SHAH ALAM - Semakin ramai ibu bapa dan golongan dewasa kini yang suka berkongsi gambar dan rakaman video membabitkan kanak-kanak untuk tontonan umum di media sosial. Namun, sedar atau tidak, kandungan video gelagat kanak-kanak yang dimuat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semakin ramai ibu bapa dan golongan dewasa kini yang suka berkongsi gambar dan rakaman video membabitkan kanak-kanak untuk tontonan umum di media sosial.

Namun, sedar atau tidak, kandungan video gelagat kanak-kanak yang dimuat naik di aplikasi seperti TikTok, Facebook dan Instagram itu boleh mengundang perlakuan jenayah terutama pedofilia serta gangguan seksual.

Pakar Kriminologi Bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, perkongsian video itu seolah-olah memperdagangkan kanak-kanak kerana mahu menunjukkan kecomelan dan kecerdikan mereka kepada khalayak tanpa memikirkan risikonya.

Shahul Hamid

"Para pengintip ini tentunya mempunyai perancangan tersendiri. Mungkin mereka tahu anak ini terdiri daripada keluarga berada, jadi penculikan boleh berlaku.

"Keduanya, mungkin juga berlaku jenayah pedofilia dan jenayah seksual yang lain. Ini kerana gambar atau video yang dikongsikan ibu bapa berpotensi menarik perhatian pengintai di media sosial.

"Justeru, sebagai ibu bapa, mereka sepatutnya memberikan perlindungan kepada anak tersebut, bukan mendedahkan mereka yang akan mengundang risiko jenayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim pula berkata, beliau menghormati hak ibu bapa untuk berkongsi foto anak di media sosial.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa harus tahu cara-cara untuk menghalang elemen negatif seperti jenayah.

Kamal Affandi

"Ini ibarat kita membuka pintu kepada pengintip. Bila pendedahan dibuat, ia membuka peluang kepada penjenayah di luar sana.

"Sekeping gambar atau video yang kita kongsi kepada mereka, ia barangkali satu komoditi yang boleh dijual,” jelasnya.

Mengulas isu sama, Pakar Kriminologi daripada Management and Science University (MSU), Nadiah Syariani Md Shariff berpendapat perkongsian yang berlebihan seperti memuat naik apa sahaja aktiviti harian kanak-kanak, mampu mengundang eksploitasi oleh individu tertentu.

Menurutnya, maklumat mereka juga boleh disalah guna atau identiti mereka dicuri untuk tujuan penipuan dalam talian.

"Walaupun perkongsian ini tidak memudaratkan sekarang, tetapi disebabkan perkongsian digital bersifat kekal dalam talian, maklumat ini boleh dieksploitasi pada masa akan datang,” ujarnya.

Nadiah Syariani

LANGGAR PRIVASI ANAK

Dalam pada itu, tindakan ibu bapa yang gemar mendedahkan anak mereka secara keterlaluan di media sosial berisiko mendatangkan impak negatif terutama dari segi fizikal, emosi dan sosial kanak-kanak terbabit.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, ia berikutan apabila kanak-kanak meningkat usia remaja, masing-masing mula berfikir secara logik dan mempunyai emosi.

Putri Afzan Maria

"Kalau anak ini membesar dalam keadaan yang dia suka dirinya didedahkan di media sosial, tiada masalah.

"Tetapi kalau anak tadi merasakan seolah-olah zaman kanak-kanaknya telah dirobek oleh ibu bapa, mereka ada hak untuk saman. Ini yang kita tak nak.

"Jadi, kesan dari segi psikologi memang sangat membahayakan terutama apabila mereka meningkat ke zaman remaja apatah lagi jika mereka ada perasaan ingin menentang.

"Ini kerana mereka sudah mula berfikir secara logik dan emosi. Sekarang kita belum nampak lagi,” katanya ketika kepada Sinar Harian.Beliau berkata, ibu bapa harus mendapat keizinan daripada anak terlebih dahulu sebelum memuat naik kandungan di media sosial.

Menurutnya, jika ibu bapa tidak berbuat demikian, secara tidak langsung ia telah melanggar hak dan privasi si anak.

"Selagi kita (ibu bapa) tidak mendapat kebenaran daripada anak, kita sebenarnya tidak boleh mendedahkan mereka di media sosial. Kita dah melanggar hak privasi anak itu sendiri kerana ia membabitkan masa depan mereka,” jelasnya.

Putri Afzan Maria turut berkongsi mengenai budaya negara maju seperti United Kingdom yang sangat menitikberatkan hak dan privasi kanak-kanak.Beliau berkata, di sana hak dan privasi kanak-kanak dijaga dengan baik dan terjamin.

"Saya pernah menetap di England selama hampir tujuh tahun. Mereka begitu mengambil berat isu hak dan privasi kanak-kanak.

"Angkat tangan (pukul) pada anak pun tak boleh, semuanya boleh jadi kes polis,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca