SEBAGAIMANA rezeki yang diterima oleh kita dengan tidak putus-putus, begitulah juga dengan cabaran hidup. Hakikatnya ujian dan rintangan hidup tidak pernah putus.
Putusnya cabaran hidup seiring dengan putusnya oksigen dalam darah dan otak kita.
Justeru, sekiranya kita berasa selamat daripada rintangan hidup setelah berjaya mendaki puncak ujian sebelum ini, sebenarnya kita silap.
Sesungguhnya, ujian tidak akan putus mendatangi kita daripada pelbagai penjuru.
Oleh itu, sikap berwaspada dengan setiap ujian perlu dihadam dengan sebaik-baiknya bagi setiap insan agar cepat pulih andai tersungkur dengan ujian tersebut.
Sebetulnya, hidup ini penuh dengan kerumitan. Kerumitan hidup berkaitan dengan pengurusan keluarga, kewangan dan kerjaya masih lagi boleh dihadapi dengan baik, namun kerumitan menghadapi individu dan kelompok tertentu yang sentiasa merumitkan hidup kita memerlukan kekuatan minda dan jiwa yang luar biasa.
Realitinya, ramai yang putus harapan dalam menangani ujian buruk sangka, fitnah dan kezaliman manusia.
Jelaslah, tiada kesempurnaan dalam hidup kita. Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Pribadi Hebat, "Semata-mata mencari baik sahaja, yang tidak bercacat dalam alam ini, tidak akan bertemu.
Orang yang berjiwa besar, bukan tidak tahu bahawa ada yang buruk dalam dunia ini, akan tetapi kebesaran jiwa dan keteguhan peribadinya menyebabkan dia memandang dunia dari sisi yang baik.”
Tambah beliau, "Kelemahan hati menyebabkan kekecewaan dan alam dipandang dengan kaca mata hitam.
Orang buruk pandangannya hanya sanggup mencela, hanya sanggup menyatakan tidak puas.
Namun, orang yang baik pandangannya senantiasa hendak membangunkan dan meneruskan usaha yang ditinggalkan Tuhan supaya diselesaikan manusia di bumi.
"Persangkaan buruk menimbulkan sikap maju mundur dalam menghadapi hidup. Belum pergi, sudah pulang. Hal itu kerana, kelemahan urat saraf dan kelemahan selidik akal atau jiwa. Itulah pangkal segala kegagalan.”
Ingatlah, setiap cabaran perlu dihadapi dengan tenang walaupun berat. Pun begitu, keselarasan antara akal dan hati perlu sentiasa dipupuk agar kita tetap matang dan bersedia dengan setiap ujian yang nyata atau tanpa disangka-sangka.
Menurut perspektif sosiologi, secara lazimnya terdapat 16 peratus individu yang tergolong dalam kelompok baik dan jahat.
Dalam kelompok 16 peratus tersebut, terdapat 2 peratus individu yang berada dalam kelompok sangat baik dan sangat jahat. Sebanyak 68 peratus yang lain pula berada dalam kelompok pertengahan atau sederhana.
Justeru, sekiranya kita kecewa dengan individu yang jahat ini, sedarlah mereka hanya terdiri dalam kelompok 14 peratus berperangai jahat dan 2 peratus berperangai amat jahat.
Ia bermakna, kekecewaan kita sangat tidak berasas kerana mengetepikan kelompok 84 peratus yang masih berperangai sederhana, baik dan amat baik terhadap kita.
Selain itu, kita harus yakin bahawa setiap kesulitan yang kita hadapi, adalah daripada ALLAH SWT dan sekiranya ALLAH SWT kehendaki, pasti semuanya akan menjadi mudah.
Untuk itu, kita kena dekat dengan ALLAH SWT agar dikurniakan kesabaran, ketenangan dan ilham bagi menyelesaikan rintangan tersebut dengan hikmah.
Berkaitan dekatnya kita dengan Tuhan, ALLAH SWT berfirman, "Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu mengenai AKU, maka (beritahu kepada mereka), sesungguhnya AKU sentiasa hampir (kepada mereka).
AKU perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-KU. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-KU (dengan mematuhi perintah-KU) dan hendaklah mereka beriman kepada-KU supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqarah, 2:186).
Rumusannya, kita bukanlah terbaik dalam segala hal, namun bukanlah terburuk. Lantaran itu, kepercayaan kepada diri sendiri amat penting agar tidak menjadi pintalan buih di pantai yang bersifat sementara.
*Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis.
Klik di sini untuk terus membaca