SHAH ALAM - Pelawak terkenal tanah air, Harith Iskander, 56, berkongsi kisah mengejutkan apabila anak sulungnya, Zander Xayne Iskander, 10, pernah menjadi mangsa penjenayah seksual di media sosial tujuh tahun lalu. Harith berkata, beberapa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelawak terkenal tanah air, Harith Iskander, 56, berkongsi kisah mengejutkan apabila anak sulungnya, Zander Xayne Iskander, 10, pernah menjadi mangsa penjenayah seksual di media sosial tujuh tahun lalu.

Harith berkata, beberapa keping gambar anaknya telah dimuat naik di sebuah laman web pornografi kanak-kanak, dipercayai dari Malaysia.

Beliau menyedari perkara itu selepas mendapat notifikasi daripada ‘Google Alert’ menerusi e-mel rasminya.

"Saya dapat tahu perkara ini sebabnya saya ada aktifkan akaun Google atas nama saya, Harith Iskander.

"Jadi setiap kali ada artikel atau nama saya keluar dalam mana-mana media sosial, saya akan dimaklumkan oleh Google.

"Gambar dia (Zander Xayne) walaupun biasa, berpakaian penuh, tetapi terpapar di satu laman web yang nampaknya seperti laman pornografi.

"Saya pun terkejut kenapa gambar anak saya dipaparkan dalam laman berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Harith Iskander

Susulan kejadian yang menimpa anaknya itu, Harith telah melaporkan kepada pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk segera mengambil tindakan.

"Walaupun mereka boleh menarik semula laman web tersebut, tetapi kadang-kadang laman web ini datang daripada URL luar negara. Tidak mustahil perkara sama boleh berlaku lagi. Jika bukan anak saya, mungkin anak-anak lain boleh menjadi mangsa,” tuturnya.

Harith turut mengakui bahawa gejala yang memaparkan gambar kanak-kanak di media sosial ini merupakan satu perkara serius.

"Memang banyak berlaku, bukan sahaja di platform internet tetapi dalam aplikasi seperti Telegram dan lain-lain.

"Justeru, sebagai ibu bapa, kita perlu peka dengan keadaan semasa, iaitu macam mana kita nak lindung anak-anak kita daripada terjebak dengan perkara yang tidak baik,” ujar beliau.

GUBAL UNDANG-UNDANG LINDUNGI PRIVASI KANAK-KANAK

Dalam pada itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mencadangkan satu undang-undang baharu digubal bagi melindungi dan menjaga privasi kanak-kanak di Malaysia.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, ia berikutan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sudah pun mewujudkan akta khusus seperti Akta Perlindungan Privasi Kanak-Kanak Dalam Talian.

Jelasnya, walaupun Malaysia mempunyai Akta Kanak-Kanak 2001 yang melindungi kanak-kanak daripada penderaan, pengabaian dan kecuaian, namun masih belum ada undang-undang khusus bagi mengawal privasi kanak-kanak terutama di alam digital.

"Justeru, Malaysia perlu menggubal undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan menjaga privasi mereka serta mempertanggungjawabkan ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Malaysia harus mula memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai bahaya internet, lebih-lebih lagi apabila berkongsi gambar dan video anak di media sosial.

"Ibu bapa tidak boleh muat naik gambar anak-anak tanpa pakaian walaupun mereka masih bayi. Tidak boleh memalukan anak di khalayak dengan menularkan video mereka,” ujarnya.

Tambah Noor Aziah, beliau sangat memandang serius terhadap tindakan ibu bapa yang menggunakan anak di bawah umur tujuh tahun sebagai bahan TikTok.

"Saya juga bimbang apabila kanak-kanak telah ada akaun media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram kerana mereka boleh terdedah kepada pelbagai lagi ancaman,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca