IPOH - Menyaksikan sendiri rakan cedera parah dan maut dalam aksi lumba haram menyebabkan seorang bekas mat rempit sedar bahawa kegiatan itu hanyalah sia-sia. Malah, ia mendorong Hairul Azuan Mazlan, 38, terfikir masa depan yang terpaksa... Klik di sini untuk terus membaca

IPOH - Menyaksikan sendiri rakan cedera parah dan maut dalam aksi lumba haram menyebabkan seorang bekas mat rempit sedar bahawa kegiatan itu hanyalah sia-sia.

Malah, ia mendorong Hairul Azuan Mazlan, 38, terfikir masa depan yang terpaksa ditempuhi kesan penglibatan dalam aktiviti tersebut.

Hairul Azuan

Mula terlibat dalam aktiviti mat rempit sejak usia menginjak 17 tahun, Hairul Azuan bersyukur apabila mendapat peluang kedua berubah menjadi lebih baik.

"Kalau dahulu saban minggu ada sahaja perlumbaan saya sertai, jadi joki dan setiap kali itulah ada sahaja yang cedera, tidak kurang rakan-rakan yang terkorban atas jalan.

"Paling ngeri apabila depan mata, ketika asyik berlumba, tubuh kawan saya terputus dua kerana bertembung dengan kereta.

"Kejadian itu sentiasa menghantui dan membuatkan saya trauma, sejak itu saya sedar, merempit ini, kalau kita mati, tanggung sendiri dan sia-sia,” katanya ketika ditemui di Kampung Bahagia, Teluk Intan pada Khamis.

Bapa kepada empat anak berusia empat hingga 15 tahun itu mengakui, pernah terlibat dalam beberapa kemalangan dan terseret ketika berlumba yang menyebabkan seluruh tubuhnya masih berbekas kesan kecederaan.

Katanya, keluar masuk lokap juga ibarat sudah menjadi rutinnya ketika itu hingga mendatangkan kebimbangan kepada ibu bapanya.

"Mungkin ALLAH masih sayangkan saya. Saya bersyukur dipertemukan dengan seorang hamba ALLAH yang menasihati saya supaya berubah dan mengajak saya terlibat aktif dalam persatuan belia.

"Apabila saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, perlahan-lahan saya meninggalkan aktiviti ini. Walau ada rasa ketagih mahu berlumba, saya nekad untuk berubah,” jelasnya.

Dia yang bergelar usahawan di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sejak tahun 2014 menasihatkan generasi muda supaya mengelakkan diri daripada dipengaruhi aktiviti lumba haram.

Hairul Azuan yang menjalankan tiga perniagaan iaitu gerai burger, kedai makan dan cuci kereta menyarankan agar anak-anak muda yang mempunyai minat mendalam dalam dunia permotoran menggunakan platform betul bagi mengembangkan minat serta kemahiran.

"Jika betul-betul mahu melibatkan diri dalam perlumbaan, lakukan cara yang betul, sekarang ada banyak litar disediakan untuk anak muda beraksi,” katanya yang kini mempunyai 13 koleksi motosikal, antaranya Suzuki Panther, Yamaha RX-Z, Yamaha LC, Kawasaki Kips dan Motocross.

Hobi mahal hampir ragut nyawa sendiri

Sementara itu di Petaling Jaya, keghairahan menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan laju mengundang padah kepada Muhammad Hafizi Abdul, 33, apabila terlibat kemalangan yang hampir meragut nyawanya tiga tahun lalu.

Berkongsi pengalamannya, Muhammad Hafizi yang kini merupakan pemilik sebuah pusat cucian kenderaan, Chill-er Auto Detailer berkata, hobi tersebut meninggalkan kesan kepada dirinya yang kini lebih beringat ketika menunggang.

Muhammad Hafizi

"Saya mula menceburkan diri dalam bidang permotoran ketika sekolah menengah tetapi apabila bekerja dan mampu beli motosikal berkuasa tinggi, hobi itu berubah.

"Ketika itu boleh dikatakan sangat aktif berkonvoi. Ada satu ketika, saya dan rakan-rakan berkonvoi pusing semenanjung. Bila tiba di selekoh jalan Lubuk Cina, Melaka saya cuba memotong sebuah lori di hadapan dan ketika itulah tidak dapat kawal motosikal dan overshoot hingga langgar tebing jalan.

"Akibat kemalangan itu, lima daripada tulang rusuk saya patah dan hampir sebulan dirawat di hospital. Saya dapat cuti sakit selama enam bulan,” katanya pada Khamis.

Muhammad Hafizi yang ketika itu bertugas sebagai pensyarah di sebuah kolej berkata, sepanjang tempoh bercuti, pihak institusi pengajian tinggi swasta berkenaan telah menggantikan tempatnya dengan tenaga pengajar baharu dan dia terpaksa membuat keputusan untuk meletak jawatan.

Bagi menampung kehidupan bersama isteri dan tiga orang anaknya, Muhammad Hafizi bertekad memulakan perkhidmatan cuci kenderaan dengan mengambil alih perniagaan itu daripada rakannya.

"Sebelum ini pelbagai jenis pekerjaan saya buat seperti jual air tebu, durian selain menceburkan diri dalam jualan motosikal berkuasa tinggi secara sambilan.

"Apabila ada peluang untuk ambil alih perniagaan ini daripada rakan, maka saya tumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan baharu ini manakala hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi masih ada, cuma tidak kerap macam dulu.

"Kini saya lebih berhati-hati kerana memikirkan keadaan isteri dan anak-anak,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca