KEPUTUSAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun menolak usul tergempar Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu mudah difahami. Dewan Rakyat tidak boleh menjadi satu sidang yang... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun menolak usul tergempar Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu mudah difahami.

Dewan Rakyat tidak boleh menjadi satu sidang yang subjudis kerana Malaysia telah pun memfailkan rayuan di Mahkamah Perancis atas final award sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Selebihnya tidak wajar perbahasan di Dewan Rakyat nanti akan mendedahkan strategi dan penghujahan perundangan kerajaan.

Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, kita sedar Isnaraissah perlu menonjolkan retorik heroisme menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ini soal kelangsungan politik beliau dan partinya. Justeru tindakan beliau berkali-kali mencabar keputusan Azhar Harun sehingga digantung dari sidang Dewan Rakyat selama dua hari adalah political stunt yang boleh dijangka dan diterima.

Namun apa yang tidak boleh diterima ialah sidang media Isnaraissah selepasnya yang bersifat 'mislead' rakyat dan cuba mewujudkan sentimen penduduk Sabah dianaktirikan oleh Persekutuan.

"Apa yang saya mahu sebenarnya adalah pendirian negara, ketegasan negara untuk kita lawan.. Tidak cukup lagikah aset Petronas dirampas, kita mahu tunggu apa lagi yang hilang baru kita mahu bertindak.”

Sebagai seorang Ahli Parlimen mustahil beliau tidak mengetahui bahawa tiada aset Petronas yang telah dirampas.

Lima hari sebelumnya Petronas telahpun membuat kenyataan media memaklumkan kedua-dua anak syarikat mereka di Azerbaijan menerima notis Saisie-arret pada 11 Julai, namun tidak berlaku sebarang rampasan aset.

Isnaraissah kemudiannya meneruskan dakwaan tidak berasas, "... kenapa menghantar stay of execution pada 12 Julai sedangkan keputusan arbitrasi pada Februari 2022. Kerajaan sambil lewa, cuai.”

Tuduhan ini juga tidak benar kerana Malaysia telah pun menghantar stay of execution di Mahkamah Perancis pada Mac 2022, beberapa hari selepas keputusan penimbangtara Sepanyol tersebut dibuat.

Namun mahkamah hanya membuat keputusan bersetuju dengan permintaan tersebut pada 12 Julai 2022.

Isnaraissah turut meniupkan kebencian dengan berkata, "Kadang-kadang saya sebagai orang Sabah merasakan Sabah ini seperti tempat sewa-sewa sahaja. Daripada Filipina bagi kepada Sululah... takkan orang Sabah mahu tunggu 1,000 tahun lagi baru mahu selesai. Yang diserang Sulu, kami. Kami yang menerima kesannya secara langsung.”

Malaysia tidak boleh berbuat apa-apa menghalang mulut penuntut. Namun hakikatnya negara ini tidak pernah gagal mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Sabah sejak pembentukan Persekutuan Malaysia.

WANG IHSAN BUKAN PAJAKAN

Pada 1963 lagi Rejimen Askar Melayu Diraja telah ditempatkan di Sabah dan bergadai nyawa mempertahankan Sabah yang diserang oleh Indonesia.

Kerajaan juga tidak pernah mengiktiraf tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah, sama ada waris kesultanan Sulu, Filipina mahu pun Indonesia.

Ia telah diulang-ulang sejak 1963 hingga sekarang. Ia telah dibahas di Parlimen. Ia telah dimaktubkan dalam Perlembagaan negara bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

Tiada apa-apa tuntutan boleh mengubah kedudukan tersebut.

Malahan kerajaan dari awal menyatakan pembayaran kepada waris kesultanan Sulu hanyalah bayaran wang ihsan bukan sewa atau pajakan.

Apabila waris tersebut mengadakan gerakan bersenjata di Lahad Datu, kerajaan menghentikan sumbangan wang ihsan tersebut.

Ini semua telah ada rekod dan tidak sepatutnya seorang ahli Parlimen membuat kenyataan mengelirukan rakyat.

Melucukan juga bila Isnaraissah mengatakan, "... jika mahkamah Sepanyol memberikan final award, mengapa kita hanya hantar stay of execution ini kepada Perancis.

Sepatutnya kita apply kepada semua negara. Kita bersungguh-sungguh lawan ini, pertahan kedaulatan negara.”

Beliau sepatutnya tahu bahawa penimbangtara Sepanyol terbabit memindahkan pendengaran ke Perancis setelah Malaysia ‘menang’ di Sepanyol.

Janganlah fitnah kerajaan seolah-olah bodoh sangat keputusan di Sepanyol minta stay of execution di Perancis.

Penghakiman dibuat di Perancis, maka Malaysia memohon stay of execution di Perancis. Kelulusan ini terpakai seluruh dunia.

Mahu mempertahankan kedaulatan negara perlukan ilmu dan kebijaksanaan bukannya membakar sentimen rakyat sehingga mewujudkan kebencian sesama kita.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca