KUALA SELANGOR - Ibarat diberi nyawa kedua, seorang juruteknik yang pernah terjerumus dalam kancah mat rempit bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya pada Disember 2014.
Rosman (bukan nama sebenar), 23, berkata, kejadian berlaku semasa dia dan 15 rakan lain menguji kehandalan masing-masing menunggang motosikal di atas jalan raya.
Akibat menunggang secara laju dan berbahaya, dia tercampak di atas but sebuah kereta di hadapannya.
"Peristiwa itu menyebabkan saya mengalami kecederaan di kepala dan keretakan pada tumit kiri," katanya ketika menceritakan kejadian itu kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Rosman, sifat inginkan perkara baharu menjadi punca dia terjebak dalam kegiatan tidak bermoral berkenaan.
"Saya mula pandai menunggang motosikal ketika berusia 13 tahun. Dua tahun selepas itu mula berjinak-jinak untuk berlumba.
"Saya tidak menyangka daripada sikap ingin mencuba timbul perasaan seronok setiap kali menunggang motosikal," katanya.
Jelas Rosman, semua berubah sekelip mata selepas dia yang terbabit kemalangan perlu berulang-alik ke hospital selama tiga bulan.
"Sehingga kini saya masih mengingati kejadian itu. Ia tentunya memberikan keinsafan paling mendalam," ujarnya.
Tambahnya, sokongan kuat daripada ibu bapa dan saudara-mara serta rakan menjadi pendorong utama untuk dia terus meninggalkan aktiviti tidak sihat itu.
"Saya tekad untuk berubah ke arah kebaikan kerana menganggap inilah peluang kedua yang diberikan ALLAH untuk menjadi insan lebih berjaya.
"Saya juga ingin berpesan pada rakan lain supaya hargailah masa muda yang ada untuk kita menjadi insan cemerlang. Janganlah membahayakan nyawa di jalanan dengan memandu secara berbahaya," katanya.
Hilang sebelah tangan kerana rempit
Sementara itu di Shah Alam, seorang bekas pelumba haram tidak dapat melupakan tarikh 31 Ogos 2015 apabila dia menjadi orang kurang upaya (OKU) selepas terbabit kemalangan jalan raya.
Muhammad Hafiq Hizwan Norizan, 25, merupakan pempengaruh di laman sosial TikTok berkata, minatnya terhadap motosikal bermula di Tingkatan Empat.
Disebabkan minatnya terhadap motosikal dan sentiasa menyertai lumba haram, ibu bapanya tidak menghiraukan perbuatannya itu, bahkan menyifatkan dia memberi contoh tidak baik kepada adik-beradik lain.
"Saya menyertai konvoi sempena Hari Kemerdekaan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Ketika dalam perjalanan pulang ke Melaka, saya terlelap atas motosikal.
"Saya merempuh pembahagi jalan Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan akibatnya, saya melambung seterusnya tidak sedarkan diri.
"Rakan-rakan lain tahan kenderaan yang lalu untuk bawa saya ke Hospital Port Dickson. Namun setibanya di situ, pihak hospital terpaksa pindahkan saya ke Hospital Seremban kerana kecederaan yang dialami di bahagian perut agak teruk, limpa pecah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Muhammad Hafiq Hizwan berkata, dia ditahan selama dua minggu di unit rawatan intensif (ICU) dan tidak sedarkan diri selama dua hari sebelum tangan kirinya terpaksa dipotong akibat kecederaan dialaminya.
"Kisah ini sampai mati saya akan ingat. Sepupu beritahu yang ayah saya tumbuk lif, memberontak kerana merasakan dirinya gagal jadi seorang bapa yang baik kepada anak, sedangkan aktiviti rempit adalah pilihan saya sendiri.
"Walaupun sebelum ini ayah tidak pernah peduli jika saya terlibat dalam kemalangan biasa, tetapi waktu itu dia yang menjaga saya di ICU. Timbul rasa menyesal dalam diri kerana telah mengecewakan ibu bapa dan keluarga.
"Sepanjang dua minggu, ayah tak balik rumah, ulang-alik ke tempat kerja di Alor Gajah (Melaka) dari hospital dan tidur di surau sahaja. Begitulah pengorbanan seorang ayah dan pastinya kini, rasa kesal dalam diri tidak akan hilang," katanya yang kesal dengan perbuatannya.
Sementara itu, seorang lagi bekas mat rempit, Muhammad Afifi Mohd Isa, 33, berkata, pengalaman melihat rakannya terlibat kemalangan dan maut di tempat kejadian ketika menyertai lumba haram lapan tahun lalu memberi kesedaran kepadanya untuk meninggalkan dunia rempit.
"Sejak umur 13 tahun saya bawa, belajar membaiki motosikal sendiri. Setiap malam minggu akan sertai lumba untuk uji motosikal. Ada yang guna duit untuk pertaruhan.
"Kalau jatuh motosikal banyak kali dan tak pernah serik, tetapi bila nampak depan mata kawan baik sendiri maut, masa itu timbul rasa serik dan fikir.
"Banyak perkara yang tidak elok dan bila fikir balik, menyesal pun ada. Dulu mungkin darah muda, keinginan membuak-buak," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca