SANA sini rakyat dalam keadaan resah dan gelisah. Poket rakyat ketika ini gawat kerana kenaikan harga barang yang melonjak secara mendadak.
Paling terkesan tentulah rakyat daripada golongan B40 yang sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun, ekoran kenaikan harga barang, ramai rakyat B40 kini tidak dapat makan petang.
Harga barangan keperluan harian seperti telur, sardin, ikan, ayam, daging, sayur-sayuran, minyak masak, gandum dan bermacam-macam lagi melambung bagaikan tiada pihak yang mampu mengawalnya.
Ini menyebabkan bukan sahaja rakyat B40 yang merana tetapi mereka daripada golongan M40 juga sedang merasai keperitan hidup.
Kenaikan harga barangan ketika ini amat membimbangkan berikutan rakyat semakin tertekan kerana perlu menghadapinya selepas terkesan dengan impak penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu konsisten memantau kenaikan harga barangan ini dengan lebih agresif.
KPDNHEP juga perlu mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.
Mereka yang didapati melakukan kesalahan itu perlu dikenakan denda. Bagaimanapun, kebajikan penjual juga harus dijaga oleh kerajaan dengan mengenakan harga siling bagi harga borong.
Para pengguna juga perlu bijak membeli daripada peniaga yang menjual pada harga siling yang disyorkan.
Selain itu, kerajaan wajar melaksanakan langkah intervensi bagi menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran sekali gus mengelak rakyat terus terkesan dengan isu kenaikan harga.
Bayaran tambahan RM50 dan RM100 diberikan kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) seperti diumumkan kerajaan dilihat tidak mencukupi untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga.
Tambahan RM100 itu tidak memberikan makna besar kalau kerajaan tidak dapat mengawal peningkatan kos.
Peningkatan kos ini perlu distabilkan dengan intervensi kerajaan dan perlu ada intervensi serta dana untuk menstabilkan harga barangan keperluan.
Bukan mahu menggalakkan rakyat tidak bersyukur dengan bantuan diberikan, namun ia sememangnya tidak mencukupi. Bantuan ini amat diperlukan dan ia memberi sedikit kelegaan, tetapi tidak cukup.
Nilai RM100 itu jika dilihat dalam tempoh sebulan, sebenarnya secara purata hanya tambahan RM3 sehari dan jumlah itu tidak memberikan apa-apa perbezaan memandangkan masalah inflasi hari ini agak serius.
BKM juga tidak diberikan secara menyeluruh terutama kepada golongan M40 yang turut menerima implikasi langsung berikutan langkah kerajaan memansuhkan beberapa subsidi. Mereka merupakan golongan pertengahan yang kebanyakannya tidak mendapat bantuan BKM.
Harapan rakyat, kerajaan perlu mengambil tindakan mengekang kenaikan harga barang.
Dalam masa yang sama, memastikan keperluan barang-barang asas seperti beras, minyak, gula, tepung dan seumpamanya tidak putus.
Pesta naik harga ini telah banyak membebankan rakyat. Sebab itulah agaknya banyak cerita orang terjun Jambatan Pulau Pinang dan kisah-kisah lain yang menyayat hati berlaku sejak kebelakangan ini akibat tertekan kerana hakikatnya rakyat sedang merana.
Kerajaan khususnya KPDNHEP perlu telus untuk merombak semula atau menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan bahawa subsidi bersasar dioptimumkan dengan baik sekali gus memastikan harga barangan stabil.
Sungguhpun perlu terima dan akur dengan apa yang sedang berlaku, kesabaran setiap rakyat mempunyai hadnya, sensitiviti rakyat perlu di jaga.
Malaysia bertuah kerana rakyatnya bukan seperti Sri Lanka tetapi ingat; kuasa rakyat boleh diterjemahkan melalui peti undi tidak lama lagi.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka
Klik di sini untuk terus membaca