TABUNG Mata Wang Antarabangsa (IMF) baru-baru ini mengenal pasti empat buah negara Asia yang berisiko menjadi seperti Sri Lanka. Macam telah kita ketahui, negara yang namanya bermaksud pulau gemilang itu telah bankrap, rakyatnya kekurangan... Klik di sini untuk terus membaca

TABUNG Mata Wang Antarabangsa (IMF) baru-baru ini mengenal pasti empat buah negara Asia yang berisiko menjadi seperti Sri Lanka.

Macam telah kita ketahui, negara yang namanya bermaksud pulau gemilang itu telah bankrap, rakyatnya kekurangan makanan, kakitangan awam diarahkan bercuti untuk bercucuk tanam dan bekas Presiden lari ke luar negara setelah rumahnya dibakar oleh penunjuk perasaan. Inflasi dilaporkan naik 54.6 peratus.

Itulah kita jangan seronok dan percaya sangat dengan nama dan jenama yang sedap-sedap macam Keluarga Malaysia dan segala macam cogan kata kecuali yang menciptanya adalah orang yang bebas rasuah, cekap dan berintegriti.

Negara-negara yang dinamakan oleh Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, itu adalah Pakistan, Bangladesh, Maldives dan Laos.

Walaupun banyak pihak telah memberi amaran kepada kerajaan agar berhati-hati supaya jangan jadi macam Sri Lanka dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berulang kali memberi jaminan, namun kita belum boleh bersenang hati.

Pada 20 Julai beliau dilaporkan memberitahu Parlimen bahawa kemungkinan Malaysia muflis macam Sri Lanka adalah amat tipis.

Katanya, IMF tidak pernah menyebut yang Malaysia mempunyai masalah ekonomi yang boleh membawa kepada kemuflisan sebaliknya menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonominya.

Dilihat daripada aspek perangkaan dan berpandukan pita ukur IMF, memanglah ada kebenaran kepada apa yang dikatakan oleh Tengku Zafrul itu. Malaysia bukan dalam kategori Sri Lanka.

Ikut ukuran dan tafsiran IMF, sesebuah negara ditakrifkan sebagai muflis apabila ia tidak lagi mampu melunaskan hutang luar atau membayar faedah ke atasnya.

Seperti yang telah saya sebut sebelum ini, apabila IMF memberi pinjaman talian hayat kepada sesebuah negara, tujuannya bukanlah bagi membantu rakyat jelata negara tersebut tetapi memastikan negara itu boleh terus membayar balik hutang antarabangsa.

IMF sebenarnya melindungi institusi kewangan antarabangsa.

Biar apa pun jaminan yang diberikan oleh kerajaan, hakikatnya kedudukan kita hari ini lebih buruk dan membimbangkan jika dibandingkan dengan masa lampau.

HUTANG 1MDB

Sebaik saja memberi jaminan mengenai kekukuhan ekonomi kita, Tengku Zafrul memaklumkan kepada Parlimen yang hutang kerajaan pusat sehingga akhir Jun tahun ini berjumlah RM1.045 trilion.

Ini adalah bersamaan dengan 63.8 peratus keluaran dalam negara kasar (GDP) dan memaksa kerajaan memperuntukkan RM43.1 bilion atau 18.4 peratus hasil tahunan untuk biayai hutang. Daripada jumlah itu, RM19.8 bilion adalah faedah.

Ini termasuklah 'najis' 1MDB yang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, tinggalkan kepada kita. Baki hutang 1MDB sehingga 30 Jun lepas adalah RM32.08 bilion.

Inflasi pula semakin meningkat. Laporan terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia mengatakan harga tunjuk pengguna (CPI) naik 3.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.4 mata Jun lalu berbanding 123.2 mata pada Jun 2021. Ini melepasi kadar purata 1.9 peratus bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022.

Oleh sebab itulah saya tidak putus-putus menekankan peri penting kita memilih sebuah kerajaan yang sah, cekap dan amanah dalam pilihan raya umum akan datang bagi mengurus dan menangani pelbagai masalah rumit yang sedang melanda.

Seperti saya sebutkan dalam catatan minggu lalu, kita sudah mengalami kebekuan ekonomi selama kira-kira 20 tahun.

Pertumbuhan ekonomi kita mendatar, produktiviti menurun, nilai ringgit merosot, kadar kemiskinan naik semula dan kadar pengangguran, khususnya di kalangan belia meningkat.

Kesimpulannya walaupun kemungkinan negara kita muflis macam Sri Lanka tipis, kita tidak perlu menunggu sehingga ciri-ciri seperti itu muncul sebelum bertindak.

Sebenarnya kita tidak perlu sampai ke tahap Sri Lanka untuk merasa kesan buruk kemerosotan ekonomi seperti kejatuhan nilai ringgit, lonjakan inflasi, penambahan pengangguran, peningkatan kadar kemiskinan dan jurang kekayaan yang semakin luas. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca