CHINA dan Asia Barat telah menjalinkan hubungan berkurun-kurun lama. Kedua-duanya menyumbang kepada pembangunan peradaban dunia dari segi tamadun Islam dan Konfusianisme. Rantau Asia Barat yang merangkumi kawasan Asia Barat dan Afrika Utara... Klik di sini untuk terus membaca

CHINA dan Asia Barat telah menjalinkan hubungan berkurun-kurun lama.

Kedua-duanya menyumbang kepada pembangunan peradaban dunia dari segi tamadun Islam dan Konfusianisme.

Rantau Asia Barat yang merangkumi kawasan Asia Barat dan Afrika Utara atau Middle East and North Africa (MENA) menjadi semakin relevan bagi China kerana ia mempunyai tiga kepentingan utama.

Pertama, keselamatan tenaga di mana MENA merupakan sumber tenaga minyak dan gas asli kepada China.

Buat masa kini China tidak boleh hanya bergantung kepada sumber tenaga dari dalam negeri bagi memenuhi permintaan tenaga khasnya di kawasan perindustrian di pantai timurnya seperti di Shenzhen, Shanghai dan Guangzhao.

Oleh yang demikian, China terpaksa mencari sumber minyak dari rantau-rantau di luar seperti Asia Barat dan Asia Tengah demi kepentingan keselamatan tenaga.

Pada 2020, Asia Barat telah mengeksport minyak mentah ke China bernilai AS$176 bilion iaitu kira-kira separuh (47 peratus) daripada import rasmi ini datang dari negara-negara Asia Barat.

Misalnya, Arab Saudi muncul sebagai pembekal minyak mentah terbesar China dan masih mengekalkan kedudukan sebagai pembekal utama pada Oktober 2021.

Kedua, adalah kepentingan ekonomi kerana kedudukan geografi Asia Barat yang amat strategik dalam program Belt and Road Initiative (BRI) China.

Asia Barat merupakan sebahagian daripada BRI kerana ia terletak di tengah-tengah laluan antara China dengan Eropah.

Ini merangkumi laluan darat yang melalui rantau Asia Tengah atau laluan laut yang melalui Selat Melaka, Lautan Hindi, Teluk Parsi dan Laut Merah.

China melalui BRI terlibat secara aktif dalam pembinaan infrastruktur di Asia Barat misalnya pembinaan ibu kota baharu Mesir di Kaherah serta projek China - Egypt Suez Economi Trade Cooperation Zone.

KUASA CHINA

Selain dari Mesir, China telah mengeratkan hubungan ekonominya dengan negara lain di Asia Barat seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Qatar, Kuwait dan Oman, terutamanya dalam pembinaan infrastruktur, telekomunikasi, teknologi dan tenaga.

Arab Saudi dan China memasuki perkongsian strategik yang komprehensif pada 2016.

China juga terlibat dalam usaha pembinaan semula di Syria dan Iraq terutama apabila Damsyik dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS).

Ketiga adalah kepentingan diplomatik memandangkan kini China sudah menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia.

Maka China perlu memperluaskan hubungan luarnya dengan negara-negara Asia Barat.

Bagaimanapun, penglibatan China di Asia Barat terhad dalam bidang ekonomi dan diplomatik kerana China cuba mengelak daripada terheret dalam isu-isu politik dan keselamatan tempatan Asia Barat.

Dalam hal politik dan keselamatan tempatan di Asia Barat, China mengamalkan dasar tidak campur tangan.

Walaupun China mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Zionis Israel, namun China tetap menyokong perjuangan dan pembelaan penduduk Palestin.

China mempunyai keupayaan untuk mengatur dan mengimbangi hubungannya dengan negara Asia Barat yang bermusuhan antara satu sama lain seperti Arab Saudi dan Iran.

Tidak seperti AS, China tidak bercita-cita untuk menjadi sumber dan penjamin keselamatan bagi Asia Barat.

SALING MEMAHAMI

Buat masa kini, kehadiran tentera dan aset pertahanan China di kalangan negara Asia Barat adalah terhad.

Bagaimanapun, besar kemungkinan kehadiran tentera laut China di Asia Barat akan meningkat pada masa terdekat bagi melindungi kepentingan ekonomi dan perniagaan China daripada serangan lanun dan kumpulan pengganas.

Ini tidak bererti China akan mengambil alih peranan AS dalam hal keselamatan.

Sebaliknya China harus memperkukuhkan penglibatan diplomasi awam dan kuasa lunak di Asia Barat.

Demi menjayakan matlamat ini diplomat dan peniaga China perlu mempergiatkan usaha mempelajari dan memahami bahasa Arab, tamadun dan agama Islam dan sejarah serta budaya tempatan.

China harus memperbanyakkan penglibatan dalam projek bantuan kemanusiaan, menawarkan lebih banyak biasiswa untuk membolehkan pelajar-pelajar dari Asia Barat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi digital di institusi pengajian tinggi di China.

Selain itu, mengadakan sesi dialog peradaban antara Konfusianisme dan Islam bagi meningkatkan pemahaman antara satu sama lain.

Jelas sekali penglibatan China dalam Asia Barat akan terus meningkat dan kedua-dua pihak harus saling memahami antara satu sama lain bagi memastikan perkongsian strategik ini akan berkekalan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca