KUALA LUMPUR - Di sebalik sasaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk bertanding di keseluruhan 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan parti itu hanya merancang meletakkan sekurang-kurangnya 40 calon di kerusi-kerusi bersesuaian.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu menambah, Pejuang tidak akan meletakkan banyak calon bagi menghadapi PRU15 kerana beliau menyedari parti itu masih baharu, kecil serta tidak mampu menang bersendirian bagi membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan lebihan 80 kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu yang disasarkan Pejuang, mungkin akan ditandingi calon-calon daripada Barisan Pejuang yang terdiri pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik kecil lain.
Jelas Ahli Parlimen Langkawi berusia 97 tahun itu, hal ini kerana Pejuang sudah membentuk satu gabungan kerjasama politik dengan kelompok pemimpin bukan ahli politik, tetapi masih ingin melihat negara ditadbir dengan baik, dengan kelompok ini sekarang berada dalam pelbagai NGO dan parti politik kecil.
Katanya lagi, gabungan kerjasama Pejuang dengan pelbagai NGO dan parti politik kecil yang dipanggil Barisan Pejuang ini boleh menggunakan simbol atau bendera Pejuang untuk bertanding pada PRU15, meskipun tidak menjadi ahli parti itu secara rasmi.
"Sebagaimana kita lihat pada PRU14 di mana Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan simbol dan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR). Walaupun mereka bukan ahli PKR, tetapi mereka memperoleh kemenangan.
"Untuk orang yang tidak puas hati dengan kerajaan sekarang, mereka boleh terlibat dengan proses pilihan raya dan mungkin akan menjadi anggota dalam kerajaan didirikan bersama Pejuang kelak. Mungkin bukan dalam bentuk kerajaan Pejuang dan gabungan parti lain, tetapi bersama satu barisan NGO khususnya orang Melayu yang amat khuatir keadaan mereka di dalam negara.
"Mereka berjuang bukan hendak jadi kerajaan. Tetapi tanpa jadi kerajaan, mereka tidak mungkin melaksanakan dasar-dasar mereka.
"Sebab itu kita percaya bahawa orang-orang NGO, ahli akademik dan profesional, boleh bersama-sama dengan Pejuang dan parti politik kecil lain untuk membentuk barisan tidak formal yang bertanding menggunakan satu simbol dan satu bendera (Pejuang)," kata Dr Mahathir dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di bangunan Yayasan Al-Bukhary pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut menegaskan sudah beratus NGO Melayu telah mengadakan perjumpaan dengan Pejuang dan mendapat penerangan jelas daripada parti itu tentang keperluan satu gabungan kerjasama dibentuk pada PRU15 bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Ujarnya, kelompok pemimpin Barisan Pejuang ini menyedari bahaya dihadapi orang Melayu sekiranya kerajaan sedia ada dibiarkan terus memimpin dan bersetuju dengan pandangan Pejuang bahawa pembentukan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya adalah amat penting.
"Selain itu, untuk orang bukan Melayu pun, mereka juga ada memainkan peranan. Mereka juga hendak melihat kerajaan yang baik, tidak korup. Ini sudah berlaku dahulu.
"Kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi didominasikan orang Melayu, tetapi kaum lain dapat banyak nikmat. Sebenarnya kemajuan penubuhan Malaysia hanya dirasai selepas kita mencapai kemerdekaan daripada British.
"Pemindahan kuasa British kepada orang Melayu membolehkan orang Melayu melakukan keadilan terhadap semua kaum. Kita tidak rampas harta orang lain, bahkan kita memberi kerakyatan kepada 1 juta orang lain yang tidak layak menjadi warganegara ketika itu.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan dipimpin majoriti orang Melayu akan melakukan perkara adil terhadap semua kaum. Kita percaya itu pendirian Pejuang. Kita akan melakukan keadilan, bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi kepada kaum bukan Melayu," tambah Dr Mahathir.
Beliau juga menyangkal dakwaan kewujudan Pejuang tidak relevan bagi menyaingi parti-parti politik yang lebih dominan susulan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
Jelas beliau, kekalahan PRN Johor bukan ukuran sebenar kekuatan Pejuang kerana mereka ketika itu baharu berusia lima bulan dan tidak mempunyai masa mencukupi bagi menyusun strategi parti.
"Sebenarnya, ramai melihat saiz Pejuang terlalu untuk kecil bagi menjadi kerajaan walaupun Pejuang meletakkan sejumlah 42 calon pada PRN Johor.
"Sebab itu parti tidak dapat sokongan kerana rata-rata pengundi tidak tahu kekuatan Pejuang atau hala tuju perjuangannya ketika itu.
"Jadi apa yang berlaku di Melaka dan Johor, bukan ukuran sebenar kekuatan Pejuang yang akan bersama dengan kumpulan NGO lain demi pemulihan semula negara. Kalau hendak kira Pejuang (bersendirian), memang kita akan kalah. Tetapi kalau kita kira Pejuang bersama barisan NGO yang kita dipanggil Barisan Pejuang, kita mungkin mampu menang," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca