KESATUAN Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) pernah menganggap harimau sebagai haiwan yang terancam kerana bilangannya semakin berkurangan di dunia antaranya disebabkan oleh tempat tinggal binatang itu musnah akibat... Klik di sini untuk terus membaca

KESATUAN Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) pernah menganggap harimau sebagai haiwan yang terancam kerana bilangannya semakin berkurangan di dunia antaranya disebabkan oleh tempat tinggal binatang itu musnah akibat pembalakan dan penebangan hutan.

Pada tahun 1900, bilangan harimau liar global adalah sehingga 100,000 ekor tetapi jumlahnya ketika ini amat berkurangan dan dilaporan hanya terdapat hampir 6,000 ekor binatang tersebut yang tinggal di dalam hutan.

Bagaimanapun, menurut IUCN, bilangan harimau liar di dunia baru-baru ini ialah 40 peratus lebih banyak daripada difikirkan sebelum ini dengan terdapat antara 3,726 hingga 5,578 ekor binatang tersebut yang berkeliaran tetapi ia kekal sebagai spesies terancam.

Jumlah itu adalah 40 peratus lebih tinggi daripada penilaian terakhir yang dibuat pada tahun 2015 berhubung bilangan binatang tersebut.

Walaupun haiwan itu kekal berada dalam kategori terancam, trend populasi binatang tersebut menunjukkan bahawa projek seperti Program Pemuliharaan Habitat Harimau Bersepadu IUCN kelihatan berjaya, kata kesatuan antarabangsa berkenaan pada Khamis.

Ancaman-ancaman utama yang dihadapi binatang tersebut ialah pemburuan yang dilakukan ke atas harimau, aktiviti memburu haiwan tersebut secara haram dan kemusnahan habitat akibat pertanian serta penempatan manusia, kata IUCN.

Bangkai harimau pula mempunyai nilai yang tinggi apabila ia boleh dijual dengan harga kira-kira AS$60,000 (RM267,270) sekali gus menjadikan ia sebagai sasaran popular bagi para pemburu haram di pasaran gelap.

"Memperluas dan menghubungkan kawasan perlindungan, memastikan ia diurus dengan berkesan dan bekerjasama dengan komuniti tempatan yang tinggal di dalam dan sekitar habitat harimau adalah penting untuk melindungi spesies itu," kata kesatuan antarabangsa berkenaan.

Bilangan terbaharu harimau yang didedahkan oleh IUCN itu mencerminkan kaedah yang lebih baik digunakan untuk mengira binatang tersebut, kata Dale Miquelle iaitu penyelaras untuk program harimau Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar yang bukan berasaskan keuntungan.

Pada dekad yang lalu, populasi harimau telah meningkat di Nepal, utara China dan kemungkinan di India manakala binatang tersebut telah hilang sepenuhnya di Kemboja, Laos dan Vietnam, kata Miquelle.

Pada tahun 2010, sebanyak 13 buah negara yang mempunyai habitat harimau komited untuk menggandakan populasi binatang tersebut menjelang tahun 2022 dan mengikut kalendar Cina, tahun harimau jatuh pada tahun 2022.

Sejak itu, populasi harimau Bengal telah bangkit semula, dengan Nepal dan India memimpin jalan ke arah mencapai matlamat pertambahan bilangan binatang tersebut.

Pada 29 Julai ini, terdapat sambutan Hari Harimau Antarabangsa dengan Nepal dijangka mengumumkan pencapaian negara itu dalam menggandakan bilangan haiwan berkenaan sekurang-kurangnya di beberapa kawasan perlindungannya.

Lonjakan keseluruhan bilangan haiwan itu di dunia adalah disebabkan oleh pemantauan yang lebih baik dilakukan terhadap populasi harimau, kata IUCN.

Dalam pada itu, Projek Harimau telah dilancarkan oleh kerajaan India pada tahun 1973 dengan matlamat untuk mengawal dan menambah populasi Harimau Diraja Bengal yang semakin berkurangan di negara berkenaan melalui penubuhan kawasan khas untuk binatang tersebut.

India ialah negara yang mempunyai banyak Harimau Diraja Benggal dan mempunyai lebih daripada 70 peratus daripada jumlah harimau di dunia menyebabkan ia menjadi sasaran utama para penembak untuk membunuh binatang tersebut.

Di India, terdapat kawasan rizab bebas untuk harimau bergerak dan ia juga bebas daripada sebarang penempatan manusia manakala kawasan penampan didedikasikan untuk penggunaan tanah yang berorientasikan pemuliharaan tanah.

Bilangan harimau di kawasan Sunderbans, Bengal Barat, India berkemungkinan meningkat sekurang-kurangnya kepada 35 ekor lagi sekali gus meningkatkan populasi binatang tersebut kepada 131 ekor daripada 96 ekor berdasarkan kepada kiraan terakhir yang dilakukan tiga tahun lalu.

Bagi menjangkakan berlaku peningkatan populasi harimau, jabatan hutan telah menghantar cadangan kepada kerajaan negeri untuk memperluaskan kawasan teras rizab harimau dengan menetapkan tiga lagi kawasan sebagai banjaran hutan.

Menteri hutan Bengal Barat, Jyotipriya Mallick berkata Matla, Raidighi dan Ramganga akan menjadi tiga kawasan baharu yang akan dimasukkan ke dalam rizab harimau yang diperluaskan.

Sehubungan itu, terdapat harapan baharu bahawa kerja-kerja bagi menambahkan bilangan haiwan tersebut akan menghasilkan tanda-tanda positif sekali gus mengelak harimau menjadi pupus di dunia ini. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca