FENOMENA "Mat Kilau” telah melanda tanah air, di mana bukan sahaja filem yang berjudul dengan nama yang sama sudah mencecah RM80 juta dalam jualan tiket panggung wayang, malah berjaya merangsang semangat nasionalisme di seluruh negara.... Klik di sini untuk terus membaca

FENOMENA "Mat Kilau” telah melanda tanah air, di mana bukan sahaja filem yang berjudul dengan nama yang sama sudah mencecah RM80 juta dalam jualan tiket panggung wayang, malah berjaya merangsang semangat nasionalisme di seluruh negara.

Ini merupakan satu pencapaian yang menakjubkan buat industri filem tempatan.

Kita tidak seharusnya mengetepikan fakta bahawa keutamaan bagi industri filem adalah keuntungan.

Filem yang berasaskan salasilah sejarah, lazimnya kurang menarik minat penonton. Cerita yang berlandaskan fakta sejarah sepenuhnya, adalah lebih sesuai dikategorikan sebagai "dokumentari”.

Tentulah munasabah bagi sesebuah filem untuk mengikuti sinopsis yang mengandungi unsur-unsur fiksyen, agar menjadikan produksi tersebut lebih menarik dan sekurang-kurangnya hasil yang dijana dapat mengimbangi kos-kos produksi.

Pihak produksi Mat Kilau mengakui terdapat unsur-unsur fiksyen dalam filem tersebut. Namun, mereka yang mengkaji sejarah berpendapat unsur-unsur fiksyen filem ini telah mengatasi fakta-fakta sejarah, sehingga ke tahap di mana ia tidak lagi bersesuaian dengan kategori "filem sejarah”.

Terdapat etika-etika tersirat bagi industri filem antarabangsa yang menghasilkan filem berunsurkan peristiwa bersejarah. Antara etika tersebut termasuk mewujudkan keadaan mengikut fakta sejarah sejauh mana yang termampu.

Cerita Titanic yang ditayangkan pada tahun 1997 menerima sambutan yang baik kerana pendekatan oleh pengarah filem James Cameron yang menampilkan keadaan sebenar yang berlaku pada tahun 1912 setakat yang boleh.

Watak-watak utama "Jack” dan "Rose” pula merupakan watak fiksyen. Pengarahnya sanggup membelanjakan AS$100,000 untuk merakam semula satu babak restoran di kapal Titanic, hanya disebabkan dalam rakaman asal, prop pinggan mangkuk tiada logo "White-Star Line”.

Berbanding dengan filem-filem terkenal seperti Pearl Harbor (2001), Chang Jin Lake (2021), Brave Heart (1995) dan Imitation Game (2014), walaupun menerima sambutan yang baik, turut menerima kritikan yang setara kerana jalan cerita yang terpesong daripada fakta sejarah.

Selain itu, lazimnya watak-watak utama dalam filem sejarah adalah watak ciptaan yang diilhamkan oleh watak sejarah, khususnya filem yang berasaskan sejarah moden. Sumber-sumber berkaitan peristiwa sejarah tersebut boleh didapati dengan mudah.

Contohnya, bandingkan filem Mat Kilau dengan filem Puteri Gunung Ledang, di mana Puteri Gunung Ledang adalah cerita mitos yang berlaku pada kurun ke-15 Masihi, berbanding Mat Kilau yang berlaku sekitar dua abad lalu.

Kita boleh menerima hasilan filem yang lebih fiksyen daripada fakta, tetapi sekadar untuk hiburan. Patriotisme harus dipupuk melalui fakta sejarah menerusi sumber dan bahan yang sahih, bukannya melalui filem di mana unsur fiksyen telah mengatasi fakta sejarah.

Sejarah tanah air kita kekadang manis, kekadang pahit buat sesetengah kaum. Sebagai contoh, watak askar British yang dilakonkan oleh kaum Sikh, adalah fakta sejarah. Mat Kilau, memberontak terhadap institusi diraja dan kerajaan Pahang yang memihak kepada British, juga merupakan fakta sejarah.

Jikalau kita hanya menerima sebahagian daripada gambaran sejarah sempurna yang memihak kepada kita, maka itu adalah satu penghinaan jiwa terhadap sejarah.

Kita seharusnya mengambil iktibar daripada filem Mat Kilau, bahawa untuk menyemarakkan semangat, kita harus melakukan kajian sejarah yang sebenar agar dapat mempelajari kesilapan zaman lampau dan mendorong kita untuk membina negara bangsa dengan sewajarnya.

Melayu Malaysia pantang dicabar, tetapi bukan pantang dikritik.

*Tai Zee How, juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik.

Klik di sini untuk terus membaca