DALAM zaman keemasan UMNO, hanya UMNO yang letak tali di leher atau hidung orang. Sejak kekalahan 2018, dua tali ini berada di leher UMNO. Tali pertama ialah pendakwaan terpilih (selective) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala tali... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM zaman keemasan UMNO, hanya UMNO yang letak tali di leher atau hidung orang. Sejak kekalahan 2018, dua tali ini berada di leher UMNO.

Tali pertama ialah pendakwaan terpilih (selective) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala tali kedua ialah kuasa Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang menentukan hidup mati mana-mana parti politik.

Kuasa AGC digunakan untuk memikat atau mengugut wakil rakyat melompat parti memang bukan rahsia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mendedahkan dalam perbicaraan kesnya di mahkamah pada 28 Jun baru-baru ini bahawa tiga orang mantan ahli Parlimen UMNO – termasuk Jeli dan Masjid Tanah – telah lompat ke Bersatu untuk mengelakkan pendakwaan.

Selepas Langkah Sheraton, sekurang-kurangnya tiga orang wakil rakyat pembangkang yang melompat ke kem kerajaan juga mempunyai kes di mahkamah atau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam sejarah, dua orang ahli Exco Perak daripada parti PKR didakwa atas rasuah pada tahun 2008 dan dibebaskan oleh mahkamah selepas melompat menjadi pro-Barisan Nasional.

Kuasa RoS juga jelas. Sepanjang pemerintahan kerajaan PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO khuatir kebarangkalian dirinya akan dibatalkan pendaftaran.

Pembatalan pendaftaran pernah berlaku kepada UMNO susulan keputusan mahkamah pada tahun 1988.

Sebulan sebelum PRU14, parti serpihan dan pesaing utama UMNO, Bersatu, digantung pendaftarannya sehingga Bersatu dan semua parti PH di Semenanjung menggunakan tiket PKR untuk calon-calon mereka dalam PRU14.Dalam kata terus terang, AGC dan RoS merupakan sebahagian daripada ‘kelebihan penyandang’ (incumbent advantage) mana-mana parti yang menjadi kerajaan.

Pesaing politik boleh didakwa, digugurkan pendakwaan atau dibebaskan atas alasan pendakwaan yang lemah. Parti pesaing boleh dibatalkan atau ditolak pendaftaran, atau didaftarkan segera. Semua bergantung kepada keakraban mereka dengan sang pemerintah.

Dengan dua tali yang bila-bila boleh diikat di leher atau di hidung pesaing, pelbagai jajaran baharu dan pelbagai kemelut boleh berlaku.

Setelah kekalahan pada 2018, UMNO cuba mengubah imejnya sebagai parti rakus kuasa. Ia cuba meyakinkan rakyat bahawa ia sudah berubah dan akan mengembalikan kestabilan.

Persoalannya, berubah macam mana? Sanggupkah UMNO potong dua tali ini yang masih boleh digunakan ke atas UMNO sendiri? Ataupun berubah sekadar untuk memonopoli kuasa dua tali ini?

Mengenai reformasi AGC, pemimpin UMNO daripada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah menyentuhnya. Persoalannya, di mana peta jalan dan garis masa?

Sebagai perbandingan, tiada sebarang suara untuk mereformasikan RoS. PH, PN dan BN semuanya sama, ingin kekalkan RoS sebagai tali untuk menyekat dan mengawal pesaing.

Sekarang UMNO marah kerana RoS tidak meluluskan pindaan perlembagaan partinya dan takut pendaftaran UMNO mungkin terbatal kalau penolakan RoS terlalu lambat jika pemilihan parti tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Penyelesaiannya bukan memaksa RoS mengikut kata parti Perdana Menteri.

Kalau UMNO benar-benar sudah insaf, ia harus pinda undang-undang untuk memindahkan kuasa pengawalan parti daripada RoS kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sebelum itu harus dijadikan badan bebas yang bertanggungjawab kepada Parlimen.

Kalau tak nak tali digantung di leher sendiri, potonglah tali itu daripada mengancam semua. Kalau tidak, karma mungkin datang kepada anda suatu hari nanti.

Klik di sini untuk terus membaca