BIARPUN pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa bagi memberi kesedaran tentang bahaya lumba haram, namun isu mat rempit di negara ini bagaikan tiada kesudahan sejak sekian lama.
Begitu juga dengan kemalangan yang menimpa mat rempit sehingga menyebabkan kecacatan kekal dan lebih tragis sehingga kehilangan nyawa, namun ia juga tidak menjadi iktibar buat mereka yang kononnya 'pencinta kelajuan'.
Dalam kejadian yang menyayat hati di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown, Pulau Pinang pada jam 4 pagi 17 Julai lalu, lima penunggang meninggal dunia melibatkan kemalangan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, kejadian tersebut berlaku dari arah Bayan Baru menghala ke pusat bandar.
Berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, katanya, beberapa penunggang motosikal didapati hilang kawalan serta merempuh satu sama lain.
Pihak polis menerima maklumat pada jam 4.30 pagi mengenai kejadian tersebut dan siasatan mendapati beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.
Selain beberapa buah motosikal, dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan.
Menurut Soffian, tujuh mangsa dikenal pasti terlibat dalam kemalangan berkenaan dan empat disahkan meninggal dunia.
Mangsa kelima pula dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Selasa lalu akibat kecederaan dalaman pada badan dan kepala.
Empat yang maut itu melibatkan tiga meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Selain itu, tiga mangsa masih menerima rawatan di hospital sama, yang mana seorang mangsa berada di zon merah dan dua lagi mangsa di zon kuning.
Mangsa yang maut berusia lingkungan 17 hingga 25 tahun iaitu Muhammad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, dari Bayan Lepas; Muhammad Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dari Pendang, Kedah; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, dari Bayan Lepas ; Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 dari Georgetown dan Mohd Haziq Harris, 34.
Di Kota Bharu, seorang mekanik sukar melupakan pengalaman saat melihat sendiri rakan-rakan baik terlibat dalam kemalangan ketika berlumba haram.
Hanya mahu dikenali sebagai Akmal, 28, pemuda itu mengakui terkesan apabila melihat satu persatu rakan terkorban dalam kegiatan berbahaya tersebut.
Akmal berkata, antara kejadian yang masih terkesan sehingga kini ialah seorang rakannya melambung sejauh 20 meter dan putus tangan selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah treler membawa muatan sawit.
"Paling mengerikan, tangan yang terputus itu ditemu tersangkut atas pokok kelapa sawit seminggu selepas kejadian," katanya.
Menurutnya, kejadian ngeri tersebut menyebabkan dia insaf dan tidak lagi terlibat dengan kegiatan lumba haram.
Menceritakan pengalaman, Akmal berkata, dia terlibat dengan sekumpulan 40 mat rempit untuk menyertai perlumbaan haram di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Johor pada tahun 2010.
Ketika itu, katanya, mereka yang mahu menyertai perlumbaan haram tersebut perlu menyediakan wang pertaruhan sebanyak RM10,000 seorang.
"Ketika itu, rakan saya tengah berlumba dan menunggang motosikalnya dengan laju. Secara tiba-tiba terbabas dan masuk ke laluan bertentangan, lalu merempuh sebuah treler yang membawa muatan sawit.
"Rakan saya itu tercampak sehingga 20 meter ke atas jalan raya menyebabkan kepalanya pecah dan tangan kanan pula terputus," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Akmal berkata, dalam tempoh 10 tahun dia terlibat dalam lumba haram bermula ketika di Tingkatan Dua, seramai 10 rakan baiknya terkorban akibat kegiatan itu dan kesemuanya maut di depan mata.
"Waktu itu memang seronok bawa motosikal laju-laju dan ubah suai enjin motosikal. Antaranya ialah motosikal Honda Ex5.
"Daripada minat dengan motosikal itu juga, saya mempunyai kemahiran membaiki motosikal. Saya kini beralih arah menjadi mekanik untuk menyara kehidupan," kata anak kedua daripada enam beradik ini.
Akmal berkata, sepanjang menunggang motosikal, dia pernah 12 kali mengalami kemalangan, bagaimanapun bukan ketika berlumba.
"Paling teruk apabila saya terjatuh dan patah dua bahagian di kaki kanan pada tahun 2011 apabila gear motosikal yang diubah suai tertukar sendiri.
"Saya dirawat di hospital selama sebulan. Itu juga antara sebab saya ambil keputusan berhenti daripada berlumba motosikal," ujarnya.
Bekas mat rempit berubah kerana ibu
Sementara itu di Kulai, minat dalam dunia permotoran sejak di sekolah menengah mendorong Abdul Shukur Salleh, 35, dari Kampung Sri Paya di sini mempelajari cara membaiki serta mengubah suai motosikal.
Pergaulan dengan rakan-rakan sebaya yang berkongsi minat sama menyebabkan mereka sering berkumpul untuk mencuba kehebatan motosikal masing-masing di atas jalan raya.
Abdul Shukur berkata, pelbagai pengalaman dilalui sejak terlibat dengan kumpulan mat rempit pada usia 16 tahun.
"Dulu disebut ‘mat motor’, cuma sekarang panggilannya mat rempit. Mat motor gunakan jalan raya biasa bermula tengah malam sehingga awal pagi. Setiap malam minggu biasanya mungkin lebih 50 orang akan berkumpul.
"Bila sudah ramai yang berkumpul, apabila polis kejar. Kami tunggang motosikal laju-laju. Selagi ada jalan kampung, selagi itu lari,” ceritanya.
Abdul Shukur berkata, segalanya berubah apabila ibunya, Asmah Muhammad jatuh sakit pada tahun 2016.
"Saya merupakan anak bongsu daripada 10 beradik. Apabila ibu jatuh sakit kerana sudah tua, saya ambil keputusan untuk menjaganya.
"Sejak dari itu, saya berubah dan teruskan minat permotoran dengan membuka bengkel di rumah, itupun untuk membaiki motosikal penduduk kampung sahaja,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca