IPOH – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesan terdapat pemilik premis ikan hiasan di sini yang enggan memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkenaan punca kemasukan pelbagai spesies ikan larangan ke dalam negara.
Bagaimanapun, tindakan tegas DOF menerusi operasi khas sepanjang dua hari bermula Selasa lalu di sekitar daerah ini berjaya merampas 96 ekor spesies ikan pemangsa dan pendatang bernilai RM5,095.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, ikan larangan pelbagai saiz yang disita sepanjang operasi itu adalah membabitkan genus ikan mylossoma (silver dollar), lepisosteus (ikan mulut buaya atau alligator gar), cichla (peacock bass) dan esox (northern pike).
Menurutnya, rampasan itu susulan pemeriksaan ke atas 28 buah premis ikan hiasan serta ladang ikan hiasan.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada operasi ini, premis yang dikesan memiliki ikan larangan adalah pemilik yang berbeza.
"Malah kita juga mengesan ada antara premis terbabit mendapatkan bekalan ikan larangan ini secara dalam talian selain memperoleh daripada pembekal ikan tempatan.
"Ada pemilik ikan hiasan beri kerjasama dan ada yang tidak mahu beri kerjasama. Sebahagian besar tidak mahu beri kerjasama. Ini penting kerana kita mahu lihat punca dari mana ia dibawa masuk bagi kita kawal dan ambil tindakan segera,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Ikan Hiasan Enggor, Kuala Kangsar pada Khamis.
Beliau berkata, maklumat awal mendapati premis yang menjual ikan larangan ini dipercayai semakin aktif pada tahun 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rata-rata pembeli menganggap ikan larangan ini sebagai menarik dari segi bentuk fizikal dan sifat yang agresif.
Katanya, pacu, silver dollar, peacock bass dan alligator gar adalah antara spesies yang mendapat permintaan di pasaran ikan hiasan kerana premis menawarkan jualan ikan yang bersaiz kecil dan sesuai untuk dipelihara di dalam akuarium.
"Bentuk fizikal ikan larangan yang menarik dan sifatnya yang agresif sangat disukai oleh peminat ikan hiasan terutamanya ketika feeding time,” katanya.
Ujar beliau, terdapat pemilik premis mendakwa mereka tidak tahu berkenaan larangan ini, namun DOF telah menjelaskan kepada mereka bahawa ia perlu mendapatkan kebenaran kerana sumber ikan darat perlu dijaga.
Tegas beliau, jabatan akan terus mempergiatkan lagi usaha membendung aktiviti ikan larangan.
"Tindakan tegas akan diambil kepada pemilik premis, pembekal atau mana-mana syarikat yang terlibat dengan aktiviti ikan larangan.
"Jabatan juga akan meluaskan lagi pemantauan dan pengawasan pada ladang akuakultur yang terlibat dalam penternakan ikan hiasan, pemilik persendirian dan penjual dalam talian yang menjadi punca ikan ini mudah masuk ke dalam negara.
"Kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sedia ada,” kata beliau.