ENCIK Amir, seorang kawan yang bekerja di Kuala Lumpur, sangat berdedikasi dalam kerja. Setiap kerja akan dilakukan dengan penuh cermat dan berhati-hati. Tidak diizinkan ada satu kesilapan walaupun sekecil-kecilnya. Setelah siap kerja... Klik di sini untuk terus membaca

ENCIK Amir, seorang kawan yang bekerja di Kuala Lumpur, sangat berdedikasi dalam kerja.

Setiap kerja akan dilakukan dengan penuh cermat dan berhati-hati. Tidak diizinkan ada satu kesilapan walaupun sekecil-kecilnya.

Setelah siap kerja dimuat naik pula dalam laporan WhatsApp untuk pengetahuan mereka yang terlibat. Kemudian kerja yang siap itu, akan dimuat naik ke dalam sistem untuk tutup kes.

Walaupun begitu sebagai manusia, berapa lama sangat dapat bertahan jika banyak kerja terpaksa beliau selesaikan sendirian. Kadang-kadang beliau mengeluh kerana tidak cukup masa dan tenaga untuk selesaikan.

Walaupun ada kontraktor yang melakukannya, namun kerja-kerja dokumentasi yang banyak membebankan, kerana setiap dokumentasi perlu mengikut format dan prosedur. Kalau tersilap, tuntutan bayaran kerja semasa akan ditolak pula.

Walaupun kerja di tapak telah siap, ia masih tertakluk kepada pemeriksaan pihak berwajib sama ada standard yang dikehendaki dipatuhi dan pada masa yang sama mengikut spesifikasi.

Sepatutnya, Encik Amir, perlu ada tambahan pekerja untuk memenuhi tuntutan kerja yang banyak ini.

Namun menurut Encik Amir, "Sebelum ini pekerja cukup. Tapi selepas Covid ini, syarikat tidak beroperasi, terpaksa pula kurangkan pekerja. Tinggal beberapa kerat sahaja.”

"Sekarang, setelah beroperasi semula, syarikat tak mahu ganti ke semua pekerja ikut bilangan asal?” tanya saya.

"Tidak tahulah saya. Ada permintaan daripada bahagian kami. Tetapi pihak sumber manusia kata, setakat ini semua pekerja yang ada mencukupi pula,” kata Encik Amir lagi.

Mungkin ada majikan yang belum pulih sepenuhnya ataupun mungkin juga majikan berfikir, ada orang yang boleh membuat banyak kerja, kenapa perlu tambah orang lagi, begitulah agaknya hasil teori yang berlegar di fikiran saya.

Tetapi pada masa yang sama, kita bimbang juga, mungkin ada majikan yang akan mengambil kesempatan pula.

Seperti cerita Encik Amir ini, pihak syarikat melihat beliau serba boleh dalam menjalankan kerja. Semua kerja boleh dibuat walaupun hakikatnya beliau terpaksa balik lewat untuk memastikan kerja siap pada masa ditetapkan.

Dan majikan mungkin berfikir, ini peluang untuk kurangkan kos dengan menggunakan sepenuhnya tenaga pekerja tersebut. Maka syarikat dapat menjimatkan pembayaran gaji, kerja lebih masa dan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bak kata pepatah kepada majikan tersebut, bulan naik, matahari naik. Untuk pekerja seperti Encik Amir pula, lulus tidak berselam, hilang tidak bercari. Sampai masanya mungkin Encik Amir terasa dipergunakan dan akan meletakkan jawatan.

Baru-baru ini seorang lagi kawan saya di Kuala Lumpur yang mengalami tekanan kerja mengambil keputusan berhenti. Walaupun saya menasihati beliau untuk terus bertahan, namun katanya, "Tak boleh dah. Banyak sangat kerja yang ditinggalkan oleh pekerja sebelum ini kena ambil alih. Buat seorang diri pula tu. Kalau ada yang membantu tidak apalah."Fokus satu-satu. Lama-lama habislah,” nasihat saya secara jujur.

"Dah fokus satu-satu. Datang pula tugas baharu, minta dipercepatkan pula. Terpaksa tinggalkan kerja lama. Fokus kepada tugasan baharu, diminta percepat kerja lama pula. Tertiarap aku,” jawab kawan saya itu.

"Sudah nekad nak berhenti ke? Kerja susah nak dapat sekarang,” kata saya memujuknya.

"Nekad!”

Walaupun apa yang berlaku di sebalik tabir pekerjaan kita, hendaklah kita telan dan hadapi demi sesuap nasi. Kadang-kadang kelihatan tidak setimpal apa yang diberikan. Apabila mengeluh, dikatakan kita tidak bersyukur pula.

Kemudian dibanding-banding pula dengan pekerja asing yang katanya sanggup buat banyak kerja walaupun dibayar upah kecil. Satu perbandingan yang tidak masuk akal juga pada saya.

Mereka yang mendapat majikan yang sangat prihatin, maka bahagialah mereka. Mereka yang tidak, terpaksa mencari kerja lain yang mungkin mengambil masa untuk mendapat kerja baharu.

Anak bini, rumah dan kereta masih perlu bayar, kerja pula mencabar. Kita risau nanti apabila tekanan memuncak, maka fikiran sudah tidak keruan menyebabkan seseorang melakukan perkara di luar jangkaan pula.

Saya teringat kepada bos lama saya dahulu pernah berkata, "Kalau boleh duit RM1 itu saya nak tarik panjang, tarik panjang tetapi tidak putus.”

Siapa yang faham, akan fahamlah maksudnya. Yang menjadi mangsa tetap pekerja juga. Namun begitu, hadap sahaja, apa boleh buat, bak kata pepatah lagi, meludah ke langit, muka juga yang basah.

*Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.

Klik di sini untuk terus membaca