PADA minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengadakan lawatan ke Timur Tengah dengan melawat Israel dan Arab Saudi buat kali pertama sebagai ketua negara ‘Uncle Sam’. Ketika berada di Israel, beliau menandatangani... Klik di sini untuk terus membaca

PADA minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengadakan lawatan ke Timur Tengah dengan melawat Israel dan Arab Saudi buat kali pertama sebagai ketua negara ‘Uncle Sam’.

Ketika berada di Israel, beliau menandatangani Deklarasi Baitulmaqdis bagi membolehkan semua elemen kuasa negara digunakan untuk menghalang Iran daripada mendapatkan senjata nuklear.

Presiden AS itu juga menghadiri mesyuarat pertama Sidang Kemuncak I2U2 yang juga dikenali sebagai Kuad Asia Barat antara negara tersebut dengan India, Israel, AS dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi tujuan ekonomi, perubahan iklim, memperbaiki infrastruktur serta akses kesihatan awam.

Beliau juga mengambil kesempatan dengan menemui Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmud Abbas di Baitulaham tetapi tidak membuat sebarang kenyataan bersama dengannya mengenai isu penyelesaian melibatkan rejim Zionis.

Biden juga menemui pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota negara tersebut, Putera Mohammed Salman serta menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk 3 (GCC 3) di Jeddah yang turut dianggotai oleh Oman, Bahrain, Qatar, UAE dan Kuwait.

Biden melebarkan pengaruhnya ketika menghadiri Sidang Kemuncak GCC 3 di Jeddah pada minggu lalu. - AFP

Hadir bersama dalam persidangan tersebut ialah Iraq, Mesir dan Jordan.

Ketika berada di Arab Saudi, Biden gagal untuk mendapatkan komitmen bahawa negara berkenaan akan meningkatkan pengeluaran minyak sebagai cara untuk menurunkan harga bahan api tersebut selepas inflasi tinggi berlaku di AS.

Namun, Putera Mohammed memberi petunjuk bahawa negaranya kemungkinan akan meningkatkan pengeluaran minyak mentah dalam jumlah yang sedikit kerana Riyadh hanya mampu untuk mengeluarkan minyak mentah sebanyak 13 juta tong sehari.

Selepas kunjungan itu, harga minyak mentah Brent di pasaran melonjak 2.6 peratus pada 18 Julai lalu kepada AS$103.88 (RM462.47) selepas Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud memadamkan spekulasi mengenai kemungkinan negara itu meningkatkan pengeluaran minyak mentah.

Bagaiamanapun, pada Selasa lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin pula melakukan lawatan antarabangsanya yang pertama ke Iran selepas tenteranya menceroboh Ukraine.

GILIRAN PUTIN TUNJUK KUASA

Putin turut mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Agung, Ayatollah Khamenei dan Presiden negara berkenaan, Ebrahim Raisi di Tehran.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Iran.

Presiden Rusia itu mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya dari Turkiye itu kerana usahanya menjadi pengantara antara Moscow dengan Kiev berhubung isu Perang Ukraine.

Syarikat minyak nasional Iran turut menandatangani perjanjian bernilai AS$40 bilion (RM178.08 bilion) dengan syarikat gas milik kerajaan Rusia, Gazprom bagi tujuan pembangunan medan gas Iran dan membina saluran paip eksport gas baharu.

Pertemuan antara ketiga-tiga negara buat kali ketujuh itu juga diadakan bagi membincangkan perkembangan terkini mengenai Syria selepas negara berkenaan terlibat dalam kancah Perang Saudara sejak tahun 2011 yang mana Rusia menyokong pentadbiran Presidennya, Bashar Al-Assad selain terlibat dalam peperangan berkenaan.

Iran pula menyokong Rusia dalam Perang Ukraine apabila dalam pertemuan dengan Putin, Khamenei memberitahunya bahawa jika Moscow tidak melakukan serangan, ia kemungkinan akan berdepan serangan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Turkiye pula mahu Rusia dan Iran menyokong perjuangannya menentang kumpulan pengganas di utara Syria sekali gus merujuk kepada anggota-anggota Kurdis.

AS pula memberikan sokongan berterusan kepada pergerakan Unit Perlindungan Penduduk (YPG) yang merupakan cawangan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang labelkan Turkiye sebagai pertubuhan pengganas.

Putin juga menghubungi Putera Mahkota Arab Saudi itu pada Khamis lalu untuk berbincang mengenai kerjasama minyak dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu-sekutunya yang lebih dikenali sebagai OPEC.

Perbualan mereka itu berlaku enam hari selepas Biden melawat Arab Saudi sekali gus menunjukkan kepentingan negara beraja tersebut buat Washington dan Moscow ketika perang di Ukraine menyebabkan pasaran tenaga global terjejas di seluruh dunia.

Menurut Moscow berhubung perbualan telefon tersebut, situasi semasa pasaran minyak dunia telah dibincangkan manakala kepentingan tentang penyelarasan selanjutnya dalam rangka kerja OPEC telah ditekankan.

Namun, ia tidak mendedahkan sama ada perbicangan antara Putin dan Putera Mohammed itu turut meliputi sama ada pengeluaran minyak di pasaran akan ditambah.

Setakat ini, Putin kelihatan menyaingi Biden bagi melebarkan pengaruh masing-masing ketika Perang Ukraine masih lagi belum berakhir. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca