TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mempunyai pendekatannya sendiri dalam mendepani isu keselamatan makanan di Malaysia.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, kerajaan tidak seharusnya terburu-buru dalam menetap dan mengubah sesuatu polisi dan dasar kerana ia akan memberi impak kepada rakyat.
Menurutnya, krisis keselamatan makanan yang berlaku dalam negara perlu ditangani bagi mengelak kesan lebih buruk namun situasi menang-menang antara pengguna dan pemain industri harus ada bagi mengimbangi rantaian bekalan makanan di Malaysia.
Ikuti kupasan beliau mengenai pelbagai isu dibangkitkan dalam wawancara eksklusif dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
JOHAN: Yang Berhormat (YB) pernah menjadi Menteri Pertanian, tentunya tentang isu keselamatan makanan, apakah YB dapat bayangkan kita akan sampai kepada peringkat ini?
SALAHUDDIN: Keselamatan makanan ini adalah isu global dan ia dibincangkan dalam banyak forum antarabangsa. Dunia barat dan negara maju di timur pun telah bersedia sebenarnya.
Walaupun maju sebagai negara industri namun bidang pertanian itu mereka tidak tinggalkan. Cuma pengalaman saya sebagai Menteri Pertanian walaupun singkat hanya 22 bulan, saya faham kedudukan sebenar negara pada tahun 2018.
Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri keempat negara ketika itu fokus menjadi negara industri, dan memang kita tidak boleh nafi Malaysia pada masa itu harus bergerak pantas setanding dengan negara jiran yang lain.
Setelah beliau menjadi Perdana Menteri ketujuh baru kita sedar pentingnya bidang industri makanan dan bersedia untuk menghadapi krisis keselamatan makanan.
Kita ada dasar agromakanan negara yang dikemukakan Kementerian Pertanian, dan saya lihat akhirnya Kementerian Pertanian tidak boleh bergerak sendiri.
Contohnya, jelapang padi di Kedah, tanah-tanah di situ tidak diwartakan sebagai jelapang padi. Arus pembangunan pesat hingga tanah-tanah bendang terpaksa diberikan kepada pemain industri termasuk kilang.
Namun pada masa depan apa jaminan jelapang padi ini akan kekal baik di Kerian, Perak dan Sekinchan, Selangor?
Saya telah beri cadangan kepada kabinet pada ketika itu bahawa perlu ada satu polisi jelas tentang pertanian negara dan keselamatan makanan.
Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Malaysia melalui industri realisasi yang luar biasa namun aspek pertanian terabai, apa yang Datuk Seri boleh buat dalam tempoh 22 bulan itu?
Kena ada polisi yang jelas, tanpa polisi yang jelas dan konkrit, kita tidak boleh bergerak ke mana-mana.
Apa yang berlaku dengan polisi itu sekarang? Tidak sempat, 22 bulan walaupun ada dasar agromakanan, kita cuma boleh reformasi. Kita ada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Persatuan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan kita cuba dalam waktu terdekat mewujudkan estet padi.
Bayangkan tanah-tanah bendang itu, seorang petani hanya memiliki satu, dua relung, satu hektar, setengah hektar pun ada, macam mana kita nak gambarkan masa depan jelapang padi kita ini.
Jadi kita kemukakan ‘smart sawah’, semua telah digerakkan tapi masa itu tidak mengizinkan. Atas dasar itu saya harap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sekarang ini dapat dikemukakan satu polisi jelas.
Bukan sahaja kerajaan berubah, apabila menteri berubah, dasarnya juga akan berubah, macam ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’ apa komen YB?
Itu cabaran besar. Jika kita tidak serius dalam keselamatan makanan, kita akan hadapi ancaman kebuluran, ini yang kita bimbangkan.
Peperangan Ukraine dan Rusia tidak tahu bila akan selesai, harga bijirin meningkat semasa perang, apa jaminan kita?
Self suficient level (SSL) tentang beras. Stockpile (bekalan stok) kita hanya bertahan 22 hari jika berlaku peperangan sedangkan negara China bertahan 11 bulan; Singapura enam bulan; Thailand dan Vietnam boleh bertahan tiga hingga empat bulan. Kerajaan hari ini perlu melihat perkara itu sebagai satu cabaran besar.
Pada waktu saya di Bangkok menghadiri mesyuarat ASEAN berkenaan keselamatan makanan, walaupun ada ‘ASEAN food agreement’ dan negara jiran Thailand dan Vietnam boleh hantar bantuan kecemasan kepada Malaysia, tapi kita tidak boleh bergantung pada mereka.
Apabila berlaku peperangan atau bencana besar, mereka pun ada rakyat dan fikir tentang soal keselamatan makanan mereka sendiri.
Jadi tanggungjawab asasi MAFI ialah memastikan negara cukup bekalan makanan.
Dari segi keperluan makanan, contoh beras agak-agak berapa peratus sebenarnya kita boleh tampung untuk keperluan sendiri berbanding dengan keperluan untuk mengimport?
Baru-baru ini saya ambil bahagian dalam rang undang-undang untuk meminda beberapa akta dalam Akta Lembaga Padi dan Beras Negara, menteri menjawab masih angka yang sama.
Kita bergantung 70 peratus beras tempatan dan terpaksa import 30 peratus dari negara jiran.
Sebenarnya keadaan ini agak stabil kalau tidak berlaku bencana di samping kita meningkatkan teknologi, sawah dan pertanian moden yang boleh diaplikasikan, tapi pada masa saya menerajui Kementerian Pertanian, kita mengunjurkan dalam masa lima tahun, boleh naik sehingga 75 peratus.
Apa masalahnya tentang food based agriculture, pemain industri kita banyak dalam bidang pembuatan, perumahan tetapi tidak dalam soal makanan?
Sebab pada tahun 70-an dan 80-an dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kita menjadikan Malaysia sebagai negara industri. Dr Mahathir mahu fokus Wawasan 2020 dengan negara-negara maju, dengan polisi itulah kita bergerak. Jadi kalau tidak ada polisi yang jelas tentang keselamatan makanan, ia tidak boleh bergerak.
Ada dua kaedah boleh dilaksanakan, kita ada tanah terbiar dan tanah Felda. Tanah terbiar ini agak rumit selepas masuk kementerian, kita lihat data, ada waris berkelahi, tanah faraid tidak selesai.
Pada masa itu, saya dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengetuai kementerian termasuk Felda, sudah tiga kali mesyuarat di peringkat tertinggi.
Sememangnya tanah Felda ini praktikal untuk kita buat pertanian, dan dapat selesaikan isu balance of trade (BOT) mengenai import barangan makanan dari luar yang kerajaan belanjakan hingga RM60 bilion setahun. Dua kementerian telah bersetuju dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) juga pada waktu itu berminat untuk melabur.
Saya hendak minta pandangan Datuk Seri tentang soal kenaikan harga barang dan tindakan kerajaan menarik balik subsidi beberapa barangan keperluan rakyat termasuk minyak masak dan sebagainya.
Kerajaan buat keputusan tidak cermat, saya cakap sebab saya pernah duduk dalam MAFI, kena ada satu kajian walaupun kita perlu cepat.
Bila kita tarik semua AP ayam dan hentikan eksport ayam ke Singapura, sekarang berlaku lambakan ayam dalam negara, nak jual balik dengan Singapura mereka dah ada perjanjian baharu. Perkara ini sepatutnya perlu dibuat secara berperingkat, mulakan dengan kurangkan eksport 30 hingga 50 peratus ayam dahulu.
Tetapi bukankah lambakan itu menguntungkan pengguna, misalnya harga ayam akan turun jika mengikut mekanisme pasaran?
Betul, kalau berlaku lambakan, harga ayam akan menurun sedikit. Tetapi pemain industri sudah ada kontrak dengan negara luar.
Sebab itu dalam kementerian, kita menentukan polisi, kita tidak boleh ambil satu kumpulan yang berkepentingan. Pemain industri juga ada peranan mereka. Jika tidak, nanti akan berlaku masalah di mana kita tidak boleh mengimbangi kepentingan bersama.
Apakah pandangan Datuk Seri berkenaan kedudukan inflasi terutamanya yang melibatkan soal makanan. Ramai orang merungut harga barangan keperluan me-ningkat, apa yang seharusnya kita buat?
Sebenarnya, sewaktu saya (menjadi Menteri MAFI) dahulu, saya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak boleh terpisah.
MAFI menjaga bekalan makanan, manakala KPDNHEP menentukan dari segi penggunaan. Sebab itu, kami selalu memanggil pemain industri, itu amalan yang dibuat.
Kami adakan penglibatan dan pertemuan supaya dapat bertukar nota dan memastikan dengan kecukupan (bekalan) yang ada dan harga yang ditawarkan, harga dapat distabilkan.
Walaupun bukan semua harga barang boleh distabilkan melalui undang-undang dalam negara, tetapi persefahaman dan penglibatan dengan pemain industri mesti selalu berlaku.
Sebab itu, jika kementerian yang terlibat tidak berjaya mengawal, atau menterinya tidak cukup masa, atau orientasinya bukan untuk menghadapi isu ini secara tuntas, ia akan berlarutan.
Sebab itu, kempen-kempen yang dibuat hari ini, contohnya Amanah sendiri membuat kempen supaya harga barang ditangani oleh kerajaan, ia mendapat respons yang baik daripada rakyat.
Ada pandangan mengatakan bahawa jika PH masuk ke gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH pada kali ini tidak sekukuh atau sekuat ketika masuk bertanding pada 2018. Apa pandangan Datuk Seri?
Ketika 2018, kita berjaya meyakinkan rakyat dengan seluruh kekuatan yang dibina dalam PH. Kita dikhianati, itu isunya.
Jangan kata PH menjadi penyebab segala-galanya. Kita dikhianati oleh rakan-rakan yang dulunya mohon masuk dalam PH, selepas menang PRU14, mereka khianati kita dalam Langkah Sheraton.
Bayangkan kalau kita ada satu penggal dan semua menteri dapat menjalankan tugas dengan baik, saya rasa kita boleh memberikan rekod yang baik kepada negara, tetapi saya tidak mahu ulang lagi, ia sudah menjadi water under the bridge, jadi kita harus melihat ke hadapan.
Sekarang bagi saya kita fokus pada kekuatan PH. Berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, walaupun dengan isu Covid-19, peratusan mengundi kurang, rakyat takut keluar mengundi, pintu sempadan tidak dibuka lagi, penduduk Kuala Lumpur tidak boleh balik ke Melaka dan Johor, PH masih mempunyai prestasi yang boleh dibanggakan, walaupun kita kalah.
Kita harus kukuhkan PH, empat parti ini mesti dikukuhkan, yakin dan tidak perlu lagi mempertikaikan isu.
Baru-baru ini ada pihak yang mengatakan, kalau nak masuk dalam khemah besar, mereka meletakkan syarat tidak mahu Perdana Menteri daripada PH.
Kita telah meletakkan satu garis yang kukuh. Kita PH dan bergerak atas nama PH. Yang (parti) lain, jika nak bersama kita, perlu satu lawan satu, ada persefahaman yang jelas, tidak mengganggu gugat persefahaman yang telah dibina dalam PH.
Saya yakin jika PRU15 diadakan sama ada pada tahun ini atau tahun hadapan, dengan rakyat kembali mengundi dengan 70 hingga 80 peratus, Covid-19 tidak lagi menjadi hambatan dan PH berjaya menampilkan prestasi yang baik, kita masih ada peluang.
Salah satu perkara yang banyak dibangkitkan ialah tentang sama ada orang Melayu akan kembali menyokong PH dan ramai orang Melayu yang mempunyai pandangan sendiri, misalnya dalam PH ada DAP. Apa komen Datuk Seri?
Saya tidak teruja dengan fakta itu. PH tidak perlu pun 50 peratus sokongan orang Melayu, kita hanya perlukan sekitar 20 hingga 25 peratus (sokongan) sahaja, sudah cukup untuk memerintah dengan kombinasi semua kaum.
Ini kerana, undi Melayu akan tetap terbahagi kepada tiga (parti) iaitu kepada UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Jadi, kita hanya perlu 20 peratus di mana peratusan itu tidak dapat kita capai di Melaka dan Johor.
Ambil itu sebagai makmal politik kita sebab peratusan keluar mengundi yang rendah, ditambah dengan (penularan) Covid-19. Jadi, jika kita berjaya untuk meyakinkan kembali rakyat, khususnya orang Melayu, jadi kita tidak ada apa-apa masalah.
Pandangan Datuk Seri tentang Undi18 yang sering diperkatakan bahawa undi ini akan merubah senario politik negara, tetapi ternyata ia tidak berlaku di Melaka dan Johor.
Johor telah membuktikan (Undi18) itu pertama kali dilaksanakan apabila dipinda dalam perlembagaan, beri pulang kepada orang muda. Tetapi saya nak ingatkan mereka bahawa ini adalah jasa PH untuk mengangkat martabat orang muda.
Mereka selalu menganggap mereka diajak menjadi satu kumpulan yang bersama dalam membuat dasar negara, berikan peluang untuk mengundi.
Namun begitu, kita tidak boleh berputus asa, saya rasa pendidikan politik itu sangat penting.
Jadi saya rasa ini peranan parti politik, NGO dan mana-mana pihak yang berperanan untuk menyedarkan golongan muda menggunakan hak mereka.
Apa pandangan Datuk Seri tentang sistem pengkaderan atau membawa masuk pimpinan baharu dalam parti Amanah?
Ya, kita terbuka, sebab itu dalam barisan kepimpinan baru-baru ini ada kekosongan, kita telah memberikan peluang kepada orang muda.
Semua orang tahu pada hari ini, kami Top 5 dalam Amanah dah masuk (umur) 60 tahun ke atas. Jadi, kita akan memberi peluang kepada orang muda.
Kita mengambil Adly Zahari yang mempunyai rekod baik di Melaka sebagai bekas Ketua Menteri di mana beliau sekarang menjadi Naib Presiden Amanah.
Kita ada ramai lagi wajah baharu yang harus diberi peluang seperti Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Saya rasa ini semua tokoh yang akan membarisi kepimpinan Amanah pada masa akan datang.
Salah satu daripada perkara yang banyak diperkatakan adalah tentang kualiti ahli politik sekarang yang mempunyai defisit kepercayaan rakyat, apa sebenarnya yang berlaku? Adakah kerana pendidikan politik atau ini adalah bukti bahawa ahli politik kini sudah hilang bara idealismenya?
Siapa pun kita, ahli politik, golongan profesional atau sesiapa sahaja sendiri kena ingat. Bila kita duduk di tempat ini, pertama sekali, kita hilang privasi kerana di mana-mana orang akan kenal kita. Jadi, berjaga-jagalah.
Di luar atau dalam negeri, waktu malam atau siang, lebih-lebih lagi dengan teknologi sosial media, semua orang boleh cepat tahu tentang kita. Ada orang kata, semua orang politik tidak boleh dipercayai.
Sebagaimana profesion yang lain, tidak semua (yang tidak boleh dipercayai), ma-sih ada tinggal teras yang boleh diberikan kepercayaan.
Saya tidak boleh kata siapa individu itu tetapi masa akan menentukan.
Maknanya rakyat masih memerlukan kepimpinan politik yang baik dan berintegriti untuk tampil menerajui negara.
Apa pandangan Datuk Seri tentang persepsi masyarakat bahawa korupsi begitu menakutkan dalam negara?
Tidak perlu pergi ke London, kalau pergi ke Seberang Tambak, Singapura atau Batam, apa orang luar kata pada kita hari ini? Kita telah menghadapi satu era di mana kita hilang teras kepercayaan yang sepatutnya ada pada Malaysia.
Satu masa dulu, negara terkenal dengan menteri yang berintegriti, dihormati, diplomat dan negara yang disegani, tetapi kita hancur kerana beberapa isu, misalnya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebab orang nombor satu sendiri telah menghancurkan negara ini. Kita harus berdepan dengan semua ini. Orang tanya saya apa akan jadi kepada Malaysia? Mungkin kita perlu digadaikan macam Indonesia.
Adakah kita memerlukan waktu yang panjang untuk memastikan bahawa kita mencapai majoriti politik dan kestabilan sebenar?
Kita perlu pantas, belajar dengan Indonesia. Ambil contoh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi. Tanya penduduk Indonesia, mengapa Jokowi berjaya? Jawapan pertama adalah apabila Jokowi masuk dalam pejabat selama satu penggal, beliau terus bertindak.
Hampir 500 orang termasuk bekas menteri, bekas jeneral, bekas datuk bandar didakwa dan dimasukkan dalam penjara.
Signalnya jelas, jangan main-main dengan Jokowi. Jadi, semua anggota pentadbiran ada rasa gerun untuk mengawal negara mereka. Hari ini mereka berjaya, tidak perlu lama.
Apakah kita perlu institusi atau mekanisme untuk buat apa yang dilakukan oleh Indonesia?
Kita ada satu institusi, iaitu rakyat.
Mereka yang boleh mengundi semula sama ada tahun ini atau tahun hadapan.
Jadi, kita harus beritahu rakyat, kita perlu ada dalam negara dan pimpinan yang baik untuk mereka.
Apa harapan Datuk Seri untuk masa hadapan negara?
Saya mengharapkan PH dapat kem- bali berkuasa, kita ada aset walaupun 22 bulan, saya yakin jika diberikan peluang, kita mampu buat jauh lebih baik daripada apa yang mereka ada pada hari ini.
Klik di sini untuk terus membaca