tersebut.

Dan kedua, dukungan Malaysia terhadap perjuangan Palestin adalah berkesinambungan sejak dahulu. Malaysia tidak berniat untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.

Pada masa yang sama, kita juga perlu mengiktiraf kewujudan aspirasi dan generasi baharu pejuang Palestin serta aktivisme serta gerakan baharu yang menyokongnya di seluruh dunia.

Satu daripada pendekatan baharu ialah mengisytiharkan Israel sebagai negara aparteid. Ini terutamanya sejak parlimen Israel meluluskan Nation-State Bill pada Julai 2018.

Ia menyatakan bahawa Israel adalah negara untuk kaum Yahudi sahaja; hak menentukan nasib sendiri hanya dimiliki kaum Yahudi; dan tapak-tapak penempatan Yahudi di Tebing Barat yang dianggap haram oleh masyarakat antarabangsa dianggap sah oleh Israel.

Laporan badan-badan yang autoritatif, contohnya, Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia Barat (ESCWA), B’Tselem, Human Rights Watch (HRW) dan Amnesty International merumuskan bahawa Israel melakukan jenayah aparteid terhadap rakyat Palestin.

Ini selaras dengan Konvensyen Aparteid 1973 yang mendefinisikan aparteid sebagai "perbuatan-perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan dengan tujuan mencipta dan meneruskan dominasi oleh satu kumpulan ras ke atas satu kumpulan ras yang lain dan menindasnya secara sistematik.”

Semoga pusat pengajian di Universiti Malaya ini dapat meningkatkan kesedaran, kefahaman dan komitmen seluruh warga dunia dalam mendukung perjuangan Palestin.

Dunia sedang berada dalam arkitektur dan sistem antarabangsa yang dicipta oleh pihak yang memenangi Perang Dunia Kedua. Arkitektur dan sistem tersebut tidak adil dan saksama serta telah menjadi kuno."

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca