SELEPAS mendengar penjelasan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tentang Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel dan mengakui bahawa penubuhan dua negara iaitu Palestin dan Israel secara berasingan kelihatan seolah-olah... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS mendengar penjelasan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tentang Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel dan mengakui bahawa penubuhan dua negara iaitu Palestin dan Israel secara berasingan kelihatan seolah-olah masih jauh untuk dicapai, seorang pegawai Palestin memberikan penilaiannya mengenai lawatan beliau ke rantau Timur Tengah.

Pegawai itu yang tidak mahu namanya didedahkan menyatakan: "Ia (lawatan itu) sama seperti (Donald) Trump (memberikan) senyuman."

Pendahulu Biden, iaitu Donald Trump dibenci oleh penduduk Palestin atas dasar-dasar pro-Israelnya yang tidak berbelah bahagi dan beliaulah juga yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada tahun 2017.

Bagaimanapun, tidak ramai menyangka bahawa Biden yang berusia 79 tahun itu boleh memulakan rundingan damai dengan rejim Zionis yang sebelum ini hampir mati sejak tahun 2014 bagi mencari penyelesaian terhadap wilayah Palestin.

Sungguhpun begitu, terdapat keyakinan bahawa pertemuan antara Biden dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas di bandar Baitulaham di Tebing Barat yang dijajah oleh Israel pada minggu lalu boleh memberikan hasil yang sederhana dalam isu berkenaan.

Penduduk Palestin berharap bahawa Presiden AS itu pada akhirnya akan menepati janji untuk membuka semula sebuah pejabat konsulat milik negara 'Uncle Sam' yang ditutup pada tahun 2019 untuk kemudahan penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Membuka semula pejabat konsulat itu membolehkan ia menjadi pendorong atau penggalak kepada proses damai, kata seorang lagi pegawai Palestin yang tidak mahu namanya didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, pemimpin AS itu tidak menawarkan sebarang rancangan substantif untuk menamatkan penjajahan Israel malah beliau sendiri mengelak daripada mengkritik bilangan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat iaitu isu yang pernah diketengahkan oleh pentadbiran bekas Presiden Barack Obama ketika Biden berkhidmat sebagai Naib Presidennya.

Penduduk Palestin masih kecewa kerana Israel masih menjajah Palestin. - Foto AFP

Sunggupun begitu, delegasi AS telah mengumumkan rancangan untuk menyediakan akses internet 4G di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang dijajah Israel sekali gus menangani permintaan yang telah dibuat oleh penduduk Palestin.

Lawatan Presiden AS itu juga memberikan permulaan yang buruk buat penduduk Palestin apabila Biden mengisytiharkan pada satu majlis alu-aluan di Israel: "Anda tidak perlu menjadi seorang Yahudi untuk menjadi seorang Zionis."

Setiap Presiden AS sebelum ini, sejak Israel diwujudkan pada tahun 1948 boleh dikatakan memenuhi definisi teknikal Zionisme dengan menyokong secara aktif kewujudan negara Yahudi tersebut.

Sungguhpun demikan, penduduk Palestin mengambil perhatian berat tentang kenyataan Biden.

"Beliau datang ke Israel, mengisytiharkan dirinya sebagai Zionis kemudian datang ke Palestin dan enggan bercakap mengenai asas-asas konflik (perbalahan Israel dengan Palestin),” kata salah seorang pegawai Palestin tersebut seperti yang dilaporkan oleh AFP.

Seorang penunjuk perasaan yang menghadiri perhimpunan semasa lawatan Presiden AS ke Baitulham itu memegang poster yang tertulis perkataan: "Biden, Baitulmaqdis adalah Palestin tidak kira anda Zionisme."

Penduduk Palestin mendakwa bahagian timur bandar Baitumaqdis itu adalah ibu kota mereka.

Selama beberapa dekad lalu, Biden secara terbuka mengiktiraf Baitulmaqdis barat sebagai ibu negara Israel dan berkata, beliau tidak akan membatalkan keputusan kontroversi yang dibuat Trump untuk memindahkan Kedutaan AS kembali ke Tel Aviv.

Mengenai proses damai, Presiden AS itu menegaskan semula sokongannya terhadap penubuhan negara Palestin walaupun kewujudannya kelihatan suram.

"Saya tahu bahawa matlamat (penubuhan) kedua-dua negara (itu) kelihatan begitu jauh," katanya di Baitulaham sebelum ini.

Bagi Tahani Mustafa iaitu penganalisis Tebing Barat untuk kumpulan pemikir International Crisis Group, lawatan Biden itu tidak mempunyai petunjuk bahawa penduduk Palestin mempunyai sebarang tempat dalam agenda pentadbirannya.

Menurut sumber yang rapat dengan kepimpinan Palestin, rancangan awal untuk mengeluarkan kenyataan bersama antara Biden dengan Abbas pada minggu lalu telah dibatalkan kerana kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan penggunaan kata-kata.

Bagi penduduk Palestin, pertemuan singkat antara Biden dengan Abbas itu sebenarnya membawa perasaan kekecewaan.

"Seperti biasa, kami ditinggalkan dengan (perasaan) kecewa," kata Issa Abu Ayash kepada AFP ketika dia menonton televisyen di kafe Baitulham yang menyiarkan imej Biden menuju ke lapangan terbang Israel sebelum beliau berlepas ke Arab Saudi. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca