PADA Mac lalu, Malaysia digemparkan dengan berita daripada Sepanyol La Información yang melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan negara Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Mac lalu, Malaysia digemparkan dengan berita daripada Sepanyol La Información yang melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan negara Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang terakhir.

Ini disebabkan oleh pelanggaran Perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent.

Perjanjian itu menyaksikan Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara, kini Sabah dan sebagai balasan Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang serahan RM5,300 setiap tahun.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia menghentikan pembayaran tersebut sejak tahun 2013 susulan serangan bersenjata di Lahad Datu.

Bagaimanapun tindakan menghentikan bayaran itu menyebabkan waris kesultanan Sulu mengambil tindakan undang-undang sehinggakan bailif (pegawai penyitaan) di Luxembourg merampas kedua-dua syarikat milik Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus bagi pihak pelanggannya.

Kes tuntutan, rampasan dan arahan mahkamah ini menimbulkan pelbagai persoalan ramai. Ini penjelasan pakar undang-undang mengenai persoalan dan tanda tanya tersebut.

Mungkin ramai yang keliru, apa yang dimaksudkan dengan rampasan aset atau harta dan bagaimana sesebuah negara lain boleh merampas atau menyita aset negara lain?

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, perkataan 'rampas' itu tidak sesuai digunakan kerana tidak ada negara lain yang merampas aset negara Malaysia.

Namun, ada pihak yang kononnya sudah memenangi keputusan Mahkamah Arbitrasi iaitu waris kesultanan Sulu mahu memperoleh kembali aset-aset negara yang boleh diakses oleh mereka.

Ini susulan pelaksanaan Award Arbitrasi yang diperoleh mereka pada 28 Februari lalu.

"Memandangkan Arbitrasi di Sepanyol sudah memerintahkan bahawa Malaysia berhutang dengan kesultanan Sulu, maka, mereka menuntut segala hak dan nilai sejak minyak dan gas dijumpai di Sabah daripada tahun 1970an.

"Selagi ada aset Malaysia di luar negara, dan selagi mana Award Arbitrasi itu masih wujud maka, kita perlu menghormati keputusan Sepanyol.

"Oleh itu, waris kesultanan Sulu boleh pergi untuk menyita. Bagi mereka, mereka sudah menang walaupun kita tidak mengiktiraf anugerah Award Arbitrasi tersebut,” katanya kepada Sinar Premium.

Angkatan tentera melancarkan serangan di kawasan pengganas dalam tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013.

Mengapakah sumber di Sabah menjadi rebutan?

Menurut Mohamed Haniff, ada dua perjanjian yang yang dimasuki oleh apa yang dikatakan sebagai waris Sulu bersama Syarikat British Borneo Utara. Menurut orang Sulu, di bawah perjanjian tersebut, Sabah atau dulu dikenali sebagai Borneo Utara diberikan sebagai pajakan. Sebaliknya, orang England berpendapat Sabah diperoleh terus untuk bayaran tahunan sebanyak RM5,300 setahun.

"Apabila Malaysia ditubuhkan, maka, negara ini mengambil alih tanggungjawab di bawah perjanjian tersebut.

"Kita membayar RM5,300 sehingga terjadinya peristiwa pencerobohan Lahad Datu yang mengakibatkan pengorbanan 10 ahli anggota negara keselamatan pada tahun 2013. Apabila Malaysia tidak lagi membayar wang tersebut, maka keturunan ini menuntut melalui

"Arbitrasi kerana kita seolah-olah telah memungkiri perjanjian,” katanya.

Mengapa tuntutan mereka mereka mencecah RM62.59 bilion sedangkan bayaran tahunan hanyalah RM5,300 setahun?

Mohamed Haniff menjelaskan tuntutan fail adalah tiga juta kali ganda daripada harga asal. Ini kerana secara logiknya, mereka menuntut cerminan kepada nilai hasil minyak dan gas Sabah sejak 1970an, yang tidak dikenal pasti pada 1878, iaitu tarikh perjanjian asal itu.

"Namun, sama ada tuntutan itu sah atau tidak, Malaysia boleh membantah. Tetapi peguam negara terdahulu iaitu Tan Sri Tommy Thomas tidak pergi ke Sepanyol atau Perancis untuk membantah sebaliknya pada awalnya cuma memperoleh Perintah Halang Arbitrasi dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, yang perlu kemudiannya didaftarkan untuk digunapakai di Sepanyol atau Perancis dan mengambil masa untuk diproses.

"Oleh itu, waris kesultanan Sulu mendapat perintah untuk menuntut dan Malaysia harus membuat permohonan untuk menggantung penyitaan tersebut sehingga dapat meluputkan Award Arbitrasi Sepanyol dan Perancis,” katanya.

Enam wira negara terkorban dalam tragedi pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013.

Bolehkah waris Sultan Sulu benar-benar menguatkuasakan keputusan timbang tara terhadap Malaysia?

Menurut Mohamed Haniff, selagi permohonan itu disahkan wujud oleh Financial Times, ia sah berasaskan Anugerah Timbang Tara Asing yang terikat kepada Malaysia di bawah Konvensyen Arbitrasi New York 1958 yang telah ditandatangani sekali gus membolehkan waris kesultanan Sulu melaksanakan hak untuk merampas aset Malaysia di 167 negara penandatangan sekiranya jumlah yang dituntut tidak dibayar.

"Sekarang ini kita tanya peguam negara, wujud atau tidak permohonan di mana-mana mahkamah Sepanyol atau Perancis untuk membatalkan anugerah timbang tara muktamad?

"Jika ada, adakah keputusan itu memihak kepada Malaysia? Kalau memihak, maka, kita tidak perlu patuh tetapi jika tidak, Malaysia terdedah dengan pelaksanaan terhadap mana-mana aset negara di luar bidang kuasa yang menghormati keputusan Sepanyol dan Perancis di bawah Konvensyen Arbitrasi New York itu," katanya.

Apakah yang menjadi penyumbang krisis ini?

Mohamed Haniff berkata, antara sebab yang menyumbang kepada masalah ini adalah keputusan Malaysia menghentikan pembayaran RM5,300 setahun pada tahun 2013 dan kealpaan peguam negara Thomas dalam membuat keputusan untuk tidak melantik wakil Malaysia menghadiri prosiding Arbitrasi awal di Sepanyol dan Perancis untuk membantah bidang kuasa mereka serta tidak mempercepatkan proses pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sana.

"Adakah kita yakin orang yang masuk Lahad Datu itu adalah orang Sulu atau sebenarnya orang palsu menyamar sebagai orang Sulu? Mengapa kita tidak bangkitkan perkara itu dengan orang Sulu melalui surat? Adakah kita memberi peluang kepada mereka untuk jelaskan atau kita terus membatalkannya?

"Peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada 2013 dan Thomas pada 2019 bertanggungjawab memberi nasihat kepada kerajaan masing-masing pada masa itu. Soalnya, ada atau mereka memberi nasihat tentang kewujudan perkara ini kepada kerajaan?, katanya.

Bagaimana cara untuk menamatkan pertikaian ini atau mengelakkan aset dari dirampas?

Pada pendapat Mohamed Haniff, perkara utama yang harus dilakukan adalah melantik peguam di Luxemburg. Seterusnya, Petronas harus bekerjasama dengan peguam negara untuk melantik peguam dan meminta mahkamah Luxemburg untuk menggantung atau menangguh dahulu apa-apa proses penyitaan sehingga keputusan permohonan Malaysia di Sepanyol dan Perancis untuk membatalkan Award Akhir Arbitrasi itu telah dimuktamadkan.

Klik di sini untuk terus membaca