PETALING JAYA - Keghairahan menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan laju mengundang padah kepada Muhammad Hafizi Abdul, 33, apabila terlibat kemalangan yang hampir meragut nyawanya tiga tahun lalu. Berkongsi pengalamannya, Muhammad... Klik di sini untuk terus membaca

PETALING JAYA - Keghairahan menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan laju mengundang padah kepada Muhammad Hafizi Abdul, 33, apabila terlibat kemalangan yang hampir meragut nyawanya tiga tahun lalu.

Berkongsi pengalamannya, Muhammad Hafizi yang kini merupakan pemilik sebuah pusat cucian kenderaan, Chill-er Auto Detailer berkata, hobi tersebut meninggalkan kesan kepada dirinya yang kini lebih beringat ketika menunggang.

"Saya mula menceburkan diri dalam bidang permotoran ketika sekolah menengah tetapi apabila bekerja dan mampu beli motosikal berkuasa tinggi, hobi itu berubah.

"Ketika itu boleh dikatakan sangat aktif berkonvoi. Ada satu ketika, saya dan rakan-rakan berkonvoi pusing semenanjung. Bila tiba di selekoh jalan Lubuk Cina, Melaka saya cuba memotong sebuah lori di hadapan dan ketika itulah tidak dapat kawal motosikal dan overshoot hingga langgar tebing jalan.

"Akibat kemalangan itu, lima daripada tulang rusuk saya patah dan hampir sebulan dirawat di hospital. Saya dapat cuti sakit selama enam bulan,” katanya pada Khamis.

Muhammad Hafizi yang ketika itu bertugas sebagai pensyarah di sebuah kolej berkata, sepanjang tempoh bercuti, pihak institusi pengajian tinggi swasta berkenaan telah menggantikan tempatnya dengan tenaga pengajar baharu dan dia terpaksa membuat keputusan untuk meletak jawatan.

Bagi menampung kehidupan bersama isteri dan tiga orang anaknya, Muhammad Hafizi bertekad memulakan perkhidmatan cuci kenderaan dengan mengambil alih perniagaan itu daripada rakannya.

"Sebelum ini pelbagai jenis pekerjaan saya buat seperti jual air tebu, durian selain menceburkan diri dalam jualan motosikal berkuasa tinggi secara sambilan.

"Apabila ada peluang untuk ambil alih perniagaan ini daripada rakan, maka saya tumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan baharu ini manakala hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi masih ada, cuma tidak kerap macam dulu.

"Kini saya lebih berhati-hati kerana memikirkan keadaan isteri dan anak-anak,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca