SAYA seboleh-bolehnya mengelak untuk memandu kereta pada lewat malam kerana berdasarkan pengalaman, pada waktu itu saya berhadapan dengan beberapa kejadian yang boleh membahayakan diri.
Pernah juga ketika pulang kerja, sewaktu memandu saya nyaris bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu melawan arus.
Nasib baik sempat mengelak, kalau tidak entah apa yang berlaku kerana kereta yang datang dari hadapan itu memang laju.
Entah apa dalam fikiran pemandu itu, memandu melawan arus di Persiaran Mokhtar Dahari, berhampiran Taman Perumahan Sunway Alam Suria, Shah Alam, Selangor.
Semalam pula apabila terpaksa memandu pulang lewat malam, saya dikejutkan dengan kehadiran gerombolan mat rempit yang berlumba dari simpang empat ‘Lampu Isyarat 199’ hingga ke Lebuh Raya Guthrie.
Sebenarnya agak pelik melihat kehadiran kumpulan mat rempit itu kerana semalam bukannya hari minggu yang menjadi malam acara mingguan mat rempit berlumba di atas jalan raya.
Namun oleh sebab jalan kosong, mereka seperti biasa melakukan aksi-aksi wajib iaitu wheelie (angkat tayar hadapan motor), Superman (meniarap di atas motor) dan menunggang secara liar (zig-zag).
Ada juga yang menunggang laju sambil membonceng gadis berambut perang dan ada juga yang saya nampak dari belakang seperti remaja bawah umur yang orang utara panggil ‘kanyaq’.
Saya hanya berdoa agar tiada antara mereka yang berlanggar sesama sendiri walaupun setiap aksi mereka menjurus ke arah itu.
Nasib baik tiada apa yang berlaku kerana walau apa pun situasi, saya tidak mahu kejadian buruk menimpa mereka lebih-lebih lagi di hadapan mata saya.
Beberapa tahun lalu ketika menjaga bapa saya yang berada di wad separa kritikal di Hospital Sungai Petani, Kedah, berlaku di hadapan mata saya bagaimana hayat seorang remaja berakhir dalam keadaan menyedihkan akibat lumba haram.
Ketika doktor dan jururawat bertungkus-lumus memberikan rawatan, saya mendengar remaja terbabit meraung kesakitan sambil memanggil ibunya.
Dengan keadaan mangsa yang penuh dengan darah, sepanjang rawatan hanya dua perkataan yang diulang-ulang iaitu "mak...sakit....mak...sakit”.
Jeritan itu dapat didengar dengan jelas kerana mangsa betul-betul berada di sebelah katil bapa saya.
Suara jeritan yang memecah kesunyian wad itu bagaimana pun terhenti dan semua orang dalam wad itu tahu bahawa remaja itu sudah kembali kepada Maha Pencipta.
Di luar wad saya melihat beberapa remaja dipercayai rakan mangsa yang memegang topi keledar saling menyalahkan antara satu sama lain dan beredar dengan tergesa-gesa apabila melihat ibu bapa mangsa tiba.
Amat menyedihkan kerana ibu bapa mangsa tidak tahu pun yang anak mereka curi-curi keluar malam, terlibat dengan geng rempit hingga terlibat kemalangan seterusnya kehilangan nyawa dalam keadaan tragis sebegitu.
Saya yakin orang lain mungkin berdepan dengan kisah yang lebih tragis berbanding dengan apa yang saya lalui.
Apa yang saya fahami, masalah mat rempit ini berlaku zaman-berzaman, turun-temurun dari zaman dahulu hinggalah hari ini.
Walaupun model motor bertukar mengikut peredaran zaman - daripada bunyi bising enjin dua lejang kepada bunyi enjin empat lejang, impak mat rempit dan lumba haram tetap sama iaitu kehilangan nyawa anak muda yang merugikan negara.
Pernah suatu ketika dulu, terdapat sebuah parti politik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan cuba mendekati mereka dengan melakukan pelbagai aktiviti berfaedah bagi menyemai sifat positif dalam kalangan mat rempit, tetapi pendekatan itu tidak berpanjangan dan terhenti di tengah jalan.
Oleh itu, sebarang program untuk membawa mereka ke arah kebaikan perlu dihidupkan semula supaya mat rempit tidak terus hanyut ke arah elemen negatif dan mengurangkan jumlah statistik nahas jalan raya akibat kemalangan motosikal.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca