PROSES pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal tahun 2022-2025 dan penganjuran Kongres Nasional parti itu ke-16 sudah melabuhkan tirainya pada minggu lalu. Dengan barisan kepimpinan baharu PKR didominasi oleh pasukan diketuai Timbalan... Klik di sini untuk terus membaca

PROSES pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal tahun 2022-2025 dan penganjuran Kongres Nasional parti itu ke-16 sudah melabuhkan tirainya pada minggu lalu.

Dengan barisan kepimpinan baharu PKR didominasi oleh pasukan diketuai Timbalan Presiden parti baharu dipilih, Rafizi Ramli, ramai melihat gandingan baharu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi barangkali adalah kombinasi terbaik diperlukan parti itu bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ditambah pula dengan kehadiran semula Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar - darah daging Anwar yang disebut-sebut sebagai pengganti beliau pada masa hadapan - dalam barisan kepimpinan parti apabila dilantik sebagai Naib Presiden dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pertama pada Rabu.

Secara permukaannya, ramai penyokong akar umbi PKR melihat parti itu yang sebelum ini dianggap longlai dan suram selepas peristiwa 'Langkah Sheraton', kembali mendapat nafas baharu dengan kehadiran semula pemimpin berpengaruh seperti Rafizi dan Nurul Izzah.

Menariknya, proses pemilihan PKR yang mencetuskan fraksi dalam kalangan kelompok pemimpin reformasi dan 'geng' Invoke, turut dikendurkan melalui rundingan kompromi Anwar-Rafizi bagi mengekalkan semula calon Timbalan Presiden PKR yang tewas, Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk jawatan Setiausaha Agung PKR.

Bagaimanapun, hakikat sebenar sukar disembunyikan PKR adalah pertembungan Anwar-Rafizi memberi petanda jelas pengaruh Ketua Pembangkang itu dan pemimpin-pemimpin zaman reformasi di dalam parti sudah semakin merosot.

Perkara ini ditekankan sendiri oleh Rafizi yang memberi amaran terbuka kepada Anwar bahawa kehadiran beliau sebagai pemimpin nombor dua PKR bukan untuk mempertahankan atau membodek Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Menariknya, isu itu turut mendapat perhatian seteru ketat politik Anwar iaitu bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila beliau berpandangan Rafizi faham Anwar sudah tidak lagi sepopular dahulu.

PRU15 dilihat sebagai medan terakhir Anwar untuk berusaha untuk menjadi Perdana Menteri.

MENCABAR

Ibarat kata seorang pemerhati politik, Lim Hong Siang, Anwar terpaksa menerima hakikat bahawa pertembungan beliau dengan Rafizi ketika ini adalah satu lumrah dalam dunia politik.

"Anwar pernah mencabar Dr Mahathir lebih dua dekad lalu. Jikalau Anwar kurang selesa dengan Rafizi sekarang, bayangkan Mahathir pada dua dekad yang lalu. Ini bukan lagi karma tetapi lumrah.

"Anwar hanya perlu memastikan dirinya tidak bersikap seperti Mahathir ketika dicabar. Rafizi juga akan dicabar satu hari nanti, mungkin lebih awal daripada 20 tahun, memandangkan arus pergolakan zaman semakin menderas," kata Hong Siang yang dipetik menerusi satu artikel dalam sebuah portal media tempatan.

Apa yang pasti, implikasi pertembungan Anwar-Rafizi sebenarnya turut mewujudkan tanda-tanya terhadap nasib Presiden PKR itu, sama ada beliau akan terus kekal memimpin parti berkenaan sekiranya PH tewas pada PRU15 atau sebaliknya.

Hakikatnya, terdapat desas-desus bertiup kencang mengatakan Anwar berkemungkinan akan didesak untuk kembali memegang jawatan Ketua Umum PKR dengan Nurul Izzah kemudiannya diminta memangku jawatan Presiden parti berkenaan, jika PKR dan PH menepati jangkaan kalah teruk.

"Secara umumnya, saya simpulkan pemilihan PKR kali ini adalah inisiatif terancang kem Rafizi dalam melengkapkan barisan kepimpinan baharu yang cenderung menyokong beliau.

"Walaupun, tampak ada kompromi di antara Anwar-Rafizi terutama dalam soal mengekalkan jawatan Setiausaha Agung PKR, namun isyarat sebenar disampaikan Rafizi menerusi Kongres Nasional PKR ke-16 tempoh hari adalah kepimpinan baharu parti itu sebenarnya sudah bertukar hampir 100 peratus.

"Lagipun, Rafizi menyedari sekiranya PKR tampil dengan kepimpinan muka baharu yang lebih segar dan dinamik, tawaran itu akan lebih menarik imaginasi pengundi termasuk tawaran Nurul Izzah menjadi Perdana Menteri baharu kerajaan PH.

"Isyarat paling jelas, saya boleh katakan PRU15 merupakan peluang terakhir Anwar untuk menjadi calon Perdana Menteri daripada PKR dan PH. Jika beliau masih gagal, Anwar kena beri laluan kepada muka baharu kerana parti itu sendiri sudah membuka lembaran baharu terhadap masa hadapan PKR," kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.

TIDAK PECAH BELAHKAN PARTI

Bagaimanapun, bagi Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai, beliau tidak melihat isu pertembungan Anwar-Rafizi sebagai masalah besar yang mampu memecah-belahkan parti berkenaan menjelang PRU15.

Sebaliknya, calon Naib Presiden PKR yang tewas itu berpendapat kombinasi Anwar-Rafizi adalah gabungan generasi pemimpin reformasi lama dan muka baharu yang ideal dalam memenuhi kehendak pengundi muda dan atas pagar kelak.

"Saya fikir tiada isu pemimpin dalam PKR cuba membayangi ketua mereka sendiri dengan semua individu yang dilantik memegang jawatan, tahu akan peranan masing-masing dalam merangka strategi menghadapi PRU15.

"Sebenarnya berdasarkan perkembangan politik sejak peristiwa 'Langkah Sheraton', PKR perlu menyelesaikan banyak perkara penting bersama parti-parti dalam PH seperti pembawaan strategi dan naratif politik baharu, penyediaan manifesto pilihan raya bersesuaian serta penyelesaian agihan kerusi-kerusi pilihan raya yang pernah ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14.

"Selain itu, PKR dan PH harus memuktamadkan keputusan penggunaan lambang pilihan raya bagi mendepani PRU15. Ini adalah perkara-perkara yang jauh lebih penting untuk dibincangkan pucuk kepimpinan baharu PKR, berbanding soal Anwar relevan atau tidak," tegas Ming Kai.

Klik di sini untuk terus membaca