KUALA LUMPUR - Formula terbaik kerajaan mengatasi krisis inflasi meruncing ketika ini adalah dengan menentukan semula nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) di pasaran atau dipanggil 'tambatan RM' serta melaksanakan pemberian... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Formula terbaik kerajaan mengatasi krisis inflasi meruncing ketika ini adalah dengan menentukan semula nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) di pasaran atau dipanggil 'tambatan RM' serta melaksanakan pemberian subsidi besar-besaran kepada rakyat.

Bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu mencontohi inisiatif diambil kerajaan Amerika Syarikat (AS) sewaktu mendepani Krisis Kewangan AS tahun 2008 apabila mereka mengeluarkan wang yang banyak bagi membantu rakyat mengatasi isu kos sara hidup yang meningkat mendadak.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Langkawi berusia 97 tahun itu turut meminta supaya nilai mata wang RM ditentukan semula (ditambat) oleh kerajaan dan bukan lagi berasaskan penentuan pasaran terbuka.

"Seperti dahulu, kita selamatkan negara kita dan negara-negara lain apabila kita tetapkan nilai tukaran mata wang RM kepada RM3.80 berbanding satu dollar AS (sewaktu mendepani Krisis Kewangan Asia tahun 1998). Bukan sahaja kita selamat, malah semua negara lain turut terima manfaat.

"Tetapi kita sekarang tidak jaga nilai mata wang. Bila tidak jaga, ada orang yang sengaja menurunkan nilai RM. Bila keadaan itu berlaku, kita jadi miskin disebabkan keupayaan membeli kita menurun.

"Kalau nilai mata wang kita semakin merudum, maka pelabur asing akan keluar daripada Malaysia. Ini kerana kalau nilai mata wang semakin jatuh, mereka akan bertambah rugi. Sebab itu kita lihat pelabur banyak menarik keluar pelaburan dari negara ini," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi krisis ekonomi dan hiperinflasi dihadapi Malaysia dan seluruh dunia ketika ini, sekali gus menyebabkan lebih 34 juta rakyat Malaysia tersepit dalam mendepani isu kos sara hidup yang meningkat mendadak.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini mengeluarkan laporan statistik baharu mengenai Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Mei yang melonjak kepada 2.8 peratus berbanding 2.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Tidak dinafikan senario peningkatan harga barang dan kos sara hidup amat memberi kesan kepada rakyat Malaysia, terutama selepas 184 item makanan daripada keseluruhan 552 item dalam 'bakul' Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan.

Mengulas lanjut, di sebalik dakwaan kerajaan kini berdepan masalah kekurangan dana bagi menyalurkan bantuan subsidi tambahan kepada rakyat, Dr Mahathir mendedahkan negara masih memiliki rizab perbendaharaan cukup tinggi yang merangkumi 40 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, disimpan tiap-tiap tahun.

Jelas beliau, sebahagian daripada duit tabungan kerajaan itu boleh digunakan untuk memberi subsidi kepada rakyat dan tidak akan menjadi liabiliti kepada negara kerana ia cuma rizab tabungan perbendaharaan semata-mata.

"Kita mungkin boleh buat pinjaman (luar). Tetapi dalam negara kita, Malaysia luar biasa. Kita mempunyai rizab simpanan yang cukup tinggi. Merangkumi 40 peratus daripada KDNK Malaysia yang disimpan tiap-tiap tahun. Kita ada banyak duit.

"Sebahagian daripada duit itu boleh diguna dan tidak menjadi kos (liabiliti) kerana duit itu cuma tabungan sahaja. Jadi kalau kita ambil mungkin 10 atau 20 peratus daripada tabungan berkenaan, tidak akan menjejaskan rizab perbendaharaan kita. Tabungan kita masih besar dan ia akan memperkuatkan mata wang kita," tegasnya.

Tambah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu lagi, langkah kerajaan mengagihkan pemberian subsidi besar-besaran kepada rakyat pada saat krisis tidak akan merugikan kerajaan.

Ujarnya, hal ini kerana wang yang diberi kepada rakyat untuk berbelanja, penjual akan mendapat keuntungan dan kerajaan akhirnya akan kembali mendapat dana melalui hasil kutipan cukai korporat dan perniagaan.

"Ini semua memerlukan cara kerajaan tangani isu ekonomi dengan baik. Kita perlu bantu rakyat, beri subsidi yang mana patut. Subsidi oleh kerajaan tidak merugikan kerajaan.

"Kalau kerajaan belanja RM100 juta kepada rakyat, mungkin kita akan dapat kutip balik cukai sehingga RM50 juta. Ini semua kita kena cekap dalam bidang pengurusan kewangan. Dengan langkah ini, kenaikan kos sara hidup dapat dibendung dan ekonomi negara tidak akan terjejas.

"Ini kerana Malaysia mempunyai tabungan perbendaharaan yang cukup besar. Kita tidak seperti Sri Lanka, yang langsung tiada satu sen pun tabungan. Justeru, negara berkenaan tidak boleh sumbang satu sen pun subsidi kepada rakyat, kerajaan Malaysia boleh," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca