IPOH - Seorang pemilik spesis ikan larangan terkejut apabila Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyerbu sebuah kolam berpagar di sini Rabu lalu.
Operasi yang disertai Sinar Harian itu mendapati terdapat dua ekor arapaima dan seekor aligator gar bersaiz 'mega'.
Menurut pemiliknya yang hanya mahu dikenali sebagai Devid, salah satu arapaima itu sudah dijaganya sejak 15 tahun lalu bermula dari saiz sekecil lima hingga enam inci.
"Dulu saya beli dengan harga sekitar RM60 hingga RM70. Sekarang saiznya sudah lebih tujuh kaki (lebih 2 meter). Berat sekarang ikan (arapaima) ini saya tidak pasti, mungkin lebih 80 kilogram.
"Ikan ini juga dijaga oleh pekerja saya yang tolong beri makan,” katanya ketika ditanya Sinar Harian.
"Saya tidak mahu jual dan saya pun tidak tahu berapa harganya. Mahu pindahkan pun susah sebab ikan terlalu besar,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, pemilik itu perlu mendapatkan kebenaran daripada jabatan.
Katanya, ikan itu perlu diletakkan cip untuk pemantauan dan makluman kepada jabatan.
"Jabatan akan memantau termasuklah sekiranya ikan itu mati. Pemilik perlulah melaporkannya kepada kita. Sekiranya mereka sudah tidak berminat untuk memiliki ikan larangan itu, boleh maklumkan kepada kita bagi tindakan lanjut.
"Jangan sesekali melepaskan ikan larangan ke perairan umum kerana ia berisiko menjejaskan spesies ikan asal,” ujar beliau.